Sunday, June 5, 2011

Muktamar kukuhkan PAS, laluan Putrajaya semakin mudah




GOMBAK 6 JUN : Gandingan Naib Presiden PAS yang baru dilihat sebagai barisan kepimpinan yang sedia menggempur kubu Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang berdasarkan sikap dinamik dan progresif mereka.

Walau bagaimanapun, Naib Presiden PAS yang mengekalkan jawatan itu pada pemilihan Sabtu lalu, Salahuddin Ayub berkata, tanggapan itu tidak wujud sebaliknya sama ada menang atau kalah, ahli PAS sentiasa komited dalam perjuangan parti.

Malah beliau memberi amaran kepada mereka yang cuba memecahbelahkan PAS dengan pelbagai tohmahan.

"Calon naib seperti Nik Mohd Amar, Idris Ahmad dan Nizar Jamaluddin, bukan kepalang ketokohan mereka.

"Bagi saya, jangan cuba untuk usik PAS, jangan cuba suntik racun. Kami hormat ulama dan akan tentang kamu hingga kamu kecundang," katanya sambil menyifatkan mereka sakit hati lihat perpaduan kita.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan perwakilan Perak Dr Muhaimin Sulam yang mengingatkan PAS agar berhati-hati tentang dikotomi ulama dan bukan ulama yang cuba dimainkan oleh media kawalan Umno mutakhir ini.

Salahudin menyatakan semua kepimpinan yang menang dan tewas adalah pilihan perwakilan hasil daripada proses tarbiyah yang dibuat oleh Dewan Ulama PAS.

Jadi mustahil bagi mereka yang dianggap sebagai bukan Ulama akan menolak golongan itu kerana mereka memahami sepenuhnya perjuangan PAS

"Tak mungkin orang macam saya di sini untuk menjahanamkan PAS. Niat jahat mereka untuk pecah belahkan parti ini," tambah beliau.

Mengimbau sejarah hidupnya, Salahuddin berkata, beliau yang tidak mengetahui apa-apa tentang Islam kerana diasuh di sekolah aliran Inggeris, berubah setelah mendengar ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Satu hari saya diberi kaset ucapan presiden (Abdul Hadi). Selepas saya dengar kaset itu terbuka pintu hati saya untuk berjuang untuk Islam, menapak sedikit demi sedikit ditarbiah PAS dan ulama,"katanya.

Hal itu turut dikongsi oleh seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang turut terbuka hati menyertai perjuangan PAS kerana kaset ceramah Abdul Hadi semasa menjadi pelajar di Universiti Malaya pada 1980-an

"Dari bawah bumbung Masjid di Rusila, antara sedar atau tidak, Presiden telah melahirkan kepimpinan PAS sekarang," terang beliau kepada muktamar.

Husam yang sebelum ini diuar-uarkan media arus perdana sebagai 'tidak sebulu' dengan Hadi, menyeru semua pihak memobilisasikan seluruh kekuatan dan menyediakan model kemenangan termasuk model ekonomi berkebajikan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

"Media arus perdana memberi satu gambaran yang negatif, dan saya rasa, apa yang Presiden terangkan mengenai negara berkebajikan tepat kerana ia telah menepati sasaran.

"Membangun negara berkebajikan telah terbina daripada cara 'sharing and caring' atau berkongsi dan mengambil berat (antara satu sama lain)," katanya sambil memberi contoh kisah Nabi Yusuf.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula berkata hasrat Pakatan untuk sampai ke Putrajaya mestilah dengan cara menguasai hati dan pemikiran rakyat.

Ini kerana katanya, hanya dengan kuasa rakyat mampu untuk PAS dan Pakatan menguasai pusat pentadbiran kerajaan dengan mengetengahkan kejujuran dan keadilan dalam masyarakat.

"Kita bercakap menguasai Putrajaya, buat seminar PAS ganti Umno. Kita tidak boleh kuasai Putrajaya dalam konteks kuasa politik. Kita kena bawa sekali kuasa rakyat.

"Tetapi untuk bawa kuasa rakyat, kita tidak mampu selagi tidak mengetuai hati dan pemikiran rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

No comments: