Sunday, June 5, 2011

Rakyat Yemen rai langkah Presiden tinggalkan negara

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhBhvMY7AKOBt62bbIIr5c7X04Sp4JfORSh2Ace-H6XwgMWOFFIJCxDwqjtbc2DeSqtphA1B62mA25wTpRlluD55y-sCWbrX1Il7MUvJTDsf72TbkL7Ll92jio3IwMWfSWd4jiNwt9Ri8mC/s1600/yaman.jpgSANAA 6 JUN : Beribu-ribu aktivis demokrasi menyanyi dan menari di jalan-jalan di ibu negara Yemen, Sanaa sepanjang hari semalam meraikan tindakan Presiden Ali Abdullah Saleh meninggalkan negara itu sambil berharap ia akan menandakan berakhirnya kuasa tiga dekad beliau.

“Negara ini lebih cantik (aman) tanpa anda,” kata mesej satu sepanduk dibawa oleh seorang penunjuk perasaan.

Kebangkitan menentang kepimpinan Ali Abdullah bermula Februari lalu di Sanaa yang kemudiannya dilabel sebagai “Dataran Perubahan”.

Mereka turun ke jalan-jalan untuk menari selepas mendengar Ali Abdullah meninggalkan negara itu lewat tengah malam kelmarin ke negara jiran Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan serpihan peluru dari bahagian dadanya.

Presiden itu mengalami kecederaan ekoran serangan roket yang dilepaskan ke atas kediaman rasmi presiden yang dipercayai membunuh atau mencederakan beberapa pembantunya.

Di bandar selatan Taiz, beribu-ribu orang meraikan tindakan Ali Abdullah dengan bunga api.

Sehingga Jumaat lalu, Ali Abdullah enggan tunduk kepada tekanan antarabangsa agar berundur di sebalik kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh pergolakan di Mesir dan Tunisia.

“Akhirnya, kami menang. Revolusi ini berjaya. (Ali Abdullah) Saleh tidak akan pulang!” kata seorang aktivis meskipun ada yang tidak yakin tindakan beliau keluar negara adalah muktamad.

Sanaa. yang berhadapan dengan pertempuran maut selepas Ali Abdullah dengan enggan menandatangani inisiatif damai Teluk bulan lalu, kelihatan lebih tenang semalam.

Pertempuran antara pasukan keselamatan pro-Ali Abdullah dan puak suku dan unit-unit tentera yang memihak penunjuk perasaan telah mengorbankan lebih 200 orang sejak awal tahun ini. — Reuters

No comments: