Wednesday, July 6, 2011

Beku permit bas bukti UMNO/BN semakin takut gelombang rakyat



KUALA LUMPUR, 7 Julai — Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membekukan permit bas sementara untuk perjalanan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini, dipercayai bagi mengekang penyertaan orang ramai dalam perhimpunan Bersih 2.0.

Pengerusi SPAD Datuk Seri Abdul Hamid Albar mengesahkan bahawa permit bas untuk perjalanan dari mana-mana lokasi ke Kuala Lumpur hujung minggu ini dibekukan mulai esok.

“Kami tidak mahu menambah kepada kesesakkan di ibu negara dan mengambil langkah pencegahan,” kata beliau kepada Malaysian Insider.

Tindakan SPAD itu dilihat selaras dengan arahan Kabinet untuk mengekang perhimpunan Bersih pada Sabtu ini.

Syed Hamid berkata tidak ada keperluan mengeluarkan permit bas sementara untuk ke Kuala Lumpur kerana ia bukan sempena cuti sekolah atau pun cuti perayaan. Beliau berkata jadual pengangkutan di Lembah Kelang bagaimanapun dikekalkan seperti biasa.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 itu yang didokong oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan bertujuan menuntut pilihanraya adil dan telus.

Penganjur mensasarkan kira-kira 300,000 orang menghadiri perarakan untuk menyampaikan memorandum kepada Istana Negara bagi mendesak pembaharuan Suruhanjaya Pilihanraya yang di bawah bidang kuasa Yang DiPertuan Agong.

Bagaimanapun kerajaan mengharamkan gabungan NGO itu, malah menyifatkan perhimpunan itu sebagai alat pembangkang untuk menggulingkan pemerintah.

Polis menahan kira-kira 200 orang, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat kerana menyokong Bersih 2.0. Kebanyakkan mereka ditahan dibawah Akta Polis dan Akta Pertubuhan semata-mata kerana memakai baju dengan logo Bersih.

Tindakan polis itu dikecam oleh pelbagai pihak termasuk aktivis dan anak mantan Perdana Menteri Marina Mahathir dan kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak perarakan itu diadakan di sebuah stadium namun kurang 24 jam selepas membuat tawaran itu, beliau berdolak dalih.

Malam tadi Najib menegaskan Bersih adalah pertubuhan haram dan justeru itu, tidak boleh memohon permit untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan.

Najib berkata mana-mana pihak yang membuat permohonan untuk perhimpunan sedemikian harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Kenyataan itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah Najib sendiri menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penganjur Bersih bagi membincangkan tawarannya.

Penganjur Bersih menegaskan pihaknya tidak boleh memerlukan sebarang pendaftaran kerana ia hanya merangkumi kerjasama antara 62 NGO untuk menuntut pilihanraya adil dan telus.

Pengumuman terbaru Perdana Menteri membayangkan kerajaan tidak mahu meluluskan perhimpunan Bersih sungguhpun penganjur membatalkan rancangan awal untuk berarak ke Istana Negara.

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mendakwa bahawa hakikat Yang DiPertuan Agong berjumpa rombongan Bersih kelmarin tidak menjadikan gabungan itu sah dari segi undang-undang.

Kenyataan Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno itu dibidas oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak menghormati institusi Istana Negara.

No comments: