Wednesday, July 6, 2011

BERSIH 2.0 : Jika lembu dipegang pada talinya, janji Najib dipegang oleh Ro$mahnya

BERSIH 2.0 : Jika lembu dipegang pada talinya...tapi janji Najib pula...????

Apabila rasional BERSIH 2.0 bertembung dengan ketidakikhlasan BN...

Kepercayaan adalah asas yang mendasari sesebuah masyarakat. Apabila manusia tidak berpegang kepada janjinya, maka lembu mempunyai alasan untuk membebaskan diri dari talinya.

Kata kunci pada detik saat yang kurang daripada 70 jam menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 ini adalah "Rasional". Malangnya, inilah yang amat kurang dalam kerajaan Barisan Nasional setakat ini. Lebih malang lagi, sikap "rasional" BERSIH 2.0 seolah-olah tidak hargai, malah tidak dibalas dengan reaksi yang sewajarnya.

Realiti yang terpampang di depan mata adalah, tiada pihak yang akan "menang bersih" dalam senario sedemikian. Pimpinan BERSIH 2.0 telah berganjak langkah setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong, dengan mengumumkan kesediaan mereka untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium. Sebagai pemimpin BERSIH 2.0, Ambiga Sreenevasan (gambar kanan) semestinya akan berdepan dengan tekanan dan pandangan yang berbeza dalam gerakannya, berikutan pendirian tersebut.

Kenyataan KDN keruhkan keadaan

Namun demikian, keikhlasan dan kesediaan BERSIH 2.0 untuk berkompromi tidak dibalas dengan reaksi yang setimpal. Jikapun tahanan yang dikaitkan dengan gerakan BERSIH 2.0 tidak dibebaskan, polis sekurang-kurangnya harus menghentikan tangkapan baru. Jikapun polis gagal menghentikan "pendedahan" yang masih diragui kesahihannya, iaitu penemuan senjata di sekitar Lembah Klang yang terus dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH 2.0, polis sekurang-kurangnya harus menghentikan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju T BERSIH 2.0 - penangkapan yang langsung tidak masuk akal.

Permintaan di atas adalah paling "minima", untuk menunjukkan keikhlasan pihak berkuasa terhadap gerakan BERSIH 2.0. Namun demikian, bukan sahaja permintaan minima tersebut tidak dipenuhi, malah polis terus menyulitkan keadaan dengan mengadakan sekatan jalan di sekitar Lembah Klang pada hari ini; disusuli dengan kenyataan dari Menteri Dalam Negeri, BERSIH tetap haram - yang jelas hanya untuk mengeruhkan keadaan.

Kayu ukur yang mana?

Kembali kepada soal pokok, kepercayaan adalah asas yang mendasari sesebuah masyarakat. Dalam konteks ini, kerajaan UMNO-BN sejak awal jelas berpendirian untuk mengiktiraf kedudukan institusi raja. Maka, kayu ukur ini harus ditegakkan dan dijadikan paksi ketika pendirian dan keputusan dilakukan.

Apabila YDPA bersetuju untuk mengaturkan pertemuan bersama perwakilan BERSIH 2.0, dan apabila Baginda bertitah menyeru untuk menyelesaikan masalah secara "rundingan", kerajaan BN-UMNO perlu akur dengan Titah Khas itu. Kerajaan UMNO-BN tidak boleh menuduh BERSIH sebagai penderhaka jikalau mengingkari titah Tuanku, tapi pada masa yang sama, kerajaan dan polis terus dengan pendekatan di luar "rundingan".

Dengan kata lain, apabila YDPA mengiktiraf kedudukan BERSIH dengan mengaturkan pertemuan bersama perwakilan BERSIH, adalah tidak sesuai untuk KDN terus mengulangi kenyataan bahawa BERSIH adalah haram - melainkan KDN tidak mengiktiraf peranan institusi raja dalam penyelesaian isu ini. Tapi hakikatnya tidak, UMNO-BN dari segi kenyataannya, lebih menyanjung kedudukan institusi Raja.

Justeru itu, kesediaan BERSIH untuk berkongsi pendirian mengiktiraf institusi raja dalam penyelesaian isu ini harus dihargai. Ia harus ditafsir sebagai kesediaan BERSIH untuk membina asas kepercayaan antara kerajaan BN, malah dengan institusi raja. Namun demikian, kerajaan UMNO-BN, malah polis yang menurut perintahnya, seolah-olah tidak memandang berat, bahkan memperlekehkan asas kepercayaan yang cuba dijalinkan ini.

Di mana jalan keluarnya?


Tiada keikhlasan daripada kerajaan UMNO-BN dari segi tindakan dalam menyelesaikan isu ini. Enam orang aktivis PSM terus ditahan di bawah Ordinan Darurat, mereka yang berpakaian kuning BERSIH 2.0 terus ditangkap dan didakwa di mahkamah, malah diadakan Demonstrasi Ketenteraman Awam dengan kain rentang bertulis "Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak".

Perkembangan terkini menyaksikan penolakan pihak Stadium Merdeka terhadap tempahan BERSIH 2.0, tanpa alasan yang jelas. Menurut laporan media, Hishammuddin Hussein (gambar kiri) bertegas, tangkapan pencegahan ke atas aktivitis yang berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 akan berjalan seperti biasa.

Persoalannya, siapa yang mahu berdemonstrasi di jalan raya, seandainya masalah boleh diselesaikan melalui penyerahan memorandum? Siapakah yang mahu memekik di padang stadium, seandainya masalah boleh diselesaikan di atas meja rundingan? Siapakah yang akan hilang "amanah", seandainya asas kepercayaan yang cuba dibina tidak dimusnahkan? Siapa yang sanggup/akan menjadi "haram", jikalau golongan yang berkuasa berpegang kepada janjinya?

Dan soalan terakhir, bukankah kerajaan memaksa BERSIH 2.0 untuk turun semula ke jalan raya, seandainya pintu stadium tidak dibuka? Dan seandainya diimbas kembali perkembangan isu ini, bukankah reaksi kerajaan UMNO-BN sendiri merasionalisasikan hasrat asal BERSIH 2.0 untuk turun ke jalan raya?

*Lim Hong Siang ialah Editor Merdekareview, edisi bahasa Malaysia.

3 comments:

Anonymous said...

Nasib baik tak kena nenen ambiga !

Hamdan Rukun said...

SIAPA PEMANDU AMBIGA TU ?

AHLI PAS CAWANGAN MANA YER ?

Anonymous said...

itu pun hang nak tanya luncai, nanti ada pula la orang tanya bini hang keluaq dengan laki mana semalam?