Monday, July 4, 2011

PAS akan buka 5 kawasan baru di Sabah

KUALA LUMPUR, 5 Julai: PAS akan membuka lima kawasan baru di Sabah, tambahan kepada lapan kawasan berdaftar sedia ada.

Penubuhan lima kawasan baru itu sedang berjalan dengan baik, manakala jumlah ahli PAS yang berdaftar dan bergerak aktif di lapan kawasan berdaftar sedia ada itu kini seramai 11,000 orang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS bersedia menggantikan Umno dan bersama Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri Sabah.

Menurut beliau, selaras dengan tema muktamar PAS tahun ini, Membangun Negara Berkebajikan, PAS akan memastikan kebajikan rakyat terbela di Sabah dan pemimpin yang akan memerintah juga mempunyai ciri-ciri berkebajikan iaitu pemimpin berwibawa, bersih, tidak rasuah dan menjadikan kuasa pemerintahan sebagai amanah untuk menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, oleh itu, rakyat Sabah perlu melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dengan memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

"Rakyat Sabah pernah membuat beberapa kali perubahan politik daripada Usno kepada Berjaya, PBS dan Umno. Maka giliran kali ini ialah Pakatan Rakyat untuk memerintah Sabah," katanya ketika merasmikan bangunan baru PAS Kawasan Putatan, Sabah semalam. (Gambar)

Setiausaha akhbar beliau, Mohd Nasaie Ismail yang turut mengikuti rombongan beliau dalam rangka lawatan kerja ke Sabah menjelaskan, pada majlis itu, Abdul Hadi turut menyentuh tentang tangkapan terhadap orang ramai yang memakai baju berlambang Bersih termasuk di Sabah yang menunjukkan kegelabahan BN dan tidak bijaksana dalam menangani isu.

"Barisan Nasional gelabah berdepan kuasa rakyat yang akan menumbangkan mereka dalam pilihanraya akan datang. Ini kerana banyak kerosakan dan penyelewengan yang dilakukan sehingga menyebabkan mereka takut untuk kalah," katanya.

Presiden PAS dalam rangka lawatan kerja ke Sabah selama tiga hari. Selain merasmikan bangunan PAS Putatan, beliau juga menemui rakyat di sekitar Masjid Negeri dan kawasan bandar di Asia City.

Pada sebelah malamnya, beliau melancarkan borang tanah Felda Plantation yang ditawarkan kepada anak-anak Sabah di majlis bersama rakyat di Kota Belud.

Turut bersama beliau AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling, Pengerusi DAP Sabah, Dr Liew dan Setiausaha PKR Sabah serta pemimpin-pemimpin PAS negeri.

Menurut Nasaie, seramai 500 penduduk setempat yang kebanyakannya anak muda hadir ke majlis di Kota Belud. Hari ini, rombongan beliau akan melawati kawasan Keningau dan Persiangan.

No comments: