Thursday, July 14, 2011

USNO akan saingi UMNO di Sabah, tapi ROS tak luluskan lagi penubuhan USNO

Presiden penaja Parti Baru Sabah Bersatu (Usno) Datu Badaruddin Datu Mustapha optimis bahawa pertubuhan itu mampu memberi saingan sengit jika mereka layak bertanding pada pilihan raya umum yang akan datang.Malah Datu Badaruddin mendakwa persaingan itu lebih di antara Usno dengan Umno.

“Kami seratus peratus yakin bahawa kami boleh memberikan persaingan. Mengapa? Ini adalah kerana Umno takut pada Usno di Sabah,” kata Badaruddin pada sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

“Kita minta agar permohonan pertubuhan ini didaftarkan sebagai parti politik diluluskan, dan selepas ini kita akan tahu samada Umno boleh melawan Usno atau tidak.”

Beliau merujuk kenyataan seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah bahawa sekiranya ada pihak yang ingin membuat bising, maka pihak itu hendaklah tampil bertanding dalam pilihan raya.

Datu Badaruddin mendakwa Usno menghadapi kesukaran mendaftarkan pertubuhan itu sebagai sebuah parti politik sejak lima tahun yang lalu.

“Umno takut sebab Usno yang bawa Umno ke Sabah. Kami hanya ingin menghidupkan semula Usno. Banyak ahli-ahli Usno di Pantai Timur Sabah yang tidak pernah masuk Umno, “ katanya sambil berkata bahawa ahli-ahli Usno suatu ketika dahulu pernah menerima Umno dengan hati terbuka tetapi sekarang telah dilupakan oleh parti semenanjung itu.

Badaruddin mendakwa Usno di Sabah ketika ini mempunyai lebih 100,000 orang dan beliau yakin ia akan diterima semakin ramai rakyat Sabah apabila didaftarkan sebagai sebuah parti politik kelak.

“Kami telah diminta oleh para penyokong untuk menjadikan pertubuhan ini sebagai parti politik kerana kebanyakkan mereka merasa sedih disebabkan permintaan permulaan untuk mendaftarkan pertubuhan ini sebagai kelab telah ditolak. Mandi alang-alang basah.”

Pada tahun 2006, permohonan untuk menubuhkan Usno dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bermula dari detik itu, usaha tanpa henti terus dilakukan dan akhirnya pada 26hb Oktober 2010, Usno telah berjaya didaftarkan di ROS.

ROS kemudiannya memaklumkan bahawa urusan pendaftaran Usno telah selesai di peringkat negeri dan telah dihantar ke peringkat persekutuan.

Akhirnya pada 28 Jun lalu, wakil daripada Usno yang bertandang ke Putrajaya, telah dimaklumkan bahawa urusan pendaftaran diperingkat ROS telah selesai dan kini dirujuk keperingkat Kementerian Dalam Negeri(KDN).

Walaubagaimanapun, Datu Badaruddin meletakkan harapan yang tipis bahawa pendaftaran pertubuhan itu sebagai parti politik akan diluluskan.

“Tipis tapi yakin. Kalau tidak diluluskan, kita akan tengok bila tiba masanya nanti, “ katanya sambil melahirkan hasrat pertubuhan itu untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, ketika ini, pertubuhan itu juga belum membuat sebarang pakatan dengan parti-parti lain bagi menghadapi pilihan raya.

Keputusan selanjutnya, samada pertubuhan ini akan memohon menyertai Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, akan dibuat selepas pertubuhan ini didaftarkan, kata Datu Badaruddin.KL-TODAY

No comments: