Thursday, August 18, 2011

Jangan libatkan Sultan dalam isu Jais

http://2.bp.blogspot.com/-fCAYUEj19Kw/Td0f4TJNC-I/AAAAAAAAChk/N-5Ym2Xk4HQ/s400/rani+meru.jpgKUALA LUMPUR, 18 Ogos – PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.


Menjawab pendirian Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor.


“Dalam Islam yang kita tidak boleh pertikaikan adalah al-Quran dan sunah, itu tidak boleh pertikai... satu ayat pun kita tidak boleh pertikai, kalau kita pertikai akidah kita boleh terjejas.


“Jadi dalam isu Jais ini, kita tidak pertikaikan pun cuma kita nak dengar penjelasan... apa salahnya? Islam adalah agama hujah, hujah atas fakta dan dalam isu ini kita bukan pertikai tapi mahukan penjelasan,” katanya kepada The Malaysian Insider.


Tegas beliau, PAS tidak akan berkompromi sekiranya benar wujud kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di Gereja Methodist Damansara Utama.


“Kalau betul ada usaha untuk memurtadkan umat Islam, kita akan sokong (tindakan).


“Apa salahnya kalau kita mahukan penjelasan, kita bukan pertikai, cuma nak jawapan mengenai apa yang berlaku... sebab itu kita bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama,” katanya sambil menambah, kontroversi semasa ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan Sultan Selangor.


Tambah Abdul Rani: “Kalau boleh selesaikan di (peringkat) bawah, tidak perlu dibawa ke Sultan Selangor.”


Pagi ini, The Malaysian Insider membawa laporan, Pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan, mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.


Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.


“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.


“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.


Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.


Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan yang timbul berikutan dokumen-dokumen sulit berkaitan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama terbongkar.


Tegas beliau, sepatutnya dokumen-dokumen sulit itu termasuk rakaman video tidak didedahkan sehingga hasil siasatan selesai.


“Saya lihat tiada siapa yang pertikai tindakan Jais, apa yang menjadi tanda tanya adalah siasatan masih belum selesai, tetapi bukti-bukti dan dokumen sudah tersebar di blog-blog.


“Sepatutnya ia menjadi rahsia dan bila ini terjadi timbul tanda tanya siapa yang keluarkan bahan bukti ini... kalau timbul persoalan ini, kita tidak boleh salahkan rakyat,” katanya.


Jelas Tuan Ibrahim, walaupun Jais terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor tetapi agensi itu masih terikat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor.


“Jais juga terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk di bawah Exco.


“Tindakan Jais ini melibatkan kepentingan orang ramai, kita bukan pertikai bidang kuasa tapi penguatkuasaan itu kadang-kadang timbul tanda tanya. Apa yang dipertikaikan penguatkuasaan Jais bukan kuasa Sultan Selangor dan kalau kita lihat tindakan yang diambil (Jais) itu kadang-kadang juga berat sebelah,” katanya.


Tambah beliau, semua pihak sedar Jais terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor dan ia tidak pernah dipertikaikan.


“Rakyat juga tidak pertikai Sultan Selangor, tidak timbul soal pertikai Sultan Selangor... kita memahami bidang kuasa Sultan Selangor.


“Tapi kita tidak boleh membuat tindakan yang kemudian diletakkan di bawah Sultan Selangor,” katanya.


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, apa yang dipertikaikan bukan tindak Jais, tapi penglibatan Umno dalam pemeriksaan ke atas premis gereja seperti mana yang didakwa Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.


“Siapa yang pertikai Jais? Kita kata kalau ada bukti memurtadkan umat Islam ambil tindakan dan kita bimbang pemeriksaan itu dibuat tidak ikut peraturan semata-mata untuk penuhi kepentingan politik Umno.


“Apa yang kita persoalkan penglibatan Umno dalam mencaturkan tindakan Jais itu,” katanya.


Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.


Beliau turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.


Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

2 comments:

Hamdan Rukun said...

HE!HE!HE!

INI YANG DIKATAKAN GELABAH BERUK !

Anonymous said...

umporno gelabah bewak, sikit2 sultan, sikit2 polis2.