Thursday, August 18, 2011

Timbalan Speaker Dewan Rakyat terpalit skandal perniagaan haram?



RAMAI rakyat Malaysia tertanya-tanya apa hubungan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan dua pengarah Mercantile Point Sdn Bhd dihukum penjara dan denda setelah didapati bersalah melakukan kegiatan Menggubah Wang Haram oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 17 Ogos lalu?

Penglibatan Junaidi sebagai Pengerusi Prime Stock Sdn. Bhd, subsidiari Mercantile Point Sdn Bhd dikesan melalui blog
‘Way Of Investment’ yang memaparkan resume dan peranan Junaidi setelah laman web utama Merchantile Point Sdn. Bhd ditutup.

Nama Ahli Parlimen Malaysia (Santubong) ini disebut-sebut oleh pelabur, namun sukar untuk mengesan penglibatannya; melainkan setelah Sabahkini.net menjalankan penyelidikan rapi dengan bantuan beberapa informer yang menjadi mangsa Merchantile Point Sdn.Bhd.


Pada 17 Ogos lalu, dua pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd, masing-masing dihukum penjara dua tahun serta denda RM3 juta dan RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.



Wan Junaidi merupakan Pengerusi Prime Stock Sdn. Bhd manakala Hariyah
merupakan CEO syarikat skim cepat kaya

Syarikat skim cepat kaya milik Jutawan Internet dari Sabah, Rusdie Ganning, 51, dan Hariyah Yaacob, 54, turut dikenakan denda RM3 juta bagi pertuduhan mengikut BAFIA.

Laporan Bernama pada 17 Ogos, Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang diwakili peguam Mohd Hairani Samsi gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.



Bagi pertuduhan BAFIA, Rusdie, Hariyah (gambar) dan syarikat itu masing-masing didakwa menerima deposit hampir RM117 juta daripada pendeposit tanpa lesen sah di antara 24 April 2007 dan 2 April 2008, di Unit 5.1, Unit 5.2 dan Unit 5.7, Aras 5, Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.5 juta manakala Hariyah dihukum penjara dua tahun dan denda RM2 juta.


Bagi kesalahan mengikut AMLAFTA, Rusdie didakwa terhadap 11 pertuduhan manakala Hariyah menghadapi 18 pertuduhan mengguna, memindahkan dan memiliki wang hasil aktiviti haram sebanyak RM32.5 juta sepanjang 2007 dan 2008.


Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan didenda RM1.9 juta, yang jika gagal dibayar Rusdie boleh menyebabkannya dipenjara 18 bulan.


Hariyah, yang merupakan ibu tunggal, turut dikenakan hukuman penjara yang sama dengan Rusdie bagi setiap pertuduhan dan denda sebanyak RM3.7 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara 18 bulan.


Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kesemua pertuduhan itu berjalan serentak mulai 17 Ogos 2011. Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.


Rusdie sebelum ini aktif dalam bidang MLM dan pernah mempromosi Kad ICash yang kini dimiliki oleh 3.2 juta Ahli UMNO sebelum menceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan berasaskan IT.


Merchantile Point Sdn.Bhd dilancarkan oleh Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman, Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 8 Disember 2007 di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor.


Sabahkini.net akan terus menghubungi Junaidi setelah gagal beberapa kali; untuk mendapatkan ulasan beliau, terutama khabar angin mengatakan bahawa beliau salah seorang VIP penting yang terlibat secara langsung dalam Merchantile Point Sdn.Bhd.


-Sabahkini

No comments: