Wednesday, September 28, 2011

Serangan kukuhkan Pakatan, UMNO kena cari isu lain





KUALA LUMPUR, 29 Sept — Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sidang media tengah malam tadi bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua ketiga-tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

“Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

“Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah,” kata mereka.

Selain itu, kata mereka, mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.

“PKR dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu mereka menambah, mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa “kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecahbelahkan kesatuan Pakatan Rakyat.”

“Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini,” kata mereka.

“Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip keadilan sejagat, pentadbiran yang baik, kebertanggungjawaban, ketelusan, kompetensi bagi mencapai kemaslahatan umum untuk semua rakyat,” kata ketiga-tiga pemimpin kanan ini.

Minggu lalu, Anwar menyokong pelaksanaan hudud yang dihasratkan oleh kerajaan negeri Kelantan ketika PAS dan DAP bertembung dalam isu ini.

Hampir 30 pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan lebih tiga jam malam tadi untuk menyelesaikan perbezaan pendirian parti-parti dalam perikatan itu.

Sabtu lalu, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh menggesa Pakatan Rakyat memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi ini.

Karpal yang sebelum ini secara terbuka mengkritik hasrat kerajaan negeri Kelantan menegaskan, pihaknya akan sentiasa menolak pembentukan negara Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

Khamis lalu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 berkata, beliau lebih rela jika DAP mahu keluar Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.

Sehari selepas kenyataan Karpal itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula memberi kata dua bahawa keseluruhan kepimpinan parti itu akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hukum hudud dipaksa dimasukkan ke dalam rangka kerja Pakatan Rakyat.

Nik Aziz bertegas hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya yang turut berpendirian bahawa hukum hudud akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Isnin lalu, komponen Pakatan Rakyat sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan agar kesemua pimpinan parti masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehingga satu mesyuarat, yang diadakan semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Pakatan Rakyat akan membenarkan ahli-ahlinya memberi pandangan masing-masing tetapi tidak akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja mereka tanpa konsensus daripada semua pihak.

“Mengapa harus PAS dinafikan hak untuk memberikan pandangan mereka? Kita tidak boleh menafikan hak mana-mana parti untuk membawa sebarang pandangan.

“Pakatan Rakyat menghormati inisiatif dan aspirasi PAS, tetapi kita mesti mencapai satu konsensus,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.

Katanya, enakmen berkaitan dengan hudud telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS pada 1993 dan 2003 sebelum Pakatan Rakyat dibentuk.- The Malaysian Insider

No comments: