Wednesday, October 26, 2011

DAKWA SHAHRIZAT!!! RM250 juta wang rakyat dibazirkan untuk 1,000 ekor lembu oleh syarikat anak-beranak

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki suami dan anak kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, dan Adun Sikamat, Aminuddin Harun.


Di bawah Rancangan Malaysia ke 9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan syarikat itu diberi status projek berimpak tinggi dengan sasaran memenuhi 40 peratus permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada 20 Oktober lalu, satu pasukan peninjau yang diketuai Rafizi dan Aminuddin telah membuat kunjungan ke pusat seluas 5,000 ekar di Gemas itu, bagi menentukan pencapaiannya.


Hasil maklumbalas dari temuramah yang dilakukan mendapati jumlah lembu yang diimport itu dipelihara sekitar 1,000 ekor sahaja, manakala lembu yang disembelih pula sekitar 20 ekor sehari.


“Kajian awal KEADILAN, menunjukkan projek ini gagal walaupun menelan jumlah besar wang rakyat dan kurniaan tanah 5,000 ekar,” kata Zuraida ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.


Menurutnya, prestasi operasi syarikat itu perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta.


Jumlah penggunaan daging lembu sepatutnya ialah 162,357 tan manakala jumlah lembu yang perlu di sembelih pula ialah sebanyak 1,500 ekor sehari untuk dibekalkan di pasaraya tempatan.


Penyelidikan KEADILAN juga mendapati operasi lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak Shahrizat itu masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar.


Penyelewengan wang rakyat


Selain aktiviti mengimport, syarikat itu juga dilantik kerajaan untuk membangunkan penternak kecil melalui konsep penternakan satelit, membangunkan makanan lembu berkualiti dan baja dari operasi penternakan tersebut.


KEADILAN berpendapat isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.


Ini kerana Projek itu dilancarkan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat.


Sementara itu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa Shahrizat dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku bekas menteri yang bertanggungjawab menganugerahkan projek tersebut, tampil menjelaskan perkara itu.


“Masalah ini timbul apabila anak-anak dan suami menteri berkenaan menandatangani ‘soft loan’ daripada kerajaan yang diberikan buta-buta kepada Shahrizat. Sampai bila pun (projek ini) tidak dapat pulangan kerana pelihara lembu hanya 1,000 ekor,”.


“Kesannya kerajaan akan tanggung sehingga harga barangan jadi naik dan sebagainya,” ujarnya.


Sumber: keadilandaily.com

No comments: