Wednesday, December 14, 2011

PAS GANTI UMNO!!! Ahli UMNO sertai PAS mencurah-curah di Terengganu

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Umno di Terengganu diakui berada dalam keadaan semakin lemah sekarang oleh ahli-ahli parti itu sendiri, sehingga menyebabkan orang ramai semakin hilang keyakinan terhadap Umno BN untuk terus memerintah di negeri itu.

Realiti itu terserlah apabila ahli-ahli Umno di Terengganu kini semakin ramai yang mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, bagi bersama-sama merealisasikan harapan "PAS Ganti Umno" di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, perbezaan sikap dan tindakan para pemimpin Umno BN dan PAS dapat dinilai sendiri oleh rakyat Terengganu hasil dari pemerintahan PAS di negeri itu pada tahun 1989 lalu, walaupun hanya untuk tempoh sepenggal.

Menurutnya, sepanjang PAS memerintah, seluruh rakyat Terengganu sendiri dapat merasakan betapa mudahnya urusan antara kerajaan dan rakyat dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan pengurniaan tanah kepada rakyat.


Katanya, selain itu, rakyat Terengganu sendiri mengetahui sejak PAS memerintah tidak lagi dikenakan cukai pintu di kawasan-kawasan perbandaran, di samping tidak mengalami kesukaran dari segi karenah birokrasi.

"Sepanjang PAS memerintah, rakyat Terengganu juga tahu tidak terdapat penyelewengan dan salahguna kuasa dan rasuah di kalangan para pemimpin PAS sehingga tak ada seorang pun pemimpin PAS yang boleh diheret ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

9 Disember 2011 lalu, 80 orang ahli Umno dari cawangan Kampung Banggol Donas yang terletak dalam kawasan Dun Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyerahkan borang keahlian PAS kepada Salahuddin.

40 orang daripada mereka terdiri daripada bekas Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno cawangan kampung tersebut, dengan diketuai bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus, Salleh Embong, sempena Majlis Ceramah Isu-Isu Semasa di Markaz PAS yang baru ditubuhkan di kawasan itu.

Penyerahan borang keahlian PAS daripada bekas Puteri diketuai oleh bekas Ketua Puteri Umno Cawangan Kampung itu, Rosni Hassan, 37, atas kerelaan mereka sendiri tanpa paksaaan mana-mana pihak.

Bercakap kepada media pada majlis itu, Salleh dan Rosni mengakui tindakan mereka keluar Umno dan menyertai PAS berpunca dari kehilangan keyakinan mereka sendiri dengan sikap para pemimpin Umno BN di Terengganu yang kini semakin mengabaikan tanggungjawabnya kepada orang ramai, melainkan hanya kepada kroni-kroni mereka sendiri dalam parti itu.

Mereka turut mengakui tindakan mereka itu pasti memberi tamparan hebat kepada Umno Dun Teluk Pasu khususnya dan Umno Kuala Nerus serta negeri amnya, lantaran kekecewaan ahli-ahli parti itu sendiri terhadap para pemimpin mereka.

Antara contoh yang diberikan oleh kedua-dua mereka berhubung perkara itu termasuklah hal-hal yang berkaitan projek pembinaan jalan yang melibatkan tanah serta rumah penduduk di kampung tersebut yang jelas terdapat unsur salahguna kuasa.

Hadir sama pada majlis bersejarah itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Nerus, M Sukrimun Shamsuddin; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Naib YDP Kuala Nerus, Ustaz Ismail Mamat; Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim dan Setiausaha PAS Kuala Nerus, Zakaria Dagang.

Menurut Salahuddin, kemasukan 80 orang ahli Umno ke dalam PAS itu sememangnya mencipta sejarah yang amat membanggakan PAS, memandangkan sebelum ini amat jarang ahli-ahli parti itu di Terengganu menyertai PAS secara serentak sebanyak itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian yakin tindakan 80 bekas ahli Umno itu merupakan sebahagian dari lambang kebangkitan golongan muda untuk bersama-sama melakukan perubahan politik di negeri itu.

"Banyak faktor yang dilihat oleh ahli-ahli Umno sendiri dan genarasi muda sekarang yang mendorong mereka menyertai PAS. Antaranya termasuklah perpaduan utuh di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri berbanding Umno BN, sehingga tidak berlaku kem-kem dalam PAS.

"Keadaan itu berbeza dengan Umno khususnya di Terengganu sehingga berlakunya kem Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Idris Jusoh ekoran perebutan jawatan dan kuasa, sehingga akhirnya rakyat sendiri yang mengakui mereka terabai," katanya.

Beliau berharap agar penyertaan 80 orang bekas ahli Umno itu ke dalam PAS akan dijadikan titik renungan oleh ahli-ahli Umno BN lain di Terengganu untuk bersama-sama berhijrah ke dalam PAS.

Tindakan itu, tegasnya, amat penting untuk membolehkan PAS merampas Terengganu dari Umno BN pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan PAS melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik terhadap rakyat seperti yang diharapkan oleh orang ramai sendiri.

No comments: