Wednesday, January 25, 2012

BRAHIM ALI PUNYA PANDAI!!! Ketua audit kesal NFCorp persoal integriti jabatannya

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kesal dengan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan integriti dan kredibiliti juruaudit-juruaudit jabatannya menjalankan tugas.

Beliau berkata, jabatannya mahu menekankan bahawa kerja-kerja mengaudit ke atas projek NFC dijalankan secara profesional dan bebas tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak.


"Jabatan Audit Negara menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek NFC ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak.



"Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah

dikesali," kata Ambrin dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail menegaskan bahawa entiti perniagaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 tiada kaitan dengan NFCorp.


Sebaliknya, tegas Mohamed Salleh, ia adalah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikendalikan oleh Kementerian kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).


Mohamed Salleh dilaporkan berkata, berlaku kekeliruan antara NFCorp iaitu sarikat persendirian, dengan NFC, syarikat kepunyaan MoA.


Sementara itu, Perkasa pada Ahad lalu mencabar NFCorp mendedahkan kelemahan yang dilakukan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sehingga merosakkan reputasi syarikat berkenaan dan menjejaskan imej kerajaan.


Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, laporan itu sesuai diguna pakai dalam kementerian dan agensi kerajaan tetapi tidak untuk syarikat swasta.


Beliau berkata, pegawai yang membuat audit mungkin keliru dengan beberapa perkara, antaranya, National Feedlot Corporation atau NFCorp adalah milik Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail manakala NFC adalah dimiliki syarikat kerajaan dan pada masa yang sama mengusahakan ladang satelit.


Ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010, Pakatan Rakyat sebelum ini mendedahkan dana RM250 juta yang diberikan kepada syarikat NFC milik suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk projek penternakan lembu disalah guna.


Ianya termasuk pembelian dua kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dituduh menggunakan dana kerajaan untuk perbelanjaan peribadi keluarganya.


Pakatan Rakyat turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan sejumlah RM600,000 daripada dana NFC bagi membiayai pembayaran bil kad kredit mereka pada 2009.


Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa suami Wanita Umno itu dan anak-anaknya yang menjadi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana daripada RM250 juta untuk projek berkenaan bagi membayar bil kad kredit yang berjumlah melebihi RM10,000 sebulan sepanjang tahun tersebut.


Namun begitu, pentadbiran NFCorp menepis dakwaan tersebut dan menegaskan penggunaan kad kredit tersebut adalah untuk kegunaan perniagaan.

Berikut ialah kenyataan penuh daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang:


Ekoran laporan media mengenai beberapa isu yang menghubungkaitkan Jabatan Audit Negara (JAN) dengan projek fidlot di Gemas, Jabatan Audit Negara ingin memberi penjelasan seperti berikut:


Perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN ialah pencapaian projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.


NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.


Projek ini diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar berupa:


i) Peruntukan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPIAT) berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian. Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh KPIAT untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini. Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja.


ii) Geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada bulan September 2007 dan setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.


iii) Pinjaman mudah (soft loan) juga telah diluluskan kepada NFCorp. yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007. Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan.


Tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan. Pengauditan ini melibatkan semakan terhadap maklumat yang diperolehi daripada beberapa agensi Kerajaan seperti KPIAT, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga daripada pegawaipegawai NFCorp semasa lawatan tapak dilakukan pada bulan Mac 2011.


Berdasarkan analisis audit yang bersandarkan kepada maklumat tersebut, pemerhatian-pemerhatian audit telah dibuat secara bertulis untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada pihak-pihak ini. Selain itu, perbincangan menerusi Exit Conference telah dibuat dengan wakil-wakil KPIAT sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek ini sebelum laporan audit dimuktamadkan untuk dimuatkan ke dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010.


Analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya. Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010. Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi.


Jika dibaca keseluruhan LKAN 2010 itu, tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, 'in a mess' atau pun penyelewengan. Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.


Pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini. Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PFN sehingga satu kajian viability and business model (model perniagaan) dijalankan bagi projek ini?.


Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ianya membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah pun mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek ini.


JAN ingin menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek PFN ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak. Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

1 comment:

Libang Libu said...

Tuan empunya blog,

Jika tidak keberatan, mintak link blog saya dengan blog tuan.

http://libanglibu.blogspot.com/

t/kaseh.