Friday, February 17, 2012

ELOKLAH TU!!! Akhirnya UMNO meminang Hasan Ali

Oleh Safar Jumaat

http://penyokongpas.files.wordpress.com/2012/02/hasan_ali.jpgTentu ramai di kalangan orang-orang Umno (jangan sebut ahli-ahli Umno kerana Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak seperti sudah hilang kepercayaan kepada ahli Umno) terkejut dengan seruan Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan supaya Umno dan BN memberi tempat kepada bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berceramah.

Apa tidaknya, Ahmad Maslan mungkin menyangkakan ceramah Dr Hasan akan mendapat sambutan luar biasa, setelah Umno dan BN gagal menarik khalayak di dalam setiap ceramah yang mereka anjurkan, kecuali diadakan cabutan bertuah setiap kali ada majlis ceramah anjuran Umno dan BN.

Apakah Umno kini sudah ketiadaan penceramah? Kenapa perlunya Dr Hasan membantu Umno? Atau Ahmad merasakan penceramah Umno tidak mempunyai "bisa" seperti penceramah PAS yang mampu menarik khalayak?

Ini maknanya, Umno dan BN hanya gah di luar dengan pakaian dan lambang 1Malaysia, tetapi ceramah mereka tiada siapa yang mahu mendengarnya. Bayangkan kalau penceramah Umno itu bernama Raof Yusoh yang merupakan Setiausaha Kerja Umno Malaysia, mungkin yang mendengarnya lebih sedikit dari jumlah kenderaan yang dia miliki.

Kenapa Umno jadi begitu teruk sekarang? Di manakah silapnya hingga Umno teraba-raba mencari penceramah? Kenapa ceramah Umno tidak mampu menarik minat pendengar dan apakah ini membuktikan rakyat sudah tidak percaya kepada kata-kata pemimpin Umno di dalam ceramah-ceramah yang dianjurkan?

Ramai yang percaya, cadangan Ahmad Maslan itu hanyalah cadangan dia seorang. Mungkin Presiden Umno sendiri tidak bercadang menjemput Dr Hasan memberi ceramah di kawasan Parlimen Pekan, kecuali ada permintaan dari Dr Hasan sendiri.

Maklumlah, Dr Hasan yang mempunyai banyak masa untuk berceramah sekarang, tentunya mahu mendekatkan dirinya dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Lagipun, setiap ceramahnya, tentulah bakal mendapat liputan yang baik dari akhbar-akhbar pro Umno.

Khabarnya, Ahmad mempelawa Dr Hasan ke kawasan Parlimen Hulu Langat. Kenapa Ahmad memilih Hulu Langat, hanya dia sahaja yang tahu. Sepatutnya dia menyediakan pentas Umno di Pontian, kawasan yang dia sendiri wakili – tetapi tidak begitu.

Ahmad juga kena tahu, salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri di Pontian pernah dimenangi calon Bebas dalam tahun 70 an. Ini bererti, Pontian bukanlah kerusi selamat bagi Umno dan BN dalam PRU13, jika pengundi menggunakan kebijaksanaan masing-masing.

Kata Ahmad, seperti dilaporkan media arus perdana pro Umno, Dr Hasan mestilah datang ke majlis ceramah Umno atas tiket NGO. Maknanya, jika ada mana-mana NGO yang datang berceramah atas undangan Umno, NGO tersebut mestilah yang menguntungkan politik Umno.

Umno dan BN kini sudah ketandusan penceramah. Suatu ketika dahulu Umno ada penceramah seperti Allahyarham Ikhwan Nasir, Ahli Parlimen Pontian. Tetapi, kini Umno terpaksa menggunakan khidmat bekas-bekas pemimpin pembangkang kerana Umno tidak mampu melahirkan penceramah yang boleh diterima pengundi dan rakyat.

Itulah sebabnya, Umno kini terpaksa mendapatkan khidmat Zahid Mohamad Arip, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berceramah. Dalam masa yang sama, Umno juga mendapatkan khidmat Senator Mohd Ezam Md Nor, bekas Setiausaha Politik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, kedua-dua bekas anak didik Anwar ini mampu menyerang Anwar di pentas ceramah dan tidak ada sesiapa dalam Umno yang boleh mengatasi kebolehan kedua-dua penceramah ini di dalam memalukan Anwar. Ceramah di pentas Umno kini adalah ceramah lucah dan penuh dengan cerita liwat dan video seks. Tidak sah ceramah Umno jika tidak menyentuh isu ini.

Malangnya, kehadiran mereka yang ingin mendengar ceramah dari mereka ini, cukup menyedihkan. Berbeza dengan PAS, DAP dan KeADIlan, setiap ceramah mereka, jika tiada sekatan polis, ia akan menyebabkan kesesakan jalan raya di kawasan sekitar. Ini yang menyebabkan Umno dan BN pening memikirkannya.

Seorang bekas wakil rakyat BN memberitahu, mereka yang memegang jawatan dalam Umno di peringkat bahagian bimbang jika ada mana-mana pihak, termasuk dari kalangan bekas wakil rakyat yang ingin memberi ceramah.

Mereka takut, bekas wakil rakyat itu mampu menarik sokongan kepada mereka dan mengecilkan peluang pemegang jawatan untuk bertanding semula dalam PRU13. Maka, lebih baik mereka tidak membenarkan sesiapa datang membantu mereka khususnya dari kalangan bekas wakil rakyat yang boleh berceramah.

Ahmad Maslan sendiri tidak dapat jemputan dari semua bahagian. Ini kerana ceramah Ahmad Maslan sendiri mengambil masa yang panjang untuk menceritakan siapa dirinya sebelum mahu menyampaikan ceramah dasar-dasar perjuangan parti dan kerajaan.

Khabarnya, Ahmad juga sering memastikan kehadiran wartawan untuk membuat liputan sebelum hadir ke satu-satu majlis kerana publisiti dirinya cukup penting ketika dia berceramah. Dalam era kepimpinan Najib menerajui Umno, Najib dikatakan tersilap memilih Setiausaha Kerja, Ketua Penerangan dan Bendahari. Mereka ini hanya menjaga kepentingan politik sendiri dan tidak pernah menghiraukan keuntungan Umno secara menyeluruh.

Itulah sebabnya, Ahmad Maslan terpaksa mengumumkan Umno bersedia dan perlu menyediakan pentas buat Dr Hasan. Bayangkan kalau Dr Hasan tidak dipecat dari Umno, siapakah yang mampu mengisi ruang kosong penceramah Umno tersebut?

Setakat ini, tidak pula kedengaran Umno mahu memberi laluan kepada bekas Naib Presiden PAS, Dato' Nakahie Ahmad berceramah, walaupun Nakahie pernah dilantik menjadi Penolong Ketua Penerangan Umno Malaysia, dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Umno juga belum kedengaran mahu menyediakan tempat buat Dr Chandra Muzafar. Kenapa Umno memilih Dr Hasan, hanya Ahmad Maslan sahaja yang tahu tetapi rata-rata membayangkan Umno memang mengharapkan Dr Hasan menyertai Umno selepas dipecat dari PAS.

Apakah ada usaha Umno menyokong Dr Hasan bertanding di Parlimen Hulu Langat atau salah satu kerusi Dun di kawasan Hulu Langat? Semua ini perlu diperhatikan dengan teliti tetapi orang Umno Hulu Langat tidak mungkin begitu mudah melepaskan kerusi Parlimen atau Dun hanya kerana memenuhi keinginan Ahmad Maslan, dan memenangkan Dr Hasan yang mereka anggap tidak pernah menyumbang kepada Umno selama ini.

PAS perlu berbangga dengan apa yang berlaku ini, kerana pemimpin-pemimpin PAS rupa-rupanya sentiasa menjadi rebutan Umno. Agaknya, Umno memang sentiasa mengharapkan PAS berkrisis kerana setiap kali PAS berkrisisi, Umno secara tidak langsung mendapat keuntungan politik.

No comments: