Saturday, March 10, 2012

HARI-HARI UMNO DOK KEJI!!! Kedah terus bertambah rezeki




Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

Kedah dilaporkan sebagai negeri yang mengalami konflik dalaman yang teruk di kalangan pemimpin kerajaan negeri sehingga sukar sekali untuk dipulihkan. Apabila yang bercerita mengenai teruknya konflik itu ialah Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain pemimpin UMNO maka ia ibarat ‘kawah menuduh pinggan hitam.’


Pemimpin BN berceramah kononnya akibat asyik bergaduh pembangunan di Kedah tidak dapat dijalankan. Sepanjang empat tahun berlalu, hanya dua minggu berlaku ribut di cawan kopi. Itu pun sudah selesai dan semua yang terbabit sudah bersatu. Berbeza dengan BN, konflik dalaman sudah jadi macam anai-anai bersarang dalam rumah usang. Tunggu masa saja rumah itu akan ranap.


Menariknya, Kedah di minggu-minggu berlaku ribut di cawan kopi ini, adalah tempoh yang cemerlang dalam catatan kejayaan pembangunan (kalau itulah ukuran kejayaan bagi BN).


Kedah dijangka meraih pulangan berjumlah RM10 juta setahun hasil daripada pengeluaran bijih besi di tapak berdekatan Gunung Jerai yang telah memulakan operasinya.


Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, operasi perlombongan di tapak seluas 26.091 hektar itu dijalankan secara usaha-sama di antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn. Bhd.


Sumber baru ini akan memberikan pulangan royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tidak termasuk keuntungan yang diperolehi PKB melalui kerjasama itu. Sepanjang tiga bulan beroperasi, sudah tiga kali bijih besi di eksport ke China melibatkan jumlah sebanyak 100,000 tan dan nilainya bergantung pada pasaran harga semasa.


Beberapa tapak lain juga dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuart di Bukit Kachi di Sintok yang hanya menunggu kelulusan lesen pajakan melombong.

Menurutnya lagi, dianggarkan lebih satu juta metrik tan bijih besi di tapak yang pertama beroperasi, manakala di tapak berdekatan masih lagi menunggu kelulusan untuk dilombong. Rezeki dari bumi ini tidak muncul di zaman BN.


Satu lagi catatan kejayaan apabila Kedah menerima pelaburan sebanyak RM1.84 bilion daripada Syarikat Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd. Syarikat tersebut telah melaksanakan majlis pecah tanah dan pertukaran perjanjian sewaan tanah dengan kerajaan negeri Kedah di Kulim Hi-Tech Park sewaktu kemelut politik kononnya sedang berlaku.


Produk yang akan dihasilkan adalah production of HIT solar modules (pengeluaran bersepadu bagi wafer, sel-sel dan modul). Keluasan bangunan tersebut adalah seluas 70 ribu meter persegi dengan bilangan pekerja yang akan berkhidmat syarikat tersebut nanti adalah 1,500 orang. Pembangkang sibuk menjaja cerita kononnya kerajaan negeri gagal menjana pekerjaan. Sekarang mulut mereka terkatup.


Bagi tahun 2011, Kedah menduduki tempat kelima di kalangan negeri-negeri di Malaysia menerima kemasukan pelaburan di sektor perkilangan. Jumlah pelaburan yang diterima hingga Disember 2011 adalah sebanyak RM6.14 bilion yang melibatkan 42 projek yang diluluskan.


Tempat pertama bagi kemasukan pelabur adalah Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan RM9.106 bilion, diikuti Selangor dengan jumlah RM8.741 bilion, Sarawak dengan jumlah RM8.453 bilion dan tempat keempat adalah Johor dengan jumlah RM6.584 bilion. Tempat kelima tidaklah baik sangat tetapi sekurang-kurangnya ia mengatasi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sabah yang diperintah BN. Baru empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat namun tiga darinya sudah berada dalam kelompok lima yang terbaik.


Di Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) kerajaan negeri telah tambah kepada zon industri fasa empat kepada pelabur akibat dari permintaan yang tinggi dari para pelabur.


Hasrat Kedah untuk menjadikan negeri ini sebagai Belanda Timur dirancakkan lagi apabila kerajaan negeri di bawah anak syarikatnya iaitu Syarikat Kedah Biorecources Corporation (KBioCorp) Sdn Bhd membina Makmal Kultur Tisu. Ia juga dirasmikan di musim konflik ini juga.


Pusat pembiakan kultur tisu yang serba lengkap di kawasan Koridor Utara ini akan dapat membantu bagi menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian sepertimana negara Belanda. Justeru itu, KbioCorp akan menjadi peneraju pengeluaran benih tanaman kultur tisu yang terbaik di kawasan Utara dan Malaysia amnya.


Cuti sekolah singkat akan muncul. Sekretariat Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah sibuk lagi dengan Kem Anak Soleh yang dianjurkan merata tempat seluruh negeri Kedah. Biasanya ibu bapa akan merungut kerana perdaftaran segera ditutup sejurus selepas dibuka. Apa boleh buat kerana permintaan tinggi.


Semua mengharap kerajaan yang ada dapat melakukan sesuatu untuk mentarbiyah anak-anak mereka menjadi manusia sempurna. Mereka tidak memperolehnya sewaktu kerajaan BN dulu.

No comments: