Thursday, April 19, 2012

BERSIH DAFTAR PEMILIH!!! Komponen BN pun minta kerajaan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

KOTA KINABALU - Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Radin Malleh berpendapat satu-satunya cara untuk mengatasi kewujudan 22,000 nama meragukan dalam daftar pemilih ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Oleh itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan perlu menubuhkan suruhanjaya berkenaan dengan segera untuk menunaikan tanggungjawabnya dengan berhemah, cermat, teliti serta tanpa takut dan pilih kasih.

"Kami dalam PBS mahu suruhanjaya ini ditubuhkan demi kepentingan kedaulatan, keselamatan negara dan untuk manfaat generasi akan datang kami, rakyat Malaysia

sebenar yang berasal dari Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Radin, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul

Aziz Mohd Yusof semalam bahawa suruhanjaya itu menjangka tugasnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan lebih mencabar kerana persaingan antara parti yang bertanding diramalkan lebih sengit berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

Abdul Aziz juga dipetik sebagai berkata 0.3 peratus daripada 12.6 juta pemilih diklasifikasikan sebagai pemilih meragukan setelah pemeriksaan terhadap rekod mereka dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kira-kira 22,000

daripada mereka diklasifikasikan sebagai pemilih meragukan apabila kad pengenalan mereka yang dikeluarkan JPN, tidak diambil sejak lebih 20 tahun. – Bernama

No comments: