Sunday, June 10, 2012

NAK HABIS UMUR!!! Jangan pelik tengok UMNO meraban



Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

Umno meraban lagi. Kali ini membawa peralatan pembinaan tahun 70an seperti kereta sorong dan penyodok pasir untuk disumbangkan kepada kerajaan negeri Kelantan bagi membina lebuhraya yang diumumkan oleh Menteri Besar baru-baru ini. Nawaitu mereka hanya satu, menyindir dan menghina pihak lawan walaupun perbuatan yang dipamerkan hanya menonjolkan kebodohan diri sendiri.

Ia adalah lanjutan dari tindakan terencat akal yang dilakukan oleh rakan-rakan seperjuangan mereka antaranya; menghantar kepala lembu dan mangkok jamban ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, menghantar 'najis manusia', kek hitam dan bunga hitam ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, berniaga burger dan senaman tonggeng punggung di hadapan rumah Datuk S. Ambiga.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam nada sinis mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pihak tersebut kerana telah berjaya memalukan perjuangan sendiri akibat tindakan 'tidak cerdik’.

Tuan Guru juga turut menyifatkan tindakan sedemikan sebagai memalukan orang Melayu yang dilakukan dengan tujuan untuk memalukan pihak yang lain (kerajaan negeri).


"Jika Umno merasakan dengan budaya seperti ini, mereka akan mendapat sokongan, teruskanlah.


"Percayalah, Umno sendiri akan malu dengan perbuatan ini satu hari nanti. Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka," tajam sekali pukulan tuan guru.

Segala episod drama politik bikinan Umno mutakhir ini membayangkan kegelabahan yang tidak terbendung lagi. Lalu lahirlah tindakan di luar kewarasan manusia, namun mereka yang melakukannya tidak merasai apa-apa persis orang hilang akal yang kencing di tengah jalan. Orang yang merasa malu ialah orang yang menyaksikannya bukan si gila itu.

Puncak kepanikan Umno ialah apabila PAS berjaya menghimpunkan lebih 100 ribu penyokong di Stadium Darul Aman baru-baru ini. Ia hampir menyamai kehadiran peserta Bersih kali pertama diadakan pada 2007. Apa yang lebih menyakitkan Umno ialah kehadiran para peserta himpunan Hijau Ke Putrajaya 1 Jun lalu, tanpa pembiayaan pihak parti. Mereka datang dengan tambang, penginapan, makan dan minum sendiri. Sedang Umno terpaksa menghabiskan jutaan ringgit duit rakyat untuk menghimpunkan ahli-ahlinya dalam jumlah yang kurang sedikit dari PAS, di Bukit Jalil.

Kenyataan Timbalan Presiden Umno bahawa PAS terpaksa mengadakan perhimpunan di Kedah untuk mengembalikan sokongan rakyat yang hilang hanya menyerlahkan kegusarannya terhadap kebangkitan rakyat menyokong PAS. Ia mengingatkan kita kepada kenyataan bekas Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mahdzir Khalid sewaktu PAS mengadakan muktamar tahunan di negeri ini tahun 2006. Katanya, tindakan PAS itu tidak menggugat kekuatan BN. Tidak sampai dua tahun selepas itu beliau hilang jawatan Menteri Besar dan negeri sekali.

Lagi hebat racauan Tun Dr. Mahathir yang menyifatkan jumlah besar kehadiran himpunan PAS tidak akan bertukar menjadi undi kerana kehadiran mereka dibayar. Inilah jenaka terhebat yang pernah dikeluarkan oleh seorang tokoh Umno.

Hari ini adalah zamannya di mana para pemimpin Umno bercakap sesuatu yang tidak lahir dari lubuk hati. Rakyat tidak lupa dengan keangkuhan Presiden Umno, Datuk Seri Najib ketika berucap di hadapan ribuan penyokongnya di Bukit Jalil. "Rasanya macam besok saja saya pergi mengadap Agong untuk bubar Parlimen," ujarnya. Namun selepas sebulan berlalu tanda-tanda pilihanraya nampaknya semakin jauh. Maka rakyat semakin nampak bahawa Najib sebenarnya takut untuk menghadapi pilihanraya sebab tak yakin akan menang. Maka tidak pelik jika keyakinan terhadapnya merudum teruk hasil kajian yang dibuat oleh Merdeka Center.

Di celah-celah ketakutan bukan kepalang yang menghantui para pemimpin Umno, tiba-tiba terdengar khabar dari jauh sana bawa rakan seperjuangan mereka Hosni Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Mesir. Inilah yang membuatkan para pemimpin kerajaan Pusat berada di puncak kegelisahan. Gelisah dan takut boleh menyebabkan seseorang hilang kewarasan. Sebab itu jangan ambil hati jika Umno meracau teruk ketika ini. Tindakan mereka menyekat PTPTN terhadap pelajar Unisel adalah contoh manifestasi kegelisahan yang tidak terkawal.

Inilah juga ketikanya rakyat Malaysia kena berwaspada kerana orang yang terlalu takut biasanya akan jadi terlebih berani. Macam sipenakut yang berani melompat pagar berduri kerana dikejar anjing. Itulah watak kerajaan Malaysia sekarang.

Kedah La

3 comments:

Anonymous said...

pastikn pru13 tnda 'X' tdak brada d kotak B.N

Anonymous said...

kesian...sanggup menglembukan diri sendiri.

Anonymous said...

Peralatan dh cukup,apa tggu lg,gali la lubang,pastu terjun ramai2 k...jgn lupa ajak pemimpin skali tau...