Thursday, June 14, 2012

PERGINYA SANG MURABBI!!! PAS kehilangan tokoh tarbiyah yang disegani, Al-Fatihah....



MACHANG: PAS hari ini kehilangan murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Datuk Ustaz Yahya Othman, 76, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang tadi di kediamannya di sini.

Menyorot latar belakang beliau, ketika dalam parti, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama) selain pernah menjadi AJK PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun.

Di dalam kerjayanya pula, beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihanraya tahun 1978.

Pada pilihan raya 1990 beliau menang bertanding dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan.

Beliau juga seorang pendidik yang gigih dan merupakan Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (Kias), pengasas Maahad Dakwah wa Imamah, pengasas dan pengarah Institut al-Nur dan lain-lain lagi.

Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiyah Islamiyyah. Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan oleh sekalian ahli-ahli PAS yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah; Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya) dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.

PAS sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman.

Difahamkan solat jenazah akan diadakan di kediaman beliau jam 9 pagi esok.


Kehilangan besar buat rakyat Kelantan 
 
KOTA BHARU: Kematian bekas anggota jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Ustaz Yahya Othman (gambar) petang tadi diterima dengan berita berbaur sedih seluruh rakyat Kelantan.

Beliau meninggal dunia di rumahnya di Banggol Judah, Labok akibat sakit tua. Beberapa tahun lalu Allayarham diserang angin ahmar menyebabkan pergerakannya terbatas.

Biar pun dalam keadaan keuzuran bagaimanapun beliau berjaya menyiapkan sebuah pusat latihan yang terletak di hadapan rumahnya, kini menjadi tumpuan banyak pihak.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai bapa tarbiyah PAS merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri ketika PAS menang pada 1990. Beliau menang di Dun Banggol Judah.

Berita kematiannya juga memenuhi ruang facebook di kalangan penyokong PAS.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya di atas kematian Ustaz Yahya.

“Saya dikhabarkan berita kematian alfadhil Ustaz Yahya Othman sebentar tadi. Innalillahi wainna ilaihi rajiun,” katanya.

Menurutnya Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada perjuangan mendaulatkan Islam terutamanya dalam aspek pentarbiahan.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, rakyat negara ini kehilangan seorang murabbi yang disegani dan sukar dicari ganti.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja dikenali di negara ini sebaliknya mempunyai ramai sahabat di seluruh dunia terutamanya gerakan Islam sedunia.

"Tuan Guru Presiden pun ada menziarahi Allahyarham pada bulan lepas ketika menghadiri satu program anjuran PAS Machang di Madu," ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Ketua Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak juga terkejut mendengar berita kematian Allahyarham yang juga merupakan gurunya.

“Allahyarham seorang yang istiqomah dan tegas dalam proses pentarbiahan ahli-ahli PAS, sebab itulah beliau menjadi penggerak utama program tarbiah dan seminar kepemimpinan yang diadakan di seluruh negara,” ujarnya.


Kita baru sahaja mendapat khabar pemergian, Al Murabbi Ustaz Yahaya Othman, Mantan Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Sesungguhnya berita ini amat mengejutkan kami pimpinan dan ahli-ahli Parti Islam Se-Malaysia PAS.

Beliau pergi dikala jamaah amat memerlukan khidmat beliau.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia PAS, kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh kenalan serta muridnya diatas pemergian tersebut.

Ustaz Yahya Othman merupakan kawan dan guru yang berjasa besar di dalam memperkasakan tarbiah ahli-ahli PAS dan mendambakan diri sejak sekian lama kepada tugas-tugas tersebut.

Samada ketika berjawatan didalam parti, daripada Dewan Ulama kepada Ahli Majlis Syura Ulama dan juga sebagai exco kerajaaan negeri Kelantan diawal pemerintahan PAS ataupun setelah tiada jawatan didalam jemaah, beliau meneruskan tugasnya dengan penuh gigih.

Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada almarhum dan kegigihannya menjadi ikutan kepada pendokong-pendokong PAS dan ditempatkan beliau bersama orang yang soleh.

Kepada keluarga dan sahabat handai, kita doakan diberi kesabaran oleh Allah SWT.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

No comments: