Monday, July 2, 2012

KAUT DUIT RAKYAT!!!Pindaan Akta Pengangkutan Jalan terbaru, 1Saman RM300 duit rakyat, syarikat kroni untung

http://www.star-motoring.com/getattachment/News/2010/Saman-ekor-has-to-go-on/009264918.jpg.aspx?width=427&height=286Pada 25 Jun 2012 Kementerian Pengangkutan telah membentangkan pindaan Akta pengangkutan Jalan 1987 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dan mula dibahaskan pada 27/06/2012 seterusnya pada 28/06/2012 di mana akhirnya pindaan tersebut diluluskan dengan suara majoriti Ahli Parlimen khususnya yang menyokong Kerajaan.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) percaya bahawa rata-rata rakyat Malaysia tidak arif dan tidak mengetahui apakah intipati pindaan yang dicadangkan dan apakah alasan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) dipinda.

Untuk makluman, APJ 1987 ini kali terakhir dipinda ialah pada akhir tahun 2010 dengan tujuan memasukkan beberapa peruntukkan bagi melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System – AES). Sistem ini akan beroperasi dalam tiga (3) keadaan iaitu untuk kesalahan memandu melebihi had laju, memandu kenderaan selain bas di lorong bas dan melanggar isyarat lampu isyarat. 

Ini bermaksud kamera-kamera AES akan dipasang di lokasi-lokasi seperti di lebuhraya untuk mengesan had laju, di lampu isyarat untuk mengesan perlanggaran isyarat lampu isyarat dan di jalan-jalan tertentu yang dikuatkuasakan lorong bas bagi mengesan kesalahan memandu kenderaan lain selain bas di lorong bas.

Pada September 2009 sebelum APJ 1987 dipinda bagi melaksanakan AES, Kerajaan dan syarikat pelaksana AES telah bersetuju dengan suatu modul kewangan bagi melaksanakan sistem tersebut. Modul yang telah dipersetujui pada masa tersebut seperti berikut : -

JADUAL PERTAMA

Senario
Bil Saman
JangkaanSaman dibayar (60%)
Kutipan hasil (RM300)
Bayaran Kepada Syarikat

1
6 juta
3.6 juta
1,087,020,000
BT = 384,805,080
CC = 384,805,080

2
9 juta
5.4 juta
1,630,530,000
BT = 425,568,330
CC = 425,568,330

3
11.4 juta
6.84 juta
2,050,920,000
BT  = 457,355,160
CC = 457,355,330

4
12.5 juta
7.5 juta
2,256,012,000
BT = 473,762,520
CC = 473,762,520

5
14.2 juta
8.62 juta
2,563,650,000
BT = 494,784,450
CC = 494,784,450


Kutipan Hasil (RM300) semasa modul ini dirangka dan dipersetujui adalah berdasarkan kepada jumlah Kompaun iaitu RM300.00.

Apakah Pindaan Yang Dibuat Ke Atas APJ 1987

Secara amnya pindaan yang dicadangkan kali ini adalah untuk menyeragamkan kadar denda bagi kesalahan lalulintas.

Seksyen

Kadar Denda Asal
Pindaan
Seksyen 14(4) – Memperagakan Nombor Pendaftaran

Denda tidak lebih RM3,000
Tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM3,000
Seksyen 15(4) – Lesen Kenderaan Motor

Denda tidak lebih RM5,000
Tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM5,000
Seksyen 40 – Memandu Melebihi Had Laju

Denda tidak lebih RM1,000
Tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000
Seksyen 66A – Perakuan Pemeriksaan Kenderaan

Denda tidak lebih RM5,000
Tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM5,000

KENAPA DITETAPKAN KADAR MINIMA DENDA KESALAHAN LALULINTAS?

Sejak digubal APJ 1987 ini, kesalahan-kesalahan lalulintas khasnya yang melibatkan kesalahan yang boleh dirakam melalui kamera tidak menetapkan kadar minima denda. Apabila APJ 1987 dipinda pada tahun 2012 untuk melaksanakan AES barulah kadar minima denda hendak dilakukan. Semasa penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat pada 28/06/2012 Timbalan Menteri Pengangkutan memaklumkan bahawa pindaan ini dibuat sebagai suatu langkah memberi kesedaran kepada pengguna jalanraya sekaligus untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. 

Timbalan Menteri langsung tidak memberikan alasan kenapa kadar denda minima RM300 ditetapkan sebaliknya menjawap persoalan-persoalan remeh yang lain. Jawapan tersebut jelas mengelirukan dan tidak boleh diterima.

 Adakah dengan menetapkan denda minima RM300 bagi setiap kesalahan boleh mengurangkan kemalangan? Contohnya pindaan kepada Seksyen 14(4). Seksyen 14 (4) ialah kesalahan tidak memperagakan nombor pendaftaran mengikut ketetapan Akta dan dipinda denda minimanya kepada tidak kurang daripada RM300. 

Adakah menetapkan denda minima bagi kesalahan tidak memperagakan nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi boleh mengurangkan kemalangan? Adakah tidak memperagakan nombor pendaftaran kenderaan boleh mengurangkan kemalangan? Jawapan Timbalan Menteri tersebut jelas cuba berselindung atau menyembunyikan isu.

Apa isu sebenar? Besar kemungkinannya ialah kadar minima denda ditetapkan untuk memudahkan syarikat pengendali Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) membuat unjuran pendapatan. Rujuk kepada Jadual Pertama berkaitan Modul Kewangan dua (2) syarikat yang akan mengendalikan AES ini.

 Asalnya unjuran pendapatan dibuat berdasarkan jumlah kutipan kompaun bagi setiap kesalahan. Kompaun yang ditawarkan ialah maksimum RM300 justeru unjuran dibuat berdasarkan jumlah bayaran kompaun. Diunjurkan jika 6 juta saman dikeluarkan dan sebanyak 3.6 juta sahaja saman (kompaun) dijelaskan maka syarikat pengendali akan mendapat bayaran masing-masing sebanyak RM384,805,080 dan RM 384,805,080. 

Unjuran ini adalah berdasarkan jumlah kompaun RM300. Masalah timbul jika pesalah lalulintas tidak membayar kompaun sebaliknya hadir ke Mahkamah untuk samada mengaku salah atau meminta dibicarakan. Jika kesalahan diakui maka Mahkamah akan menetapkan jumlah denda yang sebelum pindaan APJ 1987 tidak menetapkan denda minima.

Mahkamah berkemungkinan memerintahkan jumlah denda di bawah RM300 mengikut kes yang dibicarakan dan mengambilkira pengakuan salah serta keadaan-keadaan rayuan hukuman oleh pesalah. Justeru syarikat pengendali besar kemungkinannya tidak akan memperolehi unjuran yang dibuat sebelum ini.

Jawatankuasa KASE percaya atas permasalahan inilah APJ 1987 dipinda bagi menetapkan denda minima kerana jika kes dibawa ke Mahkamah sekalipun, jumlah denda sudah ditetapkan tidak kurang RM300 dan dengan itu setiap saman yang dikeluarkan boleh diunjurkan dengan jumlah RM300. 

 Maka mudah dan senang kerajaan dan syarikat membahagikan pulangan daripada saman-saman kesalahan lalulintas. Inilah yang disebutkan di dalam perbahasan oleh Pengerusi KASE, YB Dato’ Haji Mahfuz Omar bahawa pindaan ini hanya melihat situasi “menang-menang” di antara kerajaan dan syarikat pengendali AES tetapi akhirnya rakyat dan pengguna jalanraya keseluruhannya yang akan menanggung beban.

Isu kedua ialah kenapa jumlah denda minima ditetapkan adalah sama dengan kadar tawaran kompaun? Kadar maksima tawaran kompaun ialah RM300. Kompaun ialah suatu tawaran denda kepada pesalah lalulintas jika mereka mengaku salah maka boleh membayar tawaran kompaun yang ditawarkan. 

Pada masa ini tawaran kompaun dibuat berperingkat iaitu jika kompaun dibayar dalam tempoh 1 hari hingga hari ke 15 maka jumlah kompaunnya ialah RM150, bagi hari ke-16 hingga hari ke-30 jumlah kompaunnya ialah RM200 dan jika melebihi 30 hari jumlahnya ialah maksimum RM300. 

Jumlah denda minima RM300 dan jumlah maksima RM300 bagi kompaun adalah suatu yang tidak wajar. Kadar denda dan kompaun yang sama hanya bersifat memaksa pesalah untuk membayar sedangkan prinsip asas undang-undang ialah “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

Seseorang pengguna jalanraya walaupun menerima suatu notis atau saman berkaitan kesalahan yang dirakam melalui kamera seperti kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu isyarat tetap dianggap tidak bersalah sehingga mereka dibuktikan bersalah. 

Walaupun gambar dikepilkan bersama notis, ia tidak membuktikan kesalahan sehinggalah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah. Sebelum pindaan APJ 1987 kesalahan memandu melebihi had laju dendanya ialah tidak melebihi RM1,000. Jika pemandu mengaku kesalahan, beliau boleh membayar kompaun yang ditawarkan samada RM150, RM200 atau RM300. 

Jika tidak mengaku kesalahan beliau akan dihadapkan di Mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, Mahkamah mempunyai budibicara untuk mengenakan denda samada RM50, RM100, RM300 atau apa-apa jumlah yang tidak melebihi RM1,000. Apabila APJ 1987 dipinda menetapkan minima RM300 maka jika pemandu disabitkan kesalahan di Mahkamah, maka dendanya adalah RM300 dan tidak lebih RM2,000. 

Mahkamah sudah tiada budi bicara malah pesalah juga sudah ditetapkan jumlah dendanya. Situasi ini akan meletakkan pengguna dalam keadaan serba salah samada hendak menegakkan hak bahawa mereka tidak bersalah maka perlu ke Mahkamah dan mengambil masa yang lama dan jika disabitkan kesalahan akan didenda minima RM300, maka lebih baik mereka membayar kompaun RM300 sedangkan dalam diri mereka tidak mengakui mereka melakukan kesalahan. 

Situasi ini jelas menggambarkan bahawa penetapan kadar minima denda RM300 adalah bertujuan memudahkan kerja penguatkuasa dan syarikat pengendali supaya tidak perlu menunggu lama memperolehi hasil saman.

PERUNTUKAN BARU SEKSYEN 76A

“Belok kiri dibenarkan

76A. (1) Walau apa pun isyarat merah atau isyarat lalu lintas lain yang menunjukkan tempat di mana lalu lintas mesti berhenti di mana-mana simpang lalu lintas, mana-mana gorang yang memandu sesuatu kenderaan motor di jalan boleh membelok ke kiri di simpang lalu lintas itu mengikut manamana isyarat lalu lintas yang membenarkan belok kiri yang telah diletakkan dengan sah di sisi undang-undang di jalan itu setelah berhenti sebelum garisan berhenti yang ditandakan di atas jalan untuk memastikan bahawa adalah selamat untuk berbuat demikian.
(2) .................................................
(3) ................................................
(4) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini atau mana-mana kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen ini berhubung dengan belok kiri dibenarkan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada tiga ratus ringgit dan tidak lebih daripada dua ribu ringgit.”

Peruntukkan Seksyen 76A yang baru ini secara amnya bertujuan memberikan kelonggaran kepada pemandu kenderaan untuk membelok ke kiri di lampu isyarat yang menunjukkan warna merah jika terdapat papan tanda membenarkannya. Papan-papan tanda ini kebiasaannya terdapat di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur seperti di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Parlimen. 

Peruntukkan baru ini mempunyai masalahnya tersendiri yang boleh menyebabkan pengguna jalanraya khususnya yang tidak biasa dengan jalan-jalan tertentu berisiko disaman. Malah pengguna-pengguna jalanraya yang biasa juga akan menanggung risiko tersebut.

Situasi sebegini boleh berlaku. Mengikut AES kamera perangkap kesalahan akan juga dipasang di lampu isyarat untuk merakam perlanggaran isyarat lampu isyarat. Apabila seseorang pemandu tidak berhenti di lampu isyarat merah, maka kamera AES akan merakam gambar kenderaan dan menghantar ke pusat pemprosesan saman lalu saman dikeluarkan.

 Jika di persimpangan yang ada papan tanda boleh belok kiri mengikut Seksyen 76A ini, pemandu hendaklah membelok ke kiri walaupun lampu isyarat menunjukkan merah. Jika tidak belok, kamera akan merakam gambar dan saman dikeluarkan kerana tidak belok, tetapi jika belok, kamera akan merakam gambar kerana melanggar isyarat lampu merah.

 Akhirnya kedua-dua tindakan tersebut akan meletakkan pemandu dalam keadaan serba salah. “Belok salah tak belok pun salah, jadi semua serba salah”. Perlu diambil perhatian bahawa kesalahan di bawah peruntukan baru ini juga kadar denda minimanya ialah RM300.

KESIMPULAN

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) berpendapat bahawa pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang telah diluluskan oleh majoriti Ahli Dewan Rakyat pada 28/06/2012 yang lalu akan terus membebankan pengguna jalanraya tetapi sebaliknya menguntungkan syarikat pengendali Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

 Kerajaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa AES akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun 2012 dan langkah meminda Akta pengangkutan Jalan 1987 ini adalah salah satu persedian kerajaan melaksanakan sistem tersebut. 

KASE mengajak seluruh pengguna jalanraya supaya menolak pindaan ini dan dalam masa yang sama mematuhi setiap undang-undang dan peraturan lalu lintas agar tidak menjadi penumbang kepada statistik kemalangan dan juga penyumbang keuntungan syarikat pengendali AES.


Penulis ialah Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor.

4 comments:

ALahaI sI LunCAi said...

HE!HE!HE!

INI CERITA SAMAN. TAK SALAH TAK KENALAH. YANG HANGPA DOK KUTIP TIAP TIAP MALAM TU, TAK PULAK HANGPA BISIN NOO...

Anonymous said...

alahai si luncai.hang jangan duk sama kutip saman dengan derma.bodoh sungguh hang nih.derma tak dak org paksa beri.hang tak beri pun tak dak org duk hukum hang,reti.tp kalau saman hang tak bayaq duk dalam bodo.yg org duk hinggaq ni saman tu nak bahagi dgn syarikat.syarikat ni bila berniaga mesti nak untung.bila nak untung mesti cari salah supaya bleh masuk.nak cari salah memang mudah,hang reti dak.betui nak jaga keselamatan tp kalau no plat pun nak denda,bukan jaga keselamatan,cari duit.bodo.

Anonymous said...

alahai si luncai nie jenis xbaca pun artikel tu,, xfaham apa isunya, main rembat semacam.. faham betul2 dulu isunya then baru komen.. Mereka nie langsung xfaham kesusahan rakyat,, selagi boleh nak kaut juga duit dan cipta berbagai alasan dan kemungkinan utk membolehkan duit dicekau dari poket rakyat.. Saman kononnya nak beri pengajaran tp mendera rakyat.. memberi pengajaran bukan begini caranya..

Anonymous said...

Saman2 ni sgt membebankan rakyat..tp yg untung kroni2 depa jg. Aduii kesian la kt rakyat mcm kami ni.. rm300 tu bukannya sikit.. kje gaji rm700++.. saman rm300.. adoii makan pasir la. Aku xkn halal duit saman tu..asyik pikir bisnes je..utk mengenyangkan perut buncit masing2.. Akhirat nti jawab lh depan tuhan atas apa yg kamu telah lakukan..nk2 ia menganiayai makhluk..

insanulkamil