Monday, January 14, 2013

ZALIM!!! Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung tugas

KUALA LUMPUR 14 Jan:  Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin digantung tugas dipercayai kerana meramalkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

Ekoran itu pelbagai pihak menyifatkan tindakan tersebut sebagai zalim termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Twitternya.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau turut  kesal kerana ahli ekonomi berkenaan hanya memberi pandangan berdasar kajian dijalankan.


“Tindakan itu adalah perkara memalukan. Sebagai ahli ekonomi,  beliau wajar memberi pandangan jika merasakan ia tepat dengan analisa yang dilakukan. Sekiranya tidak bersetuju, BN perlu membentang analisa berasaskan fakta dan profesionalisme,” ujar Nik.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan tindakan menggantung tugas Azrul dilakukan atas desakan pihak tertentu.

Katanya lagi, keadaan itu berbeza di negara lain yang mengamalkan demokrasi matang, apabila ahli ekonomi diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka.

“Penganalisis bank di Amerika misalnya, meramalkan keputusan pilihan raya kerana bagi kebanyakan pelabur ia penting bagi menentukan keputusan perniagaan. Itu perkara biasa kepada ahli ekonomi dan penganalisis ekonomi di bank-bank atau institusi kewangan,” ujarnya yang juga Adun Seri Setia.

Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13. Kenyataan itu kemudian dilaporkan akhbar The Straits Times Singapura pada 11 Januari lalu.

Azrul berkata, hasil kajian menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperoleh antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi PRU lalu.

Laman web Straitstimes.com 12 Januari lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Sri Zukri Samat bahawa Bank itu tidak terbabit dalam forum berkenaan dan menyatakan pandangan Azrul  bersifat peribadi serta meminta ia tidak dikaitkan dengan bank itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43151

No comments: