Friday, October 11, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Mesyuarat agung PAS Putrajaya tidak sah, jawatan YDP dikembalikan kepada pemegang asal?

NONE

 Kamarulzaman Muhamad , jawatan YDP Putraya yang dipegangnya tidak sah?

Sumber facebook pemegang jawatan YDP yang asal Ust. Nazir Zakaria.

Keputusan Mesyuarat PAS Pusat ini menetapkan mesyuarat agung PAS Putrajaya tidak sah kerana notis tidak sah

Jawatan YDP PAS Putrajaya dikembalikan kepada Ustaz Nazir Zakaria
  Merujuk kepada pandangan seorang peguam, mesyuarat agung PAS Putajaya  ini akan memberikan kesan secara langsung terhadap PAS.

Jika Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya tidak sah, maka perwakilan yang dihantar oleh PAS Putrajaya adalah perwakilan yang tidak sah. Jika perwakilan Pas Putrajaya memilih di dalam Muktamar Agung PAS November nanti, pemilihan tersebut akan menjadi tidak sah kerana perwakilan yang memilih itu tidak layak memilih. Apabila pemilihan Pusat tidak sah, maka PAS Pusat yang baru dipilih secara keseluruhannya tidak sah dan PAS boleh dibatalkan pendaftarannya dan diharamkan seperti mana Umno diharamkan dulu. 

 
Tulisan ini bukan untuk mempertahankan mana-mana pihak tetapi untuk melihat dari sudut perundangan dan kesannya terhadap Pas secara keseluruhan.


a) Status perehatan Ustaz Nazir Zakaria sebagai YDP.

Ustaz Nazir Zakaria merupakan Yang DiPertua Pas Kawasan Putrajaya yang telah dipilih secara sah melalui Mesyuarat Agung Kawasan pada 2011 untuk penggal 2011 – 2013. Pada 3 April 2013 sepucuk surat telah dikeluarkan kepada Ustaz Nazir yang ditandatangani oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad atas kapasiti Pemangku Timbalan Yang DiPertua Pas Kawasan Putrajaya, Sdr Mohamad Hj Hassan, Pemangku Naib Yang DiPertua dan Sdr Kamarul Arif bin Ambak, Penolong Setiausaha. Surat tersebut memaklumkan bahawa keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan Putrajaya pada 18 Mac 2013 dan 20 Mac 2013 telah memutuskan bahawa Ustaz Nazir direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai YDP Kawasan sehingga suatu tempoh yang akan diputuskan kembali oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan. Surat makluman tersebut bagaimana pun tidak menjelaskan alasan keputusan tersebut dibuat.

PERTAMA : ADAKAH MESYUARAT KHAS JAWATANKUASA KERJA PAS KAWASAN SAH?

Dinyatakan di dalam surat bertarikh 4 April 2013 bahawa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan pada 18 Mac 2013 dan 20 Mac 2013. Hasil mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk merehatkan YDP daripada menjalankan tugas YDP sehingga suatu tempoh yang ditentukan Jawatankuasa Kerja.

Siapa yang memanggil Mesyuarat Khas tersebut? Adakah ada di dalam Perlembagaan PAS berkaitan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja? Perlu diambil perhatian bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kawasan hanya boleh dipanggil oleh YDP atau oleh satu pertiga (1/3) daripada AJK Kawasan secara bersurat kepada Setiausaha dengan menyatakan sebab-sebabnya. Ini diperuntukkan di dalam Fasal 28(9) seperti berikut :-

(9) Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu, atau pada sebarang masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa itu yang meminta dengan bersurat kepada Setiausaha PAS Kawasan itu dan menyatakan sebab-sebabnya.

Prosedur Mesyuarat Jawatankuasa Kerja telah dengan jelas diperuntukkan di Fasal 34 seperti berikut :-

FASAL 34. Notis Mesyuarat Jawatankuasa Kerja
(1) Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian yang disebut dalam Fasal 25, 28 dan 31 Perlembagaan ini.

Walaubagaimana pun suatu Mesyuarat Jawatankuasa Khas boleh dipanggil dengan mengabaikan peruntukkan Fasal 34(1) iaitu diperuntukkan di Fasal 34(4) seperti berikut :-

(4) Dengan mengabaikan Ceraian (1), (2) dan (3) Fasal ini, mana-mana mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja yang disebut dalam Ceraian-ceraian di atas bolehlah diadakan pada bila-bila yang dikehendaki oleh Presiden atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau Yang Dipertua PAS Kawasan atau Ketua PAS Cawangan atau Ketua Dewan-dewan berkenaan. Setiausaha Agung atau Setiausaha yang berkenaan hendak mengeluarkan notis mesyuarat pada bila-bila masa yang sesuai dengan apa-apa cara yang difikirkan munasabah untuk menyampaikan notis tersebut.

Peruntukkan Fasal 34(4) dengan jelas menyebutkan bahawa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja hanya boleh dipanggil oleh Presiden atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau Yang Dipertua Kawasan atau Ketua PAS Cawangan atau ketua-Ketua dewan-Dewan berkaitan.

Justeru persoalan yang perlu dijelaskan oleh Jawatankuasa Kerja yang bermesyuarat khas pada 18 dan 20 Mac 2013 tersebut, adakah mesyuarat tersebut dipanggil oleh Presiden atau oleh Pesuruhjaya Pas Negeri atau oleh YDP atau satu pertiga (1/3) daripada AJK secara bersurat dan kenapa pada dua (2) hari yang berdekatan? Jika Presiden atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau YDP Kawasan atau Ketua Cawangan atau Ketua Dewan tidak pernah memanggil mesyuarat, maka mesyuarat tersebut tidak sah dan keputusan mesyuarat adalah tidak sah. Jika ada panggilan mesyuarat khas dibuat oleh mana-mana orang yang tersebut itu, adakah suatu notis mesyuarat dikeluarkan dan disampaikan secara munasabah.

KEDUA : ADAKAH JAWATANKUASA KERJA KAWASAN MEMPUNYAI KUASA MEREHATKAN YANG DIPERTUA KAWASAN?

Rujukan perlu dibuat kepada Fasal 28 Perlembagaan PAS. Difahamkan bahawa Jawatankuasa Kerja menyatakan mereka merehatkan Ustaz Nazir (YDP) berdasarkan Fasal 28 (8) seperti berikut :-

Fasal 28(8)
Dengan tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam ceraian (2), (3), (4), (5) dan (6) di atas, maka Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan adalah berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan daripada menjalankan kerja-kerjanya pada/atau dalam masa yang ditentukan. Akan tetapi tidaklah boleh diberhentikan seseorang Ahli Jawatankuasa itu melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

Fasal 28(8) menerangkan kuasa Jawatankuasa Kawasan untuk memberhentikan atau menahan seseorang AJK menjalankan tugas dalam masa tertentu. Walaubagaimana pun kuasa tersebut tertakluk kepada sekatan yang dinyatakan di dalam Fasal 28(2),(3),(4),(5) dan (6). Di dalam Fafal 28(8) tersebut diperuntukkan dengan jelas pada awalnya bahawa “Dengan tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam ceraian (2), (3), (4), (5) dan (6) di atas” .

Apa maksudnya? Apa syarat-syaratnya? Frasa ini dengan tegas memberikan maksud bahawa walaupun Jawatankuasa Kerja mempunyai kuasa untuk memberhentikan atau menahan mana-mana Ahli Jawatankuasa dari menjalankan tugas, ianya tidak termasuk kepada YDP, TYDP, NYDP dan KUU kerana ketiga-tiga jawatan tersebut adalah jawatan yang dipilih dan dilantik oleh perwakilan di dalam Mesyuarat Agung Pas Kawasan. Jawatankuasa Kerja hanya boleh menggunakan kuasa memberhentikan dan menahan tugas hanya bagi AJK yang dilantik. Ini secara jelas disebutkan dalam Fasal 28(5) seperti berikut :-

(5) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam ceraian (1)(l) Fasal ini hendaklah dua pertiga daripadanya dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada tiap-tiap dua tahun sekali dan satu pertiga daripadanya dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan daripada ahli-ahli PAS dalam Kawasan itu, dan mereka hendaklah memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang akan datang atau sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

Fasal 28(5) menyebut dengan terang bahawa satu pertiga (1/3) AJK dilantik oleh YDP dengan persetujuan mesyuarat AJK Kawasan memegang jawatan untuk tempoh dua (2) kali Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan atau sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa kerja Pas Kawasan dengan apa-apa jua sebab sekalipun. Justeru mereka (1/3) AJK inilah sahaja yang boleh diberhentikan seperti yang diperuntukkan oleh Fasal 28(8).

Jika Jawatankuasa Kerja mengguna-pakai peruntukkan Fasal 28(8) tersebut untuk merehatkan YDP maka Jawatankuasa Kerja telah terkhilaf. Justeru keputusan Jawatankuasa Kerja Kawasan merehatkan YDP melalui surat bertarikh 4 April 2013 tersebut adalah tidak sah maka dengan sendirinya surat bertarikh 12 September 2013 yang menarikbalik tempoh rehat beliau sebagai Yang Dipertua adalah tidak sah.

Kesimpulannya, Ustaz Nazir Zakaria masih Yang Dipertua PAS Kawasan Putrajaya yang sah sehinggalah Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya yang baru yang ada pemilihan, memilih orang lain sebagai Yang Dipertua yang baru.

b) Kesahan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Putrajaya pada 22 September 2013

Sesebuah PAS Kawasan bergerak berdasarkan mandat Masyuarat Agung Tahunan seperti yang diperuntukkan di dalam Fasal 18 seperti berikut :-

FASAL 18. Mesyuarat Agung PAS Kawasan
(1) Adapun gerakan dan pentadbiran sebuah kawasan PAS itu adalah dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu di bawah kekuasaan Majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu. Akan tetapi Majlis Mesyuarat Agung itu sendiri adalah tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS dan juga Aturan dan Peraturan mesyuarat kawasan itu.

(2) (a) Sesebuah Kawasan hendaklah mengadakan Majlis Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan Februari, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua kawasan itu ataupun dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

(b) Mesyuarat Agung Khas Kawasan bolehlah diadakan pada bila-bila masapun jika dikehendaki oleh Yang Dipertua Kawasan itu, atau dengan kehendak, sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah cawangan-cawangan atau daripada ahli-ahli kawasan itu. Maka dalam Mesyuarat Agung Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa selain daripada perkara yang kerananya Mesyuarat Agung Khas itu diadakan.

(c) Notis Mesyuarat Agung Tahunan kawasan dan Mesyuarat Agung Khas Kawasan hendaklah dihantar kepada perwakilan dalam tempoh 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan dengan menyertakan agenda, laporan dan penyata kewangan yang telah diodit.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Putrajaya telah diadakan baru-baru ini pada 22 September 2013. Notis panggilan mesyuarat bertarikh 12 September 2013. Notis itu hanya 10 hari daripada tarikh Mesyuarat diadakan.

a) Adakah Notis Mesyuarat bertarikh 12 September 2013 tersebut sah?

Fasal 18(2)(c) menyatakan notis hendaklah dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat. Frasa “dalam tempoh 14 hari” itu bagaimana ditafsirkan? Adakah ianya bermaksud di dalam lingkungan 14 hari atau bermaksud tidak kurang dari 14 hari”?

Pendapat saya frasa “dalam tempoh 14 hari” itu bermaksud hendaklah tidak kurang 14 hari kerana ianya sebagai persediaan kepada perwakilan untuk mengkaji dan meneliti agenda mesyuarat, laporan mesyuarat dan penyata kewangan untuk dibahaskan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Kenapa saya tidak menafsirkan dalam lingkungan 14 hari? Ini kerana jika notis mesyuarat dikeluarkan dalam lingkungan 14 hari, maka notis boleh dikeluarkan sehari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan dan itu tidak munasabah. Contohnya Mesyuarat Agung Tahunan dijadualkan esok 10 Oktober 2013 dan notis dikeluarkan hari ini 9 Oktober 2013. Adakah wajar dan munasabah kepada perwakilan? Tentu tidak, maka frasa “dalam tempoh 14 hari” hendaklah ditafsirkan sebagai tidak kurang 14 hari.

Atas sebab itu saya berpendapat bahawa Notis Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya bertarikh 12 September 2013 adalah pra-matang dan Mesyuarat Agung Tahunan pada 22 September 2013 adalah tidak sah. Maka segala yang dilakukan di dalam Mesyuarat adalah tidak sah. Pemilihan jawatan dan pemilihan perwakilan ke Muktamar Agung PAS psuat juga tidak sah.

b) Siapa memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya?

Rujuk kembali kepada Fasal 18(2(a) yang memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua untuk memanggil Mesyuarat Agung Tahunan pada bila-bila masa. Tiada pihak lain yang boleh memanggil Mesyuarat Agung Tahunan selain daripada Yang Dipertua atau pun permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada AJK Kawasan.

Notis Mesyuarat Agung Tahunan bertarikh 12 September 2013 ditandatangan oleh Setiausaha PAS kawasan. Siapa yang memanggil mesyuarat? Adakah Setiausaha atau Yang Dipertua? Fasal 18(2)(a) jelas bahawa hanya Yang Dipertua boleh memanggil Mesyuarat Agung Tahunan dan Setiausaha hanya menjalankan tugas mengeluarkan notis. Adakah Ustaz Nazir Zakaria yang memanggil mesyuarat tersebut? Jika beliau yang memutuskan memanggil mesyuarat maka mesyuarat itu sah tetapi notisnya pula pra-matang. Jika orang lain selain Ustaz Nazir yang memanggil mesyuarat, maka mesyuarat langsung tidak sah.

Atau pun dimaksudkan yang memanggil mesyuarat itu Pemangku Yang Dipertua? Persoalan tersebut tidak berbangkit kerana Ustaz Nazir Zakaria adalah dan masih Yang Dipertua yang sah.

KESAN KEPADA PAS PUSAT

Krisis ini akan memberikan kesan secara langsung terhadap PAS. Bagaimana kesannya dan apa kesannya?

Jika Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya tidak sah, maka perwakilan yang dihantar oleh PAS Putrajaya adalah perwakilan yang tidak sah. Jika perwakilan Pas Putrajaya memilih di dalam Muktamar Agung PAS November nanti, pemilihan tersebut akan menjadi tidak sah kerana perwakilan yang memilih itu tidak layak memilih. Apabila pemilihan Pusat tidak sah, maka PAS Pusat yang baru dipilih secara keseluruhannya tidak sah dan PAS boleh dibatalkan pendaftarannya dan diharamkan seperti mana Umno diharamkan dulu. Kemungkinan Pendaftar Pertubuhan akan mengganggu kacau PAS seperti mereka lakukan kepada pemilihana CEC DAP tidak boleh dielakkan.

Adakah PAS mahu sebegitu? Tepuk dada istighfar banyak-banyak....

Zulhazmi Shariff
9 Oktober 2013
Sumber: Facebook




2 comments:

XUMNO said...

Nampak sangat tidak bijaknya Jawatankuasa Kerja Pas Putrajaya ni dalam mengambil sesuatu keputusan. Apabila anda telah dipilih oleh perwakilan, tolong baca perlembagaan parti dan fahamkan betul-betul. Pertama, bezakan jawatan2 yang dipilih oleh perwakilan dan ahli dri jawatan2 yang dilantik.Lainlah kalau Pas Putrajaya menggunakan cara kudeta macam di Mesir.

Anonymous said...

Patut ambil tindakan ke atas Kamarulzaman, digantung atau dibuang terus dari parti