Monday, January 27, 2014

PRK DUN KAJANG!!! Pakatan setuju Anwar sebagai calon, Azmin dokong keputusan



Kuala Lumpur 28 Jan : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan semalam, umum Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding (di) Kajang," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Antara pemimpin yang hadir dalam sidang media itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan  mewakili DAP dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Anwar - yang duduk di sisi Khalid - berkata keputusan bersama pimpinan Pakatan Rakyat itu dibuat bagi memastikan "Selangor terus menjadi asas kukuh buat Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya".



Pengumuman itu menguatkan lagi desas-desus Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di negeri itu.

Ditanya tentang perkara tersebut, Anwar berkata "ia hanya spekulasi" dan beliau mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil akan datang.

"Kita minta Tan Sri Khalid teruskan kerja-kerja dia sementara kita tunggu pilihan raya kecil Kajang," katanya.

Anwar turut ditanya tentang kemungkinan pilihan raya kecil ini mewujudkan persepsi yang beban untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR kini diletakkan kepada pengundi Kajang.

Gesa BN tak tanding

Jelasnya, persepsi itu tidak berbangkit sebaliknya pilihan raya kecil nanti merupakan peluang untuk Pakatan Rakyat meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

"Dia tak berbangkit isu itu kerana kita nak guna (pilihan raya ini) untuk lonjakkan prestasi khidmat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menggesa BN agar tidak meletakkan calon memandangkan kerusi itu disandang PKR dan bagi mengelakkan pengundi keluar mengundi dua kali.

"Kalau boleh, kawasan (ini sudah) dimenangi oleh PKR, Pakatan, (jadi) bagi laluan, tak payah ada pertandingan," kata Anwar ketika ditanya kemungkinan ia membebankan pengundi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Salahuddin berkata PAS akan memberi sepenuh sokongan kepada calon yang diketengahkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pakatan rakyat.
  
Mohamad Azmin Ali yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baru ketika ditemui selepas itu hanya memberi reaksi ringkas berhubung pemilihan Anwar sebagai calon.
  
"Keputusan dah dibuat...saya hanya akan buat kenyataan selepas mesyuarat dengan pimpinan PKR negeri ini," katanya. 


Post Pic
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyifatkan dirinya sebagai insan "kecil" yang bertekad mendokong keputusan parti dan Pakatan Rakyat di dalam kemelut yang membabitkan beliau dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Beliau berjanji untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang kelak. 
 
PRK itu dilihat sebagai tiket untuk Anwar dicalonkan sebagai Menteri Besar baru, menggantikan Khalid. 
 
"Jangan buat spekulasi, kita kena tumpukan kepada PRK untuk pastikan PKR menang besar di Kajang," kata Azmin. 
 
"Saya hanya lelaki kecil, Azmin, saya kena pertahan keputusan yang diputuskan parti dan Pakatan Rakyat," tambah beliau dan enggan mengulas lanjut mengenai konflik dalaman parti yang membawa kepada penampilan Anwar sebagai bakal Menteri Besar baru. 
 
"Saya tak mahu komen buat masa ini sebab kita akan ada perbincangan besar hari ini, petang ni juga pukul 2 untuk saya berikan taklimat kepada pimpinan PKR Selangor dan selepas itu saya akan adakan kenyataan media," katanya.
 
Azmin menolak persepsi bahawa keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi Kajang bagi membolehkan Anwar bertanding di situ tidak mengambil kira kepimpinan PKR peringkat negeri yang dipimpinnya.
 
"Saya rasa kita dah adakan perbincangan yang serius dengan kepimpinan pagi ini bukan saja dengan PKR, tapi juga dengan Pakatan Rakyat. Kita bincang isu ini teliti, saya akan bincang dengan kepimpinan PKR negeri dan akan keluarkan kenyataan.
 
Anwar Ibrahim disahkan bertanding di PRK kerusi DUN Kajang setelah penyandangnya Lee Chin Cheh meletak jawatan kurang setahun selepas pilihan raya umum ke-13. 
 
Bagaimanapun dalam sidang media bersama Khalid, Anwar enggan memberikan pengesahan bahawa beliau bertanding di Kajang supaya dicalonkan sebagai menteri besar menggantikan Khalid.
 
Konflik terbaru Khalid-Azmin tercetus apabila Menteri Besar itu dituduh mendalangi pengguguran Azmin daripada lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor awal bulan ini.
 
Khalid berkata tindakan itu diambil oleh PKNS sungguhpun dokumen-dokumen yang didedahkan menunjukkan pejabat beliau menyarankan kedudukan Azmin dalam badan itu dikaji semula.

No comments: