Thursday, April 24, 2014

DAKWAAN GOPOH!!! Hanipa ajak Gerakan berdebat bila-bila masa



 























PAS menyifatkan dakwaan Gerakan bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara ini adalah satu dakwaan yang gopoh, tidak berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang perjalanan sistem undang-undang jenayah dalam negara ini.

Pengerusi lajnah (biro) undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara ini wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud.

"Sejak awal lagi negara kita dan Perlembagaan merestui kewujudan dua sistem perundangan jenayah itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah," kata Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang dalam satu kenyataannya hari ini.

Katanya, sama ada hudud wujud atau tidak, hakikatnya negara kita mempunyai dua sistem perundangan jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan.

"Nampaknya bukan PAS yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Malahan jika mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih dari dua sistem perundangan jenayah dalam negara ini.

Bagaimana pula dengan kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah, soal Hanipa.


Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang hari ini mengetuai Pemuda Gerakan menghantar notis undang-undang kepada PAS mengancam mengambil tindakan mahkamah jika PAS meneruskan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan melalui rang undang-undang persendirian di Parlimen.

"Dengan ini kami memberi notis kepada PAS kami akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah untuk menegakkan perlembagaan persekutuan negara kita sekiranya PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan," kata notis itu.

Rombongan Gerakan bersama 12 pemimpin pergerakan itu disambut mesra Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Yusafiza Yaakob.
PAS malah membenarkan Pemuda Gerakan menggunakan ruang sidang media parti itu bagi menyatakan pandangan mereka berhubung undang-undang Islam itu.

Tindakan Gerakan ini adalah ekoran cadangan kerajaan negeri Kelantan mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dilaksanakan di negeri itu.

Ekoran itu, ia dibantah oleh parti bukan Islam khasnya iaitu MCA, DAP dan juga Gerakan namun beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan pusat akan membantu Kelantan melaksanakannya.

Namun Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, Umno tidak akan menyokong usul itu.

Hanipa dalam kenyataannya hari ini berkata, PAS memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar notis yang boleh dikatakan pra matang kepada PAS, mereka tidaklah dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka yang beragama Islam, yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud secara terbuka sebelum ini.

"Alexender Pope menyatakan 'Little knowledge is dangerous thing' maka atas ruh kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya.

“Adilkah menentang hudud tanpa mengetahui dan memahami undang-undang hudud itu terlebih dahulu?" katanya.

Beliau juga berharap Gerakan bersikap konsisten.
"Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang-undang zalim dan drakonian seperti ISA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Pencetakan, Sosma, Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi," katanya.

“Mengapa apabila kerajaan Barisan Nasional luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan menyokong.

“Bukankah ia adalah akta yang zalim dan melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan? Mengapakah tiada notis dihantar kepada Umno, MCA dan MIC?” tanya Hanipa.

"Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang-undang jenayah Islam jauh lebih baik iaitu lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah daripada hakim tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah.

"Saya mengambil kesempatan ini mengajak Gerakan untuk kita sama-sama berdialog atau berdebat secara rational dan matang dalam isu hudud ini. Gerakan sediakanlah tempat, tarikh dan masa insya-Allah PAS bersedia datang bila-bila masa," katanya. – 24 April, 2014.

No comments: