Monday, January 24, 2011

Umno Derhaka : Semua ADUN PR sokong kembalikan kuasa raja, semua ADUN BN tentang

ADUN PR Sokong Pindaan


SHAH ALAM 24 Jan. : Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat mencipta sejarah apabila semua wakil rakyatnya bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas Pindaan Perlembagaan 1993.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa puas hati di atas kata sepakat semua wakil kerajaan yang memberi perbahasan dengan baik dan bernas berkenaan isu penting kepada rakyat yang mana gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini.

"Perbahasan Pakatan Rakyat hari ini telah berjaya memertabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor, ini selari dengan keinginan rakyat Selangor yang mahukan satu pentadbiran profesional bagi dua institusi tertinggi," Tan Sri Khalid berkata demikian dalam sidang media.

Dalam pada itu, Khalid juga melahirkan rasa kesal terhadap wakil-wakil dari UMNO-BN yang dilihat bukan sahaja menolak usul ini malah gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini.

"Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya, sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat," katanya.

Tambah Tan Sri Khalid, penolakan ini jelas membuktikan bahawa UMNO-BN tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu dan tetap meghalang Institusi Raja-raja Melayu memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berpelembagaan.

"Sikap hipokrit UMNO ini jelas nampak dalam rekod mereka secara konsisten menafikan kuasa Raja-Raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini 2011" katanya.

Tan Sri Khalid berkata lagi sidang dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar.

Mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.

Turut hadir dalam sidang media ialah Exco Selangor, Dr Hassan Ali, Teressa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Read more ...

Pemimpin Umno gila bayang beri kenyataan 'tak tentu arah'

Pelaburan : Kenyataan Mukhriz 'Tidak Masuk Akal'


GEORGE TOWN 24 Jan. : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan adalah "tidak masuk akal" kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa 99 peratus pelaburan di negeri ini adalah atas usaha promosi kerajaan pusat.

Lim berkata adakah ini bermakna kalau Pulau Pinang tidak mendapat pelaburan,itu juga tanggungjawab kerajaan pusat.

"Kalau Mukhriz yang cakap begitu, beliau juga mesti bertanggungjawab kalau Pulau Pinang tidak berjaya (menarik pelaburan). Tak kan kalau berjaya beliau hendak dapat kredit dan kalau tidak berjaya itu salah orang lain," katanya.

Katanya enam bulan pertama tahun lepas, kerajaan negeri dikritik hebat oleh pihak pembangkang negeri iaitu dari Barisan Nasional (BN) kerana hanya mampu mencapai RM1.5 bilion pelaburan.

"Masa itu, kita dikritik hebat dan mengapa BN tidak keluar untuk mengaku itu salah mereka. Sekarang bila Pulau Pinang dapat mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi tahun lepas, itu dia punya kredit dan itu dia punya kepandaian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diteraju pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS tidak harus cepat "mengambil kredit" di atas usaha orang lain dalam mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan.

Sebelum ini, Pulau Pinang berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus pelaburan pada tahun 2010 berbanding dengan tahun 2009.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Rawa yang dihubungi oleh TV Selangor berkata komitmen dan daya usaha pimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang bersikap telus terbuka menarik minat para pelabur asing.

"Apa juga pelaburan yang datang untuk melabur di Malaysia adalah bergantung kepada dua pihak, promosi yang agresif serta kemudahan yang disediakan dari sudut dasarnya tapi pada waktu yang sama kalaulah negeri itu yang menerima pelaburan juga harus berada dalam keadaan infrastruktur yang baik, dalam hal ini Pulau Pinang menjadi destinasi kerana infrastruktur yang baik.

"Pimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mengambil sikap yang telus, terbuka dan ini memudahkan urusan mereka walaupun pelaburan itu datang dari Pusat dan akhirnya mereka akan bertapak di negeri tersebut dan terpulang kepada negeri itu menyediakan kemudahan," ujar Mujahid.

Tambah Mujahid lagi kerjasama erat antara pusat dan kerajaan negeri amat perlu bagi memastikan pembangunan berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Seharusnya kita melihat apa saja pelaburan yang datang daripada Pusat, itu adalah satu yang baik dan di peringkat negeri menyambutnya dengan kemudahan infrastruktur dan itu juga penyumbang kepada berkesannya pelaburan itu.

Dalam keadaan politik hari ini kerana persekutuan masih diperintah oleh BN, mereka menggunakan banyak isu untuk ekploitasi kerajaan Pakatan jadi kita terpaksa respon. Hakikatnya dari sudut bekerjasama, bila datang pelaburan selagi ia baik untuk negara kita mesti seronoklah," katanya lagi.

Read more ...

Rakyat tak terima fitnah MCA disokong Umno

Serangan BN Tidak Berkesan


LABIS 24 Jan. : Serangan bertali arus parti MCA terhadap calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman mengenai isu agama Islam dalam kempen pilihanraya kecil DUN Tenang tidak memberi kesan kepada usaha Pakatan Rakyat (PR) menyelamatkan rakyat.

Usaha tersebut dianggap gagal oleh pemimpin PR kerana sokongan yang diterima daripada masyarakat Tionghua sehingga kini meningkat.

Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua, masyarakat Cina di DUN Tenang telah pun didedahkan dengan maklumat sebenar sekaligus berjaya mengatasi ketakutan terhadap Islam dan parti PAS.

Beliau yang ditemubual Tv Selangor berkata, pendekatan proaktif PR mendampingi masyarakat setempat berjaya menghasilkan platform berbilang kaum yang menjadi contoh wujudnya kemajmukan rakyat di bawah dasar parti itu.

Justeru Tian menyeru agar pengundi di DUN Tenang tahu membezakan permainan sentimen keagamaan yang cuba dilontarkan dalam kempen mereka.

"Pakatan rakyat berbeza sebab kita lihat dalam ceramah kita yang dihadiri orang Melayu, Cina dan India atas satu pentas. Kita berucap kepada masyarakat yang berbilang kaum.Beza dengan Barisan Nasional, dia kumpulkan orang Cina, MCA dengan propaganda perkara yang menghina Islam menakutkan masyarakat Tiong Hua supaya menyokong BN.

"Mereka tanamkan kebencian kepada kaum lain dan itu taktik lama yang menyebabkan ketegangan masyarakat dan itu sebabnya kita beza kerana kita mengamalkan satu platform yang terbuka untuk semua," jelas beliau selepas program kempen Pakatan Rakyat di sini.

Kepimpinan Pakatan Rakyat akan bertindak menyaman Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong sekiranya tidak dapat mengemukakan bukti dakwaan fitnah calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman sehingga jam 12 tengahari esok.

Menurut laporan akhbar harian China Press, Tee Yong berkata Normala bertanyakan kepada seorang peniaga Cina tentang penjualan arak di sebuah restoran di Pekan Labis. PAS dan Normala menafikan tuduhan itu.

Menyifatkan Umno-BN sebagai rasis, Tian Chua menasihatkan agar rakyat mengenepikan propaganda ini dan melihat dasar Pakatan Rakyat yang memerintah di empat negeri lain.

"Sebenarnya agenda Umno tetap rasis. Mereka tetap mengamalkan diskriminasi. Kita harus ingat demi anak dan cucu kita seharusnya ketepikan ketakutan ini melihat rekod Pakatan Rakyat baikpun di Kedah, Kelantan, Penang dan Selangor di mana satu dasar yang adil untuk semua kaum dilaksanakan. Ini realiti, bukan janji kosong dan angan-angan tetapi dapat dilaksanakan," jelas beliau.

Kedua-dua jentera parti kini giat menjalankan kempen memenangi hati pengundi.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Read more ...

Undi proksi gagal setelah banyak tentangan

SPR Jamin Undi Proksi Tidak Dilaksana


PUTRAJAYA 24 Jan. : Pimpinan Pakatan Rakyat mendapat jaminan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa undi proksi tidak akan dilaksanakan dalam pilihanraya umum akan datang.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali kepada media selepas bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Piliharaya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di sini hari ini bagi membincangkan isu-isu pilihanraya sebelum PRU-13 di sini.

Sebelum ini SPR berura-ura mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih boleh mewakilkan pihak lain untuk mengundi bagi pihaknya yang dikhuatiri mendedahkan kepada segala kemungkinan penyelewengan dan salah guna.

Namun cadangan ini mendapat bantahan daripada pelbagai parti yang menyifatkan cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan.

"Tentang undi proaksi kita dapat satu jaminan yang jelas bahawa ini tidak akan dapat dilaksanakan oleh SPR kita telah mendapat jawapan daripada pengerusi bahawa undi proksi ini tidak akan dilaksanakan," kata Mustapha Ali.

Tambah Mustapha Ali lagi pemimpin Pakatan Rakyat diberi jaminan bahawa tentera Wataniah tidak akan dimasukkan sebagai undi pos.

"Tentang kemungkinan undi pos undi tentera dan sebagainya itu sebahagian dari undi pos yang kita dengar kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan akan diwujudkan tentera Wataniah ini di setiap kawasan Parlimen,jadi kalau dikategorikan sebagai tentera dia akan jadi undi pos,tapi kita telah dapat jaminan tadi bahawa tentera wataniah tidak akan dimasukkan dalam undi pos," katanya.

Read more ...

Utusan terbukti berbohong

Imam solat jenazah SU Umno Tenang nafi Utusan

LABIS, 24 Jan: Che Zuhar Che Haron, ahli PAS dari Pahang yang mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, menafikan sebuah berita daripada akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan beliau seolah-olah ‘merampas’ untuk menjadi imam solat berkenaan.

Sebaliknya, beliau telah ditarik tangan oleh penduduk tempatan dan makmum Masjid An-Nur Felda Tenang itu, setelah jenazah yang sampai sejak jam 10.30 pagi sehingga jam 2 petang tidak disempurnakan kerana imam masjid berkenaan pergi ke padang menyambut Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.


“Apa yang saya lakukan hanyalah menyelesaikan hukum fardhu kifayah setelah sekian lama jenazah setiausaha Umno itu tidak disempurnakan, itupun setelah makmum dan bilal meminta saya berbuat demikian kerana imam sebenar masjid itu pergi ke padang,” jelasnya yang kini masih berada di Labis mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat.


Akhbar pro-Umno itu hari ini di muka surat 5 di bawah tajuk ‘PAS terbukti memfitnah PM’, mengatakan Perdana Menteri itu dalam lawatannya ke Felda Tenang, 18 Januari lalu tidak diberitahu kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd pada jam 2.30 pagi sebelum itu.


Akhbar tersebut memetik sumber daripada Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.


Akhbar tersebut yang juga memetik edisi kedua Buletin Tenang, PAS menipu apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.


Akhbar berkenaan menyebut, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.


Tambah akhbar itu, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.


“Pada hakikatnya Unit Amal PAS telah bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menggali kubur. Kemudian jenazah Allahyarham telah dibawa ke masjid kira-kira jam 10 pagi. Makmum terus meninggu hingga ke waktu Solat Zohor, tetapi imam tidak ada kerana pergi ke padang menyambut Najib.


“Kemudian apabila sampai ke jam dua petang, seorang tua yang mewakili bilal masjid telah mengumumkan sesiapa yang layak diminta tampil mengimamkan solat jenazah kerana imam masjid pergi ke padang,” katanya.


Menurut Che Zuhar, ketika itu makmum mula berbaris dalam saf dan beberapa orang penduduk kampung menarik tangannya ke depan untuk mengimamkan solat jenazah itu.


Beliau yang berkempen dalam PRK Tenang mewakili Dewan Ulamak, telah menyempurnakan tugas berkenaan sehinggalah jenazah dibawa ke kereta dan tanah perkuburan.


“Saya kecewa kenapa perkara ini dibangkitkan lagi walhal saya menyempurnakan fardhu kifayah setelah imam masjid meninggalkan tugas untuk meraikan Najib. Jenazah sudah selamat dikebumikan, kenapa mahu dipolitikkan lagi,” soalnya.

Read more ...

"Kalau rasa tidak sah, sila keluar"

Sidang DUN Tergempar Sah, Kata Speaker


SHAH ALAM 24 Jan.: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor yang diadakan hari ini adalah sah mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri dan peraturan mesyuarat, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata walaupun notis diberikan singkat dan tidak mengikut tempoh 14 hari, Speaker boleh menggunakan kuasa mengikut Peraturan Tetap Mesyuarat 10 (3) yang lazim dilakukan dalam persidangan dewan negara-negara Komanwel.

"Kalau rasa (sidang) tidak sah, sila keluar. Memang (notis) dalam 14 hari tetapi Speaker boleh menandatangani satu sijil yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan sidang ini.

"Kalau ikut Peraturan 43 dan 87, keputusan Speaker adalah muktamad. Tapi kalau hendak mencabar boleh buat usul," katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Teng berkata isu sah atau tidak sudah selesai dan meminta perbahasan diteruskan sebelum beliau menggunakan Peraturan 44 (1) dan 44 (2) yang mengarahkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri keluar dewan, lapor Bernama.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) berkata sidang dewan itu tidak sah kerana notis yang diberi tidak mencukupi 14 hari.

"Kami hanya menerima notis pada 11 Jan 2011 sedangkan Rang undang-undang ini diwartakan pada 18 Jan. Sepatutnya notis hanya dihantar selepas 18 Jan dan sidang hanya akan dapat diadakan pada 2 Feb 2011," katanya.

Teng kemudian meminta Mohamad Satim menghafal dan membaca Peraturan Mesyuarat tetapi jika beliau tidak mahu melakukan kedua-duanya, Teng berkata ia adalah sesuatu yang memalukan.

Mohamad Satim, yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, berkata: "Wah...banyak (nasihat)... Baru puji macam ini ke?" katanya merujuk ucapan tahniah kepada Teng yang mendapat gelaran Datuk daripada Sultan Selangor baru-baru ini.


"Macam inilah, saya nak tuan Speaker terangkan (perkara ini sah atau tidak) yang sebelah sana pun (penyokong kerajaan) bukan faham sangat," katanya.

Teng, yang pernah menjadi Ketua Pembangkang selama beberapa penggal di DUN Selangor, meminta Mohamad Satim belajar dengannya ataupun dengan Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini selepas dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Read more ...

Cikgu Mala sedang mendahului, Umno semakin resah

Beberapa orang penganalisis politik tanahair berpendapat bahawa calon PAS, Cikgu Normala Sudirman mampu memberikan tentangan sengit kepada BN pada PRK Tenang.

Menurut mereka inilah kerana Normala mempunyai kekuatan tersendiri iaitu dikenali penduduk tempatan, lama berkhidmat di Tenang, mudah didampingi, mesra dan mempunyai personaliti yang menarik.

Ini berbeza dengan calon BN yang sudah lama tidak bersama penduduk Tenang dan kurang dikenali.


Penganalisis politik juga berpendapat bahawa ada tanda-tanda bahawa pengundi Cina dan pengundi muda di Tenang lebih cenderung untuk menyokong PAS berdasarkan situasi semasa ekoran dari kenaikan harga minyak, barangan keperluan dan sebagainya. Generasi kedua Felda juga dilihat tidak begitu totok menyokong BN di mana mereka ini bila-bila masa boleh berpaling kepada PAS atau BN.


BN menurut penganalisis politik yang tidak mahu disiarkan namanya, terus menggunakan taktik kempen lama iaitu fitnah, ugut, memainkan isu perkauman dan agama sedangkan semua isu-isu ini sudah tidak laku lagi kepada pengundi Cina dan pengundi muda.


Tidak syak lagi bahawa kedua-dua calon mempunyai peluang yang agak samarata. Oleh itu kerja kuat mesti dilakukan setiap saat untuk menawan hati pengundi.

Read more ...

Umno tak ada hujah, guna hujah tak boleh pakai

Tolak Usul: Ketua Pembangkang Berhujah Dangkal


SHAH ALAM 24 Jan.: Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman hari ini berhujah dangkal apabila menolak usul Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) untuk mengembalikan kuasa melantik pegawai kanan kerajaan negeri.

Satim Diman dalam ucapannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor hari ini menegaskan beliau dan 20 ADUN dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang di bentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Kedangkalan Ketua Pembangkang tersebut tampak jelas dalam ucapannya dengan memberi alasan penolakkan rang undang-undang tersebut kerana berpendapat pindaan tersebut bertentangan dengan pelembagaan persekutuan.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Dr Aziz Bari yang dihubungi TV Selangor menyatakan hujah Satim Diman itu tidak menjawab persoalan asas isu yang dibahaskan di Sidang DUN hari ini.

" Ucapan Ketua Pembangkang, Satim Diman saya fikir mengelak daripada menangani isu pokok iaitu soal kedudukan Umno dan apakah benar Umno komited kepada komitmen untuk menjunjung untuk mempertahankan institusi raja. Jadi itu yang saya rasa tidak dijelaskan oleh Datuk Satim Diman," kata Dr Aziz.

Satim juga dilihat melabel kerajaan negeri 'Syok Sendiri' selain mengutuk kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat bermotifkan politik serta bersikap hipokrit.

Antara alasan yang dikemukan oleh Satim ialah Barisan Nasional terdahulu tidak pernah mengenepikan dan membelakangkan DYMM Sultan SElangor sejak pindaan dibuat sejak 1993.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

Read more ...

Umno buta sejarah dan jumud pemikiran

Umno rosakkan demokrasi, Raja Berperlembagaan

SHAH ALAM, 24 Jan: Persidangan Dun Selangor hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu, kata Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

“Di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa Umno yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya semasa membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.

Katanya, orang Melayu tidak mudah lupa dan rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa tetapi yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin Umno dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.

Ini, tambahnya yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

Justeru, beliau amat bimbang usaha-usaha Umno sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

“Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan itu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan itu telah dimansuhkan pada 1993 oleh makhluk perosak bernama Umno.

Menurutnya, usaha itu tidaklah mudah kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin Umno di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

Tambahnya, lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar berhubung usaha Datuk Menteri Besar untuk kembali ke Dewan untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan Umno.

Antara lain, ujarnya Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.

“Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Datuk Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan,” ujarnya.

Kenyataan itu, tambahnya timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.

Ini mengingatkan beliau kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata: Nasib malang golongan yang bernama rakyat, rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.

Di Selangor, katanya rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.

Ahli Parlimen Gombak itu menambah, golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang Umno sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

Katanya, Umno mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.

Tambahnya lagi, pemimpin Umno yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

“Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.

“Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual,” katanya.

Budaya itulah, katanya yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.

Menurutnya, rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Tambahnya, mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.

Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun Umno sering menggunakan ‘profesor kangkung’ untuk memutarbelitkan sejarah.

Read more ...

Apa sangat Setiausaha Cawangan Umno bagi PM ?

Najib Tidak Ziarah Jenazah SU Umno Tenang-Utusan


LABIS 24 Jan.: Lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia mengaku bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak menziarahi jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia ketika lawatan beliau ke situ kerana tidak mengetahuinya.

Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat berkata, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya, lapor Utusan hari ini.

Abdul Latif meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

Rombongan beliau juga lalu di hadapan masjid yang menempatkan jenazah Allahyarham sejak jam 10 pagi ketika beliau menuju ke Felda Chempelak pada sebelah paginya.

Di samping tidak diziarahi, imam masjid juga terpaksa ke majlis PM menyebabkan tidak ada siapa yang mengurus dan mengimamkan solat jenazahnya.

Hasilnya, Ustaz Che' Zuha, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang mengimamkan jenazah pada jam 2 petang iaitu selepas solat Zohor kerana kedua-dua imam tidak kedapatan di masjid ketika itu dipetik dari Harakah Daily.

Namun hari ini, Utusan berkata, mereka sengaja meminta keluarga simati untuk mengimamkannya.

Padahal, kedua-dua imam tiada di masjid hatta untuk mengimamkan solat fardhu Zuhur kerana imam diarahkan oleh Umno cawangan supaya menghadiri majlis sambutan kedatangan Najib.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman (ketika belum sah sebagai calon lagi) bersama para petugas PAS dan anggota Unit Amal yang berada di situ segera menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka juga bersama ahli qaryah menguruskan jenazah dari awal sehingga ke proses gali kubur dan pengkebumian.

"Siapa fitnah siapa ni? Kita (Cikgu Mala, petugas PAS dan Unit Amal) hadir menziarahi dan menguruskan jenazah dengan ikhlas dan secara sukarela tanpa disuruh oleh sesiapa. Mereka memanipulasi berita dan menuduh kita yang bukan-bukan.

"Mari tanyalah saya kalau nak tahu. Siapa yang memfitnah siapa sebenarnya?" kata Md. Razi Jamaludin (gambar), 39 tahun, salah seorang anggota Unit Amal yang bertugas hari itu. Turut serta adalah rakan beliau, Wasilah Gothol, 48 tahun.

"Saya terlibat sepenuhnya menguruskan jenazah dari awal sehingga pengkebumian. Allahyarham sememangnya orang kuat Umno di sini. Saya difahamkan beliau telah bekerja keras malam sebelum pemergian beliau ke rahmatullah untuk urusan sambutan kedatangan Najib.

"Namun, apa yang berlaku ialah, kematian beliau tidak dihiraukan langsung oleh UMNO hatta Ketua UMNO sendiri. Yang meninggal itu S/U nya sendiri, bukan orang lain!"

"Tidak patut bagi seorang pemimpin tidak menghiraukan org bawahannya apatah lagi ini melibatkan kematian," katanya lagi.

Bagi beliau, kerja ziarah orang mati, bertahlil untuk ahli qariah, gotong royong, memang sudah menjadi kerja rutin orang PAS.

"Jika bukan pilihanraya kecil pun, memang itulah kerja kita. Mengapa sebelum ini Umno tidak timbulkan sebarang isu? Bahkan jika ada majlis-majlis seperti itu, orang Umno juga yang jemput kita sebelum daripada ini untuk tolong uruskan dan menggerakkan. Jadi dalam hal ini, siapa mempolitikkan siapa sebenarnya?" tanya beliau kesal.

Read more ...

Sunday, January 23, 2011

Pengerusi GAPS dapat tugas baru di Badan Perhubungan Umno Selangor

SU UMNO Kapar letak jawatan

http://2.bp.blogspot.com/_0wpX-mnAEng/TPv2nr1KncI/AAAAAAAABf8/xDa-eG-3GwA/s1600/hamidzun.jpgKAPAR, 24 Jan. : Setiausaha UMNO Bahagian Kapar, Hamidzun Khairuddin mengesahkan melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa serta-merta selepas Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu, 18 Januari lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) berkata, peletakan jawatan itu membolehkannya memberi perhatian penuh terhadap tugas baru di Badan Perhubungan UMNO Negeri dan GAPS secara sepenuh masa.

“Walaupun begitu, saya akan tetap meneruskan bakti dan khidmat kepada masyarakat dan negara demi kesejahteraan semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas siapa pengganti jawatan tersebut selepas ini, Hamidzun berkata, terpulang kepada Ketua UMNO Bahagian Kapar Datuk Abdul Rahman bagi memilih siapa yang layak.

“Apa yang penting Setiausaha baru boleh melaksanakan tugas dengan baik dan merangka strategi baru.

“Bagi saya tapaknya sudah disediakan, cuma tinggal bagaimana caranya dia mampu memanfaatkan peluang yang sudah tersedia. Itulah cabaran buat bakal seorang Setiausaha UMNO Bahagian Kapar yang baru,” katanya.

Read more ...

Tukar mahkamah kerja siapa?

Kerajaan Kelantan bantah tukar mahkamah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgeyJsabk7N_Cuojvm5ZlZRzZ_tAtNPRuWoMljA_FhXSPcmKB5z_Q2eC6S51A9NRDU0_AzJKq3xmCFQj4lfZ1c_cQndGmbn5nbhIHjOtdsjVMTy1rkmV1zbaphRvmcTUPIWHXgnTvigNxsa/s320/husam.jpgKOTA BHARU, 24 Jan. : Kerajaan Kelantan kesal terhadap keputusan pihak tertentu yang memindahkan kes tuntutan royalti minyak dari mahkamah perdagangan ke mahkamah sivil.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah memfailkan permohonan untuk menukarkan kes itu, malah difahamkan tidak juga dilakukan pihak Petronas.

“Adalah menghairankan kes ini dipindah kebahagiaan sivil tanpa permohonan pihak yang terlibat dan kami berasa sangsi dengan tindakan ini,” katanya semalam.

Pada 30 Ogos lalu, Kerajaan Negeri memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara dengan mendakwa Petronas melanggar perjanjian selain menuntut pembayaran perjanjian petroleum dilaksanakan.

Husam berkata, pendengaran permohonan Kerajaan Pusat untuk mencelah dan memohon menjadi defendan kedua kes ini yang dijadualkan 24 Januari ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri membantah percubaan Kerajaan Pusat campur tangan dalam kes ini memandangkan kes tersebut hanya melibatkan Petronas berasaskan perjanjian pada 1975.

“Ia mungkin akan mendorong Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lain bagi melindungi hak rakyat Kelantan yang dinafikan,” katanya.
SH

Read more ...

Pindaan Perlembagaan 1993 tidak sah kerana tidak diperkenan Majlis Raja-Raja

Kembalikan perlembagaan kepada yang asal

SHAH ALAM, 24 Jan: Kerajaan negeri Selangor berpendapat Pindaan Perlemabagaan 1993 tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Ini kerana, tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti.
"Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan," kata Tan Seri Khalid ketika membentangkan ucapan untuk meminda perlembagaan negeri Selangor agar dikembalikan kepada asal iaitu sebelum pindaan 1993.

Berikut adalah ucapan penuh Khalid yang diedarkan oleh oleh Sekretariat Akhbar pejabat MB:

RINGASAN UCAPAN DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pengenalan

Mesyuarat di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hari ini diadakan untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1).

Ini kerana, tindakan Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat dan berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri.

Pindaan yang dicadangkan hari ini sebagai perubahan supaya generasi akan datang tidak lagi dalam kekaburan dan tiada lagi individu atau puak tertentu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan.

Pakatan Rakyat komited untuk menjunjung Perlembagaan baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran hari ini.

Atas prinsip yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Latar belakang krisis Perlembagaan

Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja.

Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi - “tiada apa-apa undang- undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Pemimpin utama ketika itu telah melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan ialah Perkara 66(5).

Peruntukan asal berbunyi

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang DiPertuan Agung menandatangani”.

Manakala peruntukan pindaan ialah;

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang”.

Perkara 10(1), dimana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat tersebut.

Perkara 66(4) dan (4A) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan – ialah:

Sebuah Rang Undang-undang akan menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan.

Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera di bawah seksyen 11(2A) dan (2C).

Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ini termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan di mana ia dengan jelas menyatakan bahawa “Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja.

Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. UMNO pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja.

UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku kesempitan politik.

Peranan Raja, Kerajaan dan Perkhidmatan Awam dalam pentadbiran negeri Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan yang mana Yang di-Pertuan Agong – di peringkat Persekutuan – adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri.

Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan.

Di bawah kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya –yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) – mesti bertanggungjawab ke atas segala keputusan dan dasar yang dibuat dan dilaksanakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan namun bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana dari terperangkap dalam kontroversi dan politik.

Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan di bawah Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 – iaitu Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor - begitu ganjil sekali. Ini kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik: sepatutnya ada kuasa tertentu yang diletakkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Jika dibandingkan dengan Perkara 144 Perlembagaan, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor.

Pindaan 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti. Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan.

Konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. Umno berpendapat sebaliknya; bagi mereka Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980an hinggalah sekarang.

Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat atas konsep ketuanan rakyat.

Disediakan oleh

Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Read more ...

Kehadiran Badrul mengejutkan tetapi hanya duduk di bilik media

Badrul Hadir DUN Tetapi Duduk Di Bilik Media


SHAH ALAM 24 Jan.: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengejutkan hadirin di Bangunan Setiausahan Kerajaan Negeri Selangor apabila hadir pada sidang DUN hari ini.

Walau bagaimanapun, Badrul didapati hanya duduk di bilik media dan tidak memasuki dewan seperti yang didakwa beliau.

Beliau dijangkakan tidak menghadiri DUN awal bagi meminda perlembagaan negeri memandangkan kerusi DUN Pelabuhan Klang telahpun diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim minggu lalu dan surat kekosongan kerusi juga telahpun dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Teng telah mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas mendapati alasan Badrul tidak menghadiri sidang DUN lebih daripada enam bulan satu penipuan, dan seterusnya mengisytiharkan kerusi tersebut kosong pada 20 Januari, 2011.

Badrul memberitahu media bahawa kerajaan negeri tidak menghalang beliau daripada menghadiri persidangan hari ini kerana tiada surat dihantar kepada beliau menyatakan beliau tidak boleh hadir untuk mesyuarat hari ini.

Read more ...

Orang Tionghua akan tolak BN untuk mesej perubahan

Jui Meng: Pengundi Cina Bukan Lagi Penyelamat Umno-BN


LABIS 24 Jan.: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang ditemui Tv Selangor di sini malam tadi berpendapat masyarakat Cina Tiong Hua di Labis akan bangkit menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) pada Pilihanraya Kecil kali ini seraya menghantar mesej perubahan demi masa depan.

Beliau turut menggesa agar masyarakat selain Cina di DUN Tenang bersama-sama memilih calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

"Hendak ingatkan, orang Cina bantu menyelamatkan Umno pada PRU 12. Pada tahun 1999 di mana undi Umno jatuh begitu ketara apabila Anwar dipenjarakan, orang Cina juga yang menyelamatkan Umno.

"Tapi kali ini kalau orang Cina undi kepada Pakatan Rakyat, ini menunjukkan satu budaya yang jelas orang Cina akan bangkit mudah-mudahan rakyat Melayu dan India akan bangkit dan menaikkan martabat Pakatan Rakyat supaya kita dapat memerintah di negeri ini supaya membawa banyak manfaat kepada rakyat secara demokrasi dan kewangan yang dikembalikan kepada rakyat," jelas beliau.

Ketika ditemubual selepas menghadiri ceramah kempen Pakatan Rakyat di Jalan Tenang malam tadi, Chua memberitahu respon yang baik diterima daripada masyarakat Tiong Hua selain menjangkakan peratus undi Cina di kawasan DUN Tenang meningkat.

"Respon sangat menggalakkan sehingga kini. Bayangkan pada PRU 12 kita mendapat 55 peratus sokongan daripada masyarakat Tiong Hua untuk calon PAS di Tenang.

"Kalau kita dapat kekalkan dengan kadar 55 peratus bermakna kita sudah menang. Wang disalurkan kepada mereka tetapi masih bilangan yang sama menyokong PAS, ini satu kemenangan. Kalau kita dapat tambahan lagi pengundi Cina, lebih elok bagi Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan orang berbangsa Tiong Hua di sini sudah tolak Umno, MCA, MIC dan lain-lain," ujar beliau lagi.

Pengundi Cina di DUN Tenang merangkumi 38 peratus daripada jumlah keseluruhan 14,753 pengundi berdaftar di sini.

Read more ...