Wednesday, April 14, 2010

Kerja mudah YBK, dapat tanah gadai


SHAH ALAM , 14 April : Kerajaan Negeri mengedarkan laporan audit terperinci mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang mendedahkan yayasan itu menggadaikan 16 lot tanah bernilai RM102 juta kepada beberapa pihak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan laporan itu, Kerajaan Negeri menganugerahkan tanah seluas 1,977.428 ekar di beberapa daerah di Selangor tetapi tidak menerima bayaran dan sebarang laporan selama 13 tahun.

“YBK dan anak syarikatnya subsidiari berhutang sebanyak 7.6 juta tunggakan cukai tanah dengan Kerajaan Negeri.

“Anak syarikat YBK iaitu Permodalan YBK Sdn Bhd terlibat dengan 5 gadaian yang berjumlah 102 juta dan gadaian ini boleh menyebabkan tanah yang dianugerahkan untuk tujuan membasmi kemiskinan jatuh ke tangan pihak ketiga,” katanya.

Abdul Khalid berkata, YBK juga telah dianugerahkan tanah untuk aktiviti membasmi kemiskinan tetapi antara tanah yang diberikan itu dibangunkan untuk projek komersil, salah satunya tanah seluas 8.5 ekar yang dikenal pasti untuk projek penempatan rakyat termiskin daerah Gombak.

Bagaimanapun katanya, projek tersebut dibatalkan dan akhirnya sebanyak 410 unit pembangunan bercampur yang melibatkan rumah kedai, pangsapuri, kos rendah dan sederhana.

“Pengurusan buruk terhadap projek perumahan untuk rakyat miskin yang mana antara unit yang diduduki oleh mereka yang bukan dari golongan miskin.,” katanya.

Selain itu, terdapat keraguan pembinaan universiti kerana YBK tidak membuat permohonan secara rasmi kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

“Laporan kewangan YBK yang dipaparkan di laman web YBK tidak memperincikan aktiviti-aktiviti seperti aktiviti syarikat subsidiari termasuk cagaran ke atas tanah seperti yang tersebut di atas.

Beliau berkata, pasukan siasatan daripada bahagian audit Negeri Selangor telah dihalang masuk ke premis YBK walaupun yayasan tersebut memberitahu bahawa mereka tidak akan menghalang usaha pengauditan.

Selain itu, Abdul Khalid berkata, semua fail yang berkaitan dengan YBK di daerah Hulu Selangor telah dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Januari 2010.

“Berikutan laporan ini, Kerajaan Selangor berpendapat aktiviti YBK perlu dipantau bagi memastikan tanah yang diberikan diuruskan secara terus dan bertanggungjawab.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh membiarkan harta rakyat dimanipulasikan untuk keuntungan sesetengah pihak atas nama membasmi kemiskinan.

Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas yang akan dianggotai badan bebas seperti majlis peguam dan Tranparency International bakal ditubuhkan selepas 24 April ini.

“Dan Kerajaan Negeri akan membuat satu jawatankuasa untuk mengkaji laporan audit ini dan untuk membuat beberapa cadangan yang perlu untuk menentukan tidak ada lagi perkara pemberian tanah kepada yayasan yang difikirkan untuk memberi kebajikan tidak menjalankan tugas yang sepatutnya,” katanya.SH

No comments: