Monday, April 12, 2010

Lagi laporan polis terhadap APCO


PASIR PUTEH, 12 April : Ahli Parlimen Pasir Puteh, Mohammad Husain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh petang semalam mendesak siasatan dilakukan terhadap Syarikat APCO Worldwide dan pembabitannya dengan Kerajaan Malaysia.

Mohammad yang diiringi 30 penyokong Pas berkata, bantahan dibuat kerana beliau bimbang hubungan secara kontrak dengan syarikat Israel itu boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, beliau sedih apabila hubungan dengan syarikat terbabit dilakukan dalam keadaan umat Islam ditindas rejim ganas itu.

“Saya memohon siasatan terperinci terhadap APCO dan mereka yang berada di belakang syarikat itu kerana melalui hubungan tersebut, maklumat keselamatan negara diperolehi dengan mudah kerajaan haram Israel.

“Kita mahu mengetahui tujuan sebenar kemasukan syarikat itu ke negara kita, demikian juga dengan pembabitan rakyat Malaysia dalam perhubungan tersebut,” katanya.

Mohammad berkata, salinan perjanjian yang dimeterai pada 4 Ogos 2009 dilampirkan ketika membuat laporan polis semalam.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak wajar berurusan dengan syarikat yang mana lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar Israel sedangkan negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kerajaan katanya, seperti melanggar keputusan sendiri kerana Parlimen negara pernah mengadakan Sidang Khas bagi mengutuk pengepungan besar Israel ke atas Gaza serta menyekat kemasukan makanan dan ubatan.

“Syarikat APCO mempunyai rekod perjanjian dengan negara haram Israel, kita tidak perlu menjalinkan hubungan dengan syarikat itu,” katanya yang turut melampirkan salinan perjanjian yang membuktikan hubungan kerajaan Israel dengan APCO sebagai rujukan.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, APCO Worldwide Sdn Bhd yang beralamat berdaftar di Level 21-Suite 21.01, The Garden South Tower, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra, 59200 Kuala Lumpur terlibat dalam perjanjian perkhidmatan iaitu ‘to provide public relatons, daily managememts and goverments relations outreach for Goverment In United States...’.

“Kita bimbang hasil perjanjian itu akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses negara luar,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis, di sini semalam.




PEKAN SIK, 12 April :
Umat Islam di daerah ini memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terperinci terhadap syarikat APCO Worldwide dan pembabitannya dengan pemimpin Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun kebanyakan lembaga pengarah syarikat berkenaan adalah terdiri daripada tokoh besar negara tersebut.

Menurutnya, mereka khuatir dengan wujudnya perjanjian bersama akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada pihak luar, sedangkan Israel menindas rakyat Palestin dan mengepung Bandar Gaza serta menyekat makanan serta keperluan ubat-ubatan.

“Sedangkan Parlimen Malaysia sendiri mengadakan Sidang Khas Parlimen mengutuk pengepungan itu, justeru kerajaan seolah-olah melanggar keputusan sendiri apabila mengadakan hubungan dengan syarikat berkenaan.

“Selain itu, syarikat berkenaan juga diketahui mempunyai rekod perjanjian dengan Israel dan terdapat beberapa salinan perjanjian yang membuktikan hubungan tersebut,” katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, semalam.

Che Uda berkata, sebagai rakyat Malaysia, mereka amat bimbang hubungan secara kontrak dengan syarikat tersebut akan mendedahkan maklumat sulit negara dalam masa sama mengancam keselamatan negara.

“Sebagai seorang Muslim, kami amat sedih kerana hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas berkenaan.

“Justeru itu, kami amat berharap supaya satu siasatan terperinci terhadap syarikat itu dan mereka yang berada di belakang syarikat ini seperti di salinan perjanjian tersebut dibuat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ini menggambarkan seolah-olah isu keselamatan negara tidak begitu penting, sedangkan maklumat keselamatan negara akan diperoleh secara mudah oleh Kerajaan Israel.

“Kami juga memohon, supaya satu siasatan menyeluruh dibuat bagi memastikan tujuan sebenar kemasukan syarikat ini ke negara kita dan pembabitan rakyat Malaysia yang memainkan peranan di belakang syarikat ini.

“Kerajaan Malaysia sepatutnya menamatkan segera perjanjian kerjasama dengan syarikat berkenaan dan segera memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam atas tindakan tersebut,” katanya.

Antara yang turut hadir membuat laporan berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Yahya Abdulllah, dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sik, Habib Danial Habib Ahmad.



KUALA NERANG, 12 April : Polis diminta menyiasat secara terperinci Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Rembau, yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat APCO Worldwide.

Exco Pemuda PAS, Mohd Nasir Zakaria berkata, pihaknya yakin syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan kerajaan Israel berdasarkan rekod perjanjian yang dimeterai pada 4 Ogos 2009.

“Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Israel. Saya pasti, ketika berurusan dengan syarikat itu, yang lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar negara Israel akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses pihak luar,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang, pada jam 1 tengah hari, semalam.

Seramai 30 penyokong PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Padang Terap turut hadir memberi sokongan, antaranya Timbalan Yang Dipertua PAS Padang Terap, Mohamad Talib; Setiausaha PAS kawasan, Mohd Azam Abdul Aziz serta Ahli Jawatankuasa Pas kawasan termasuk ahli PKR Cabang Padang Terap.

Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, selaku rakyat Malaysia, beliau bimbang mengenai kerjasama dengan syarikat perunding terbabit yang mendedahkan maklumat sulit negara dan seterusnya boleh mengancam keselamatan negara.

“Sebagai seorang Muslim, saya amat sedih apabila hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas itu. Sehubungan itu, saya mohon supaya satu siasatan terperinci dibuat terhadap mereka yang bertanggung jawab terhadap perjanjian itu,” katanya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah itu berkata, tindakan mereka menggambarkan seolah-olah isu keselamatan negara tidak penting sedangkan maklumat keselamatan negara boleh diperoleh dengan mudah oleh Kerajaan Israel.

“Saya juga mohon supaya satu siasatan dibuat bagi memastikan, apakah tujuan sebenar kedua-dua individu terbabit di dalam mempertahankan kontrak yang dimeterai dan apakah kepentingan yang mereka perolehi daripada perjanjian itu,” katanya.

Sebelum ini, dua laporan polis berhubung isu sama telah dibuat di Kuala Lumpur oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali di Balai Polis Jalan Dang Wangi manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. SH

No comments: