Thursday, June 3, 2010

Jangan guna APCO jika benar kutuk Israel


IPOH , 2 Jun : Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) Mohd Hafez Sabri, mendesak Kerajaan Malaysia hentikan serta merta penggunaan APCO serta agensi dan konsultan berkaitan dengan Israel.

Menurutnya, jika benar Malaysia mengutuk tindakan Israel merampas dan menyerang kapal ‘Mavi Marmara’ yang mengakibatkan kematian 16 aktivis dan kecederaaan lebih 32 orang.

Katanya, Malaysia perlu buktikan secara jelas dengan menghentikan serta merta khidmat APCO yang bernilai RM20 juta itu.

”IPMM mewakili generasi anak muda mencadangkan beberapa usaha yang mesti digerakkan segera untuk menunjukkan konsistensi kita dalam berhadapan dengan isu yang membabitkan hak kemanusiaan,” katanya, dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Mohd Hafez berkata, pihaknya menggesa agar rakyat Malaysia bersatu dan menyatakan bantahan dengan menyertai perhimpunan untuk menyerahkan memorandum di setiap pejabat konsulat Israel dan kedutaan Amerika.

“Dengan cara lain kita juga seterusnya akan menulis surat kepada Perdana Menteri selaku Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin berhubung dengan tindakan lanun menyerang kapal konvoi supaya memanggil sidang tergempar OIC dan mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, IPMM juga menggesa supaya Parlimen membuat sidang khas berhubung dengan isu serangan tentera rejim Zionis supaya resolusi dapat dikeluarkan.

“Bagi gerakan anak muda ini sekarang bukan masanya hanya sekadar mengutuk serangan dan mengeluarkan kenyataan yang tipikal dan bosan setiap kali peluru membunuh nyawa rakyat yang tidak berdosa di bumi Palestin.

“Rakyat Malaysia juga perlu teruskan usaha-usaha memberi sumbangan derma dan bantuan kemanusiaan dengan menyokong sebarang usaha yang dibuat oleh Viva Palestin,” katanya.

Kata Mohd Hafez, penyertaan rakyat dan pelajar Malaysia dalam konvoi Viva Palestin pada Disember 2009 lepas perlu dicontohi walaupun telah digagalkan daripada memasuki Gaza atas maksud kemanusiaan.SH

No comments: