Thursday, June 3, 2010

Siasat kematian PTD


KUALA LUMPUR, 3 Jun : Wakil rakyat muda Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan Persekutuan menjalankan siasatan secara terbuka dan telus ke atas kematian seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang meninggal dunia selepas menjalani latihan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara 31 Mei lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihak berwajib tidak mempunyai pilihan melainkan mendasari isu berkenaan dengan teliti dan memberi jaminan bahawa kejadian itu tidak akan berulang lagi.

“Tidak boleh tidak, persoalan akan terus timbul mengenai keperluan wujudnya latihan ketenteraan yang mencabar fizikal bagi penjawat awam negara.

“Umum bersetuju bahawa wujud keperluan penjawat awam khususnya pegawai PTD untuk cergas mental dan fizikal tetapi dalam masa yang sama masih banyak saluran yang boleh dibentuk yang lebih rasional untuk membentuk semangat kekitaan di kalangan mereka,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini semalam.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga perlu membekukan sebarang penglibatan peserta di dalam latihan seumpamanya sehingga siasatan dijalankan sepenuhnya.

“Insiden ini seperti mana insiden-insiden malang yang berlaku di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menimbulkan beberapa persoalan serius ke atas komitmen kerajaan ke atas kebajikan peserta di bawah seliaan mereka.

“Kami menerima banyak aduan dari PTD-PTD yang melalui modul yang sama dan sudah semestinya warganegara yang memilih untuk berkhidmat untuk negara berhak mendapat layanan yang lebih baik,” katanya.

Sidang media berkenaan juga turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari dan ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.

Beliau turut mempersoalkan cara pengendalian modul program itu sama ada ia mempunyai latar belakang profesional atau sebaliknya.

“Siapakah yang mengendalikan Modul Bina Semangat berkenaan,apakah konsultan ini mempunyai latar belakang kejurulatihan profesional?

“Apakah modul ini memenuhi mana-mana piawaian keselamatan dan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas berhubung keselamatan peserta?,” katanya.

31 Mei lalu,seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Norhasimah Wahid, 31, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat jangkitan paru-paru semasa menjalani latihan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara.

Nurul Izzah berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali akan membawa isu itu ke Parlimen sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 nanti.

Sementara itu, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor menggantung penghantaran pegawai PTD daripada menjalani latihan sedemikian sebelum sehingga siasatan selesai.

”Kami akan menulis surat kepada Kerajaan negeri supaya menggantung penghantaran pegawai PTD di Selangor daripada menghadiri latihan ini buat sementara waktu sehingga siasatan itu selesai dijalankan,” katanya.SH

No comments: