Tuesday, June 29, 2010

Rombakan PKR keputusan parti


PUCHONG, 29 Jun :
Rombakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan kelmarin adalah keputusan dalaman yang dibuat parti itu sendiri, demikian menurut Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau yang juga ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, pihaknya berharap dengan rombakan dibuat dalam organisasi parti itu semua pemimpin dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan Selangor.

“Sama macam di setiap ‘rumah’ mesti ada masalah masing-masing...bagi saya dengan keputusan diambil itu masalah dalam parti itu sudah berakhir.

“Namun saya percaya tiada masalah lagi akan berlaku sama ada dalam PKR atau Pakatan Rakyat (PR) kerana tumpuan sekarang ini adalah meningkatkan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan semula jawatankuasa parti berlaku pada setiap organisasi dan bagi DAP sendiri, organisasi itu membuat pemilihan dua tahun sekali.

“Pemilihan semula jawatankuasa DAP negeri akan dibuat hujung tahun ini.

“Apa yang penting adalah usaha membangunkan ekonomi Selangor setelah jawatankuasa dalam organisasi dibentuk atau dirombak seperti PKR,” katanya yang enggan mengulas panjang berkenaan hal rombakan membabitkan jawatan Menteri Besar dalam PKR.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat sedikit rombakan dalam organisasi parti, yang menyaksikan Naib Presidennya, Azmin Ali menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkuat-kuasa serta-merta.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rombakan kecil dilakukan atas permintaan Abdul Khalid yang mahu menumpukan perhatian terhadap pentadbiran Selangor.

Dalam laporan itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian. Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli Parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.SH

No comments: