Tuesday, June 29, 2010

Yunus selar Umno boikot majlis Hari Ladang


KUALA KURAU, 30 Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari menyelar tindakan UMNO Parit Buntar dan Bagan Serai yang dikatakan memboikot majlis perasmian Bangunan Baru Pejabat Pertanian Kawasan Tanjong Piandang dan Hari Ladang Jabatan Pertanian Daerah Kerian.

Majlis itu dirasmikan Pengarah Pertanian Negeri, Ariffin Abdul Latif Selasa.

Menurut Abdul Yunus, pihak berkenaan dikatakan tidak berpuas hati kerana jawatankuasa penganjur menjemput wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) yang dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Kuala Kurau, ADUN Titi Serong, ADUN Selinsing dan ADUN Gunung Semanggol.

Katanya, beliau kesal kerana tidak kelihatan kelibat Penghulu Mukim Tanjong Piandang dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sepatutnya menyambut kehadiran Pegawai Daerah Kerian, Ismail Hassan.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan UMNO telah membelakangkan kepentingan petani dan peladang di kawasan berkenaan yang rata-ratanya dari kalangan Melayu.

“Mereka juga seolah-olah tidak menghormati pegawai kerajaan yang menjalankan tugas secara profesional dan berfikiran terbuka.

“Kita mendapat laporan UMNO akan mengambil tindakan dengan menukarkan beberapa pegawai Jabatan Pertanian yang telah mengundang wakil PR pada program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan UMNO supaya tidak berlaku zalim kepada kakitangan kerajaan kerana mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sikap seperti itu, katanya, menyebabkan UMNO dibenci dan ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu dan jika tidak berubah, mustahil Barisan Nasional (BN) akan menang.

“Kita mengucapkan syabas kepada Pejabat Pertanian Daerah Kerian kerana berjaya membina bangunan baru lebih selesa demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada petani dan peladang di Tanjong Piandang serta Kuala Kurau.

“Mudah-mudahan dengan kerjasama semua pihak ini, nasib petani dan peladang akan terbela. Pada majlis itu, Jabatan Pertanian Kerian mengadakan gerai pameran yang turut disertai beberapa syarikat dan penduduk memasarkan beberapa produk berkaitan pertanian dan perladangan,” katanya.

Kata beliau, majlis berlangsung lancar dan mendapat sambutan dengan kehadiran penduduk dari kalangan petani dan peladang.SH

No comments: