Wednesday, July 7, 2010

Kesal program politik di dewan sekolah


SIJANGKANG , 7 Julai : Pakatan Rakyat (PR) menyangkal sesetengah pihak yang mendakwa PR menghalang part politik lain menggunakan dewan bagi tujuan mesyuarat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, dakwaan tersebut ekoran ada pihak yang cuba menggunakan dewan utama sebuah sekolah untuk mengadakan mesyuarat agung parti politik.

Menurutnya, PR tidak pernah menghalang penggunaan dewan dan kemudahan awam di Daerah Kuala Langat untuk sebarang kegunaan awam termasuk parti politik.

“PR mempunyai satu matlamat untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat tidak kira parti dengan syarat mengikut proses permohonan yang betul.

“sekiranya mana–mana parti politik ingin mengadakan mesyuarat mereka di bangunan atau premis di bawah kerajaan negeri tetap tidak menjadi masalah dan mereka seharusnya tidak menggunakan dewan sekolah dalam agenda politk,” katanya ketika mengadakan Sidang Media Permuafakatan Pakatan Rakyat berkaitan bantahan penggunaan salah sebuah dewan sekolah sebagai lokasi mesyuarat parti politik petang kelmarin.

Ahmad Yunus berkata, beliau kesal apabila institusi sekolah tercemar dengan adanya program–program politik dan ia memberi masalah kepada pelajar–pelajar sekolah yang ketika itu mempunyai program khas di sekolah berkenaan.

“Difahamkan pelajar – pelajar terpaksa menggunakan kantin sekolah untuk mengadakan aktiviti walaupun sebenarnya program tersebut sepatutnya diadakan di dewan besar berkenaan.

“PR Kuala Langat berharap Jabatan Pelajaran Negeri Selangor akan menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya supaya perkara tersebut tidak berulang dan sekolah bebas daripada sebarang agenda politik.

“Penggunaan dewan dan kemudahan awam yang ada di Daerah Kuala Langat boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tetapi harus mengikut syarat–syarat yang ditetapkan,” katanya.

No comments: