Wednesday, July 7, 2010

Surat debat isu felda sudah diserah















KUALA LUMPUR, 7 Julai :
Surat rasmi debat mengenai isu dakwaan kemerosotan Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) akan diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri Datuk Ahmad Maslan esok.

Menurut kenyataan biro penerangan Pemuda PAS, surat tersebut akan diserahkan di lobi Parlimen pada jam 11.30 pagi esok.

Ia akan diserahkan oleh pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman yang sebelum ini mencabar Ahmad untuk berdebat.

Pada 16 Jun lalu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno dilapor berkata di Parlimen bahawa status kewangan Felda merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Susulan daripada pendedahan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pelbagai kritikan, termasuk daripada penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim yang mendesaknya agar "melepaskan cengkamannya" terhadap agensi itu.

Felda pula kemudiannya dilaporkan mahu menyaman Zaid, akhbar organ PKR Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan laporan "fitnah yang berniat jahat" dan "keterlaluan".

Mazlan sebelum ini dilaporkan berkata cabaran untuk berdebat diputuskan selepas Ahmad berhasrat untuk menyaman akhbar Suara Keadilan - yang melaporkan 'Felda Bankrap'.

Mazlan dilaporkan berkata tindakan undang-undang tersebut dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu".

"Kita akan dedahkan fakta sebenar yang berlaku di Felda (dalam debat itu)," Mazlan dilaporkan berkata.

Mazlan juga dilaporkan berkata, beliau bersedia bersemuka dengan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian pada bila-bila masa.

ANAK sebelum ini turut dilaporkan membuat aduan polis berhubung kemerosotan rizab tunai Felda itu.

No comments: