Monday, August 23, 2010

Masih ramai rakyat miskin


BATU GAJAH , 24 Ogos : Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan meneruskan usaha membantu golongan kurang berkemampuan yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi memperbaiki taraf hidup dan sosioekonomi mereka.

Walaupun PR sudah tidak lagi mentadbir Kerajaan Negeri namun usaha untuk membantu rakyat tetap diteruskan demi merealisasikan apa yang telah dirancang sebelum ini iaitu dapat mengurangkan jumlah golongan miskin.


Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng, Ir Radzi Zainon berkata, PR akan terus berusaha mencari jalan terbaik bagi membantu golongan miskin untuk mereka memperbaiki kehidupan mereka.

Menurutnya, ada setengah golongan kurang berkemampuan tidak dibela nasibnya dan sebagai pemimpin pihaknya cuba memberi bantuan sedaya yang mungkin kepada mereka.

"Ianya juga adalah tanggungjawab kita untuk membantu mereka tanpa mengira agama, perbezaan warna kulit dan bangsa malah berlainan parti politik kita akan cuba selesaikan demi kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan dalam program Ziarah Ramadan di Kampung Seri Jaya dan Kampung Pisang.

Radzi berkata, beliau berasa sedih di dalam suasana negara sudah merdeka 52 tahun tetapi masih ada rakyat yang hidup seolah-olah tidak mendapat pembelaan.

“Kita tidak perlu pergi jauh ke pedalaman jika kita mahu lihat orang susah kerana di tempat kami ini pun masih ramai keluarga yang miskin dan perlu dibantu.

“Kami di pihak PAS melihat kebajikan rakyat adalah perkara pokok yang perlu diberikan perhatian dan walaupun tidak mentadbir kerajaan, kami tetap terus berbakti dengan cara kami, tetapi apa yang paling penting kebajikan rakyat mesti diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, program terbabit juga adalah salah satu daripada program ziarah di mana pihaknya mengunjungi penduduk dari rumah ke rumah untuk menyampaikan bantuan itu.

“Kita galakkan ahli agar terapkan semangat ziarah-menziarahi agar masyarakat lebih dekat dengan kita dan kemesraan yang terjalin dapat meyakinkan mereka apa yang diperjuangkan oleh PAS dan rakan dalam PR itu sendiri.

“Insya-Allah walaupun kini PR tidak lagi mentadbir namun, aktiviti kebajikan akan berterusan untuk membantu rakyat akar umbi yang memerlukan pertolongan,” katanya.SH

No comments: