Monday, August 23, 2010

Mahasiswa akan ajar BN dalam PRU 13


SHAH ALAM 24 Ogos - Ketua Pemuda Sosialis DAP(Dapsy), Anthony Loke berkata keputusan Kabinet 11 Ogos lalu melarang pelajar universiti daripada bergiat dan menyertai sebarang parti politik hanya akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik pada pilihan raya umum yang ke-13 kelak.

Anthony memberi amaran Umno dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda daripada apa yang dialami semasa PRU-12 pada 2008 lalu.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata langkah itu merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mengecewakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

"Keputusan Kabinet menunjukkan Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, keputusan itu juga membuktikan Pemuda Barisan Nasional khasnya Pergerakan Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taring kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malah katanya, suara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan berhubung dasar Auku juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

"Dapsy akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan. Dapsy yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tegas beliau.

No comments: