Thursday, August 12, 2010

Utusan bakal disaman lagi


KUALA LUMPUR, 13 Ogos : Lim Guan Eng memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kumpulan Utusan kerana mendakwa menyiarkan berita fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu mengharamkan Bazar Ramadan di Komtar. Sehubungan itu, Lim telah meminta peguam Karpal Singh mempertimbangkan tindakan saman ke atas Utusan Malaysia.

“Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah miminta peguamnya, Karpal Singh mempertimbangkan sama ada tindakan saman boleh diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita fitnah ke atas Ketua Menteri (kononnya) telah mengharamkan Bazaar Ramadan di Komtar.

“Peguam beliau akan mengkaji laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mulai 7 hingga 11 Ogos 2010, yang menyiarkan berita palsu menyemarakkan sentimen perkauman dengan menyatakan Ketua Menteri menindas peniaga Melayu dengan menghalang bazar ramadan,” kata Setiausaha Akhbar Lim, Cheong Yin Fan dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Bazar Ramadan di Komtar terus dibenarkan, katanya.

“Hanya pengelola, Naib Pengerusi Persatuan Perniagaan Komtar (KMA) Mohamad Ghani Abdul Jiman dilarang masukkan gerai kerana tidak bayar sewa kepada Penang Development Corporation (PDC), pengurus Komtar. Mana boleh masukkan gerai tanpa membayar wang sewa?

“Yang lebih teruk lagi ialah pengelola telah pun kutip wang daripada peniaga tetapi tidak serahkan kepada PDC sehingga hari ini,” katanya.

Setiausaha akhbar itu berkata, demi menutup kegagalan KMA bayar wang sewa yang telah pun dikutip daripada peniaga kepada PDC, satu isu perkauman telah dicetuskan bahawa Bazar Ramadan dihalang dan peniaga Melayu ditindas.

“Sehingga sekarang tidak ada satu sen pun dibayar kepada PDC.

Kata beliau, ini bukan kali pertama akhbar berkenaan menyiarkan berita “bohong bulat-bulat bahawa Ketua Menteri menindas orang Melayu.”

“Pada mulanya Ketua Menteri tidak ingin membuat saman kerana rasa ini adalah politik benci dan ganas oleh mereka yang anti-Pakatan Rakyat.

“Akan tetapi kerana ia diulang-ulangi, maka langkah ini terpaksa diambil untuk mendedahkan kepada orang ramai tipu muslihat dan niat jahat Utusan Malaysia,” katanya.

Kata beliau, Ketua Menteri sedia menerima cabaran Ghani dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fitnah.
“Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin rakyat dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar,” katanya lagi.

Kelmarin, Ghani mencabar Lim untuk membuat laporan polis terhadapnya atas kesalahan pelanggaran kepercayaan — dan pertaruhkan jawatan masing-masing.

Ghani berkata beliau mahu polis melakukan siasatan menyeluruh terhadapnya sambil menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai naib pengerusik KMA jika terbukti bersalah atas tuduhan itu.

“Tapi jika saya tidak bersalah, saya mahu Lim Guan Eng letak jawatan,” kata Ghani.

No comments: