Tuesday, October 12, 2010

Pakatan Rakyat akan kembali tawan Perak



IPOH, 12 Okt. : Pakatan Rakyat akan merampas semula Perak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun ada usaha untuk memindahkan para pengundi ke tempat-tempat tertentu, kata Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pakatan Rakyat, kata AJK PAS Pusat itu, akan membincangkan pembahagian kerusi di kalangan parti komponen kemudian nanti.

Menurutnya, Pakatan Rakyat juga menilai calon berdasarkan masa pilihan raya diadakan tetapi memberi jaminan hanya calon yang berwibawa akan dipilih.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR memenangi PRU 2008 dan membentuk kerajaan negeri Perak sebelum digulingkan, dipercayai didalangi oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 2009.

Ujar beliau, "kalau pilihan raya itu diadakan sekarang atau serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan rakyat akan menang.

BN main kotor?

Nizar berkata, "cuma kita takut Barisan Nasional (BN) main kotor. BN telah memindahkan para pengundi ke kawasan sasaran mereka. Sebagai contoh, para pengundi PAS dari kawasan saya (Pasir Panjang) telah dipindahkan ke Dun Sitiawan.

"Tetapi oleh kerana DAP menang dengan majoriti lebih 8,000 undi di kawasan itu maka ia tidak boleh memberi kemenangan kepada BN," katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Nizar juga berkata, politik dalaman PKR tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat termasuk kepada calon PKR.

Bagaimanapun, AJK PAS Pusat itu berkata, Pakatan Rakyat perlu menyebarluaskan maklumat kepada penduduk luar bandar termasuk di kawasan peneroka Felda.

"Di kawasan bandar atau separuh bandar, kita tidak ada masalah kerana mereka faham dengan apa yang berlaku," tambahnya.

Nizar berkata, prestasi pentadbiran Najib yang menurun dari 72% kepada 68% juga boleh membantu Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beberapa kenyataan Menteri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menimbulkan tanda tanya.

Ujar beliau, "bancian keluarga miskin di Perak menunjukkan seramai 2,000 keluarga tetapi menteri besar memberitahu terdapat hanya 700 keluarga sahaja. Kita tanya macam mana angka begitu, dia tidak boleh jawab.

"Kita tanya mengenai status tanah seluas 35,000 ekar di Gerik, juga dia tidak boleh jawab. Jadi biar rakyat Perak menilai pentadbiran BN Perak itu," katanya.

No comments: