Tuesday, October 12, 2010

SPRM Kedah mula siasat


ALOR SETAR, 11 O kt. : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah akan memulakan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam kos pembinaan loji air di Lubuk Buntar, Bandar Baharu dan di Padang Sanai, Padang Terap.

Pengarahnya, Datuk Idrus Jaafar berkata, pihaknya telah menerima laporan rasmi berhubung dakwaan itu daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya di pejabatnya di sini semalam.


“Saya sudah menerima laporan yang diserahkan oleh Pemuda PAS dan SPRM akan memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya.

Ditanya bagaimana proses siasatan itu akan dijalankan termasuk kemungkinan memanggil pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu yang terlibat dengan dua projek itu, Idrus berkata, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi sebarang komen berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui sejurus selepas menyerahkan laporan itu kepada Idrus di sini semalam berkata, tindakan itu diambil tanpa arahan daripada mana-mana pihak.

“Hari ini (semalam), kami membuat laporan rasmi kepada SPRM mengenai apa yang dimaksudkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak iaitu penyelewengan yang berlaku dalam isu air di negeri ini. Tindakan ini adalah atas inisiatif Pemuda PAS Kedah sendiri,” katanya

Ditanya mengenai kandungan laporan, Ahmad berkata, isu penyelewengan itu sudah disiarkan menerusi media sebelum ini.

“Bagaimanapun pada hari ini, kami ingin membuat satu laporan secara rasmi kepada SPRM dan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan.

Laporan dua muka surat yang menyentuh mengenai semua isu berkaitan pengurusan bekalan air di Kedah sudah diserahkan kepada Pengarah SPRM Kedah pada jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Ahmad dilihat memasuki pejabat SPRM di Wisma Persekutuan di sini bersama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Izzat Shauki; Setiausaha Politik Menteri Besar yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohammad Sanusi Md Nor dan Pegawai Khas Menteri Besar, Rosli Azmi.

Azizan dalam satu kenyataan sebelum ini mendedahkan kos pembinaan loji air di Lubuk Buntar bagi 25 juta liter air ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta sebaliknya perbelanjaan yang direkodkan ialah RM65 juta.

Manakala pembinaan loji air di Padang Sanai yang mempunyai kapasiti 50 juta liter air sehari pula mencecah RM155 juta sedangkan anggaran sebenar kos hanya sekitar RM60 juta.

Ekoran pendedahan itu, Azizan dilaporkan meminta SPRM menjalankan siasatan mengenai penyelewengan yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tetapi enggan membuat laporan rasmi sebaliknya mahu SPRM menjalankan siasatan sendiri.SH

No comments: