Saturday, November 27, 2010

Halang bina jalan, penduduk bina sendiri


PARIT BUNTAR, 27 Nov. : Jamaah Surau Mujahidin , Kampung Kedah bersama penduduk di Kampung Kedah bersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membina sebatang jalan konkrit simen selebar 10 kaki dan panjang 700 kaki apabila pihak tertentu menghalang permohonan mereka yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Penyelaras Surau Mujahidin Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, kos melibatkan hampir RM 15 000 bagi membeli simen konkrit dibiayai daripada sumbangan ahli Jamaah Surau Mujahidin , penduduk kampung dan orang perseorangan.

“ Kami mendapat sokongan yang kuat dari PAS Parit Buntar dan Pejabat Ahli Parlimen serta Pejabat ADUN Titi Serong yang turut sama membantu usaha membina jalan ini.

“ Kita mendapat maklumat pihak berkuasa tempatan telah meluluskan pembinaan jalan ini, namun ada pihak yang tidak bertanggung jawab menghalangnya “ katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Parit Buntar

Fakhrurrazi berkata, program gotong-royong bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 petang melibatkan kira-kira 100 penduduk kampung, ahli Jamaah Surau Mujahidin dan ahli-ahli PAS sekitar Parit Buntar.

“Jalan ini adalah laluan yang penting kepada penduduk ke
Taman Kerian Permai, Taman Seri Tenggara, Taman Semarak dan Taman Wawasan

Malah, lebih utama jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat beberapa sekolah terletak di kawasan berhampiran” katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membina sendiri jalan berkenaan setelah melihat ada pihak yang sanggup menghalang kemudahan jalan yang sepatutnya diberi kepada penduduk di sekitar Kampung Kedah.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membina jalan ini” katanya

Hadir sama Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan pimpinan PAS Parit Buntar bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.

Sumber gambar : Cina Islam

No comments: