Saturday, November 27, 2010

Jangan jadi Terengganu 2004
















PETALING JAYA 28 Nov. : Pakatan Rakyat (PR) kemungkinan akan tewas dalam pilihan raya umum ke-13 di Selangor jika tidak bersatu padu dan mengambil iktibar Terengganu pada 2004, tegas Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

Lim Kit Siang juga meminta perwakilan barisan menyokong kepimpinan negeri yang menganggotai kerajaan negeri Selangor sebagai tanda perpaduan.

"Bolehkah Umno dan Barisan Nasional (BN) menang balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak boleh ditembusi dan tidak dapat dikalahkan?" kata Lim ketika berucap membuka Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

"Saya tahu ada orang yang percaya bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh hilangan kawalan dan kuasa di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau mengingatkan para perwakilan konvensyen bahawa PAS tidak menjangkakan ia akan kehilangan Terengganu dalam pilihan raya umum 2004 selepas memperoleh kemenangan tidak disangkakan sama sekali pada 1999.

"Pada pilihan raya umum 1999, PAS tidak pernah menjangkakan kuasa menang di Terengganu tetapi menyapu bersih 28-4 di Dewan Undangan Negeri," kata Lim.

"Pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menjangkakan akan kehilangan kuasa di Terengganu tetapi tewas dengan keputusan terbalik 4-28, disapu oleh Umno dan BN," kata beliau.

Lim juga berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan BN akan menang balik Selangor memandangkan PR berada dalam keadaan tunggang-langgang.

Kata beliau, baru-baru ini selepas pilihan raya kecil serentak Galas dan Batu Sapi, Dr Mahathir memberitahu bahawa BN berupaya untuk menawan satu atau dua negeri daripada penguasaan PR atas alasan pembangkang berada dalam kelam-kabut tetapi BN tidak mampu memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kata Lim, bukan sesuatu yang rahsia satu dua negeri yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir sebenarnya merujuk kepada Selangor.

Malah dalam ucapannya, Lim juga mengulangi seruan Yong agar semua pihak merapatkan kerjasama untuk memastikan PR boleh mengekalkan kuasa di negeri Selangor.

Lim juga meminta perwakilan menghantar mesej perpaduan dan memastikan kemenangan ahli-ahli DAP yang berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor pada pemilihan parti hari ini.

"Mesej itu akan tercalar jika pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor tidak menerima mandat dan sokongan penuh daripada konvensyen," katanya.

No comments: