Wednesday, November 10, 2010

Menteri bohong, pendapatan pekebun kecil RM 4000 sebulan































SHAH ALAM 10 Nov. :
Dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa pendapatan pekebun kecil mencecah RM4,000 sebulan dinafikan oleh Mazlan Aliman.


Menurut Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), beliau tidak menafikan ramai pekebun kecil mampu tersenyum panjang melihat kepada kenaikan harga komoditi itu yang melonjak ke paras tinggi, namun katanya ia hanya dapat dinikmati oleh pekebun kecil yang mengusahakannya secara tradisi dan bukannya mereka yang berada di bawah kawal selia agensi tanah di negara ini.

"Walaupun harga komoditi berada di paras yang tinggi tetapi masih terdapat sebahagian rakyat yang tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Dan ini bukan kecil jumlahnya. Kalau di FELDA sahaja ada lebih kurang 111,635 orang peneroka," kata Mazlan kepada TV Selangor.

Ujar Mazlan, apa yang dinyatakan oleh Shafie itu tidak jelas dan tidak merangkumi pendapatan keseluruhan pekebun di negara ini. Malah beliau mendakwa masih ada yang tertindas dan hasil tanaman dinikmati oleh orang tengah.

Katanya, gambaran umum yang diberikan oleh Menteri Luar Bandar itu barangkali kurang tepat kerana walaupun harga komoditi sudah berada di paras yang stabil, bukan semua masyarakat pekebun kecil menikmati pendapatan yang begitu.

"Kalau FELCRA, kebanyakan kebun-kebun FELCRA diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan FELCRA. Dan peserta-peserta FELCRA yang telah menyerahkan kebun mereka untuk diuruskan FELCRA, sebenarnya sedang berhadapan dengan tahap yang kritikal kerana mereka tidak dapat pendapatan sebenar sepertimana yang digembar-gemburkan dengan kenaikan harga komoditi getah," ujar Mazlan, menjelaskan senario sebenar nasib para pekebun kecil di negara ini.

Malah menurut Mazlan, para peneroka yang berada di bawah FELDA, FELCRA mahupun RISDA kerap kali didiskriminasi oleh agensi yang sepatutnya menjalankan amanah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar ini.

"Masalah seperti pembayaran dividen yang rendah, pendapatan bulanan yang kecil dan tidak seimbang sejajar dengan kenaikan harga getah yang sering menimpa para pekebun kecil," kata Mazlan lagi.

Justeru ujarnya, kenyataan menteri tentang pendapatan yang akan dinikmati oleh pekebun kecil tidak meliputi kesemua pekebun kecil di negara ini.

"Kesimpulannya barangkali pekebun-pekebun kecil di kampung tradisi yang tidak terikat dengan agensi-agensi pembangunan tanah seperti FELCRA, FELDA dan RISDA, mungkin ada benarnya mereka mendapat pendapatan yang tinggi.

"Tetapi tidak mereka yang diikat, dikawal oleh agensi-agensi pembangunan tanah," tambah Mazlan.
Sementara itu, Mazlan juga turut menasihati kerajaan agar mengkaji semula konsep pengendalian kebun di bawah agensi kerajaan yang pada asalnya membawamatlamat untuk menyusun semula masyarakat.

Namun pada hari ini, tahap pengurusan agensi-agensi berkenaan berada di tahap yang rendah sehingga adanya ruang berlaku manipulasi.

" Kalau begini keadaannya, hasrat Tun Razak hendak menyusun masyarakat bagi saya tidak akan tercapai. Sebaliknya ia memberi ruang kepada pihak kapitalis untuk mengaut keuntungan dari orang miskin," tambah Mazlan lagi.

Semalam Shafie Apdal berkata, kenaikan harga getah itu membolehkan hampir 350,000 keluarga pekebun kecil menikmati pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Namun Harga getah SMR20 kini mencapai RM12.44 sekilogram dan ia berada di paras tertinggi dalam sejarah negara.

No comments: