Wednesday, November 10, 2010

Putrajaya hak rakyat bukan hak parti politik
















PETALING JAYA, 11 Nov.: Pertubuhan bukan kerajaan pilihan raya adil, Bersih 2.0 mengingatkan parti-parti politik agar tidak mendakwa Putrajaya adalah milik mereka ketika mempersiapkan jentera bagi menghadapi saingan pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seringkali menggunakan tema “Menuju Ke Putrajaya” dalam ceramah dan kempen manakala dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno, mahu Putrajaya dipertahankan walau apa pun terjadi.

“Putrajaya bukan milik mana-mana pihak, tetapi kepunyaan rakyat Malaysia, kita (rakyat) akan menentukan siapa yang layak memiliki Putrajaya,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada majlis pelancaran pergerakan itu di sini malam tadi.

“Kita, rakyat, akan memutuskan siapa yang akan mentadbir Putrajaya,” kata beliau pada majlis dihadiri sekitar 600 orang.

Bersih 2.0 dilancarkan sebagai badan madani, sebagai sebuah badan bebas berbanding 2005 yang digerakkan oleh parti-parti politik.

Pada 2007, Bersih mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu negara meminta diadakan pilihan raya bebas. Bersih 2.0 diberi nafas baru di sebaliknya gesaan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini akan badan itu digerakkan semula bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang adil.

Ia tidak dipimpin oleh ahli-ahli politik. Kelmarin ia mengadakan pertemuan sulung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan memorandum 11 perkara bagi memperbaiki sistem pilihan raya negara agar telus dan adil.

Menurut Ambiga, sistem demokrasi yang adil dan bersih akan mendorong rakyat memilih pemimpin impian mereka masing-masing.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, kerajaan dan SPR sepatutnya menerima 11 tuntutan Bersih 2.0 iaitu pembersihan sepenuhnya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal elak pengundian berganda dan penyelewengan undi, reformasi proses pengundian, kebebasan pada semua parti untuk mengakses media, memanjangkan tempoh berkempen minimum 21 hari, pendaftaran automatik serta umur turun mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan proses kewangan pilihan raya diurus dengan telus.

“Semua parti mesti memberi perhatian dan angkat cadangan-cadangan ini, kalau SPR masih tidak mendengar dan meletakkan cadangan ini di belakang, kita tahu ke mana kami harus pergi (dan) apa yang kami wajar buat,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Teresa Kok (Seputeh), Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang) dan Adun Pandamaran Ronnie Liu.

Ambiga berkata, Bersih 2.0, yang diterajui Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) dan kumpulan wanita Empower, merupakan satu gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan, kewujudan Bersih bukan bertujuan untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum mendatang.

“Apa yang kami mahukan dalam Bersih, pada akhirnya muncul sebagai satu institusi demokrasi yang matang,” kata beliau.

Majlis pelancaran juga diserikan dengan persembahan masyarakat Orang Asli dan Tugu Drum Circle serta komedi hasil karya aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Sementara itu, Hishamuddin memberitahu The Malaysian Insider bahawa Bersih 2.0 mesti diteruskan walaupun tidak lagi dibayangi ahli-ahli politik pembangkang berbanding sebelum ini.
“Pada saya, meneruskan proses Bersih yang pertama, perjuangan ini menarik (dan) kita tengok perjuangan jawatankuasa ini (juga) mesti diteruskan kerana ada respons positif daripada SPR.

“Tidak timbul soal mereka (Bersih 2.0) ahli politik atau tidak, ini pergerakan madani dan mereka mesti bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik.

“Tetapi saya masih was-was dengan penolakan penggunaan dakwat kekal, katanya SPR akan memperkenalkan teknologi baru yang pada saya akan mereka akan memperkenalkan penggunaan komputer,” katanya.

“Sesiapa yang mengendalikan komputer itu, maka dia akan mengendalikan jumlah undi, di sini bukan soal siapa yang mengira mengundi, tetapi siapa yang menjumlahkan undi,” ujar beliau.
Tinjauan The Malaysian Insider menunjukkan orang awam juga menerima baik kemunculan Bersih 2.0.

“Ia merupakan perjuangan demokrasi, satu perbezaan yang besar kalau dipimpin oleh ahli politik kerana ia akan jadi berat sebelah. NGO ini mesti bergerak luas dan tidak terbatas pada mana-mana pihak,” kata Kamaruddin Mohamad, 52, seorang guru.

Pegawai perunding kanan perakaunan Gopalan Narayanan, 51 pula mempunyai pelbagai sebab tersendiri menyertai Bersih 2.0.

“Nombor satu, nak beri sokong. Nombor dua, nak lihat sokong rakyat pada Bersih 2.0. Nombor tiga, nak jumpa kawan-kawan.

“Saya ada ikut daripada berita, tetapi tidak ikut Bersih 1.0 dulu, kali ini saya memang nak tahu Bersih 2.0 ini apa sebenarnya,” jelas Gopalan yang sokong had kelayan mengundi 18 tahun yang disyorkan memandangkan seseorang itu boleh berkahwin apabila sampai umur 16 tahun.

Nurul Fariza Alian, 36 yang merupakan suri rumah memberitahu The Malaysian Insider, penampilan Bersih 2.0 yang bebas daripada pengaruh politik kepartian adalah sesuatu yang positif.

“Saya suri rumah, tetapi suami seorang pegawai kerajaan, apabila Bersih 2.0 bebas, kami lebih mudah ikut, tidak takut-takut lagi,” jelas Fariza.

Siti Zaidatul Akma Mohamad pula percaya kelahiran Bersih 2.0 akan memperkukuhkan amalan demokrasi di negara ini.

“Saya merasakan lebih bertenaga sekarang. Saya, kini lebih yakin dengan apa yang kita perjuangkan,” kata Siti Zaidatul, seorang pengurus berusia 42 tahun.

“Untuk merasai sebuah negara yang adil, kita perlu berkerja keras untuk mendapatkan terma betul mengenai demokrasi... seperti apabila Datuk Ambiga membacakan apa yang Bersih mahukan,” kata beliau.

No comments: