Friday, November 12, 2010

Muslimat PAS bantu mangsa banjir


PADANG TERAP, 13 Nov. : Dewan Muslimat PAS Padang Terap mengambil inisiatif mengumpulkan pakaian terpakai untuk diberikan kepada mangsa banjir yang memerlukan di sekitar daerah ini sebelum menanti agihan pakaian oleh Dewan Muslimat PAS Kedah sedikit masa lagi.

Ketua Muslimat PAS Padang Terap, Sariah Salam berkata, kesemua pakaian tersebut adalah hasil sumbangan rakan dari daerah berhampiran, milik ahli-ahlinya dan milik orang perseorangan untuk turut sama membantu mangsa banjir.


Menurutnya, pemerhatian sepanjang program penyerahan bantuan sebelum ini mendapati bahawa keperluan pakaian juga sememangnya diperlukan oleh mangsa banjir kerana pakaian sedia ada kebanyakannya diselaputi selut dan berbau busuk akibat terendam dengan air.

“Kita mula mengumpulkan pakaian sebaik sahaja mendengar keluhan yang banyak pakaian yang sedia ada tidak dapat di gunakan lagi kerana diselaputi selut tebal dan berbau. Jadi, kami mula berikhtiar supaya dapat membantu mangsa banjir yang memerlukan pakaian.

“Kita cuba luaskan bantuan pakaian terpakai di seluruh kawasan dalam daerah ini. Sambutan diterima adalah menggalakkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, katanya, pelbagai bentuk bantuan telah dan akan diagihkan kepada mangsa banjir sekitar daerah ini tanpa mengira latar belakang politik secara berperingkat dengan melibatkan sumbangan makanan serta keperluan pakaian melalui Dewan Muslimat PAS Kedah mahu pun saluran lain.

Sariah berkata, pakaian yang diagihkan tersebut merangkumi yang boleh dipakai oleh semua peringkat sekali gus dalam keadaan baik sebagai keperluan sementara bagi mangsa banjir.

“Bagi mangsa yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, untuk membeli semula pakaian kemungkinan mengambil masa. Bantuan pakaian ini sekurangnya meringankan beban sementara mereka bagi menggantikan pakaian baru,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menghimpunkan pakaian untuk sumbangan di suatu tempat seperti di rumah Ketua Muslimat di setiap kampung dan mangsa banjir boleh datang memilih pakaian yang bersesuaian untuk dibawa pulang.

Menurutnya, pihaknya juga turut tidak melepaskan peluang mengadakan gotong-royong membersihkan pinggan mangkuk yang diselaputi selut di rumah mangsa banjir ketika membuat agihan bantuan makanan di beberapa kawasan seperti Kampung Mani, Tualak dan Lubuk Labi.SH

No comments: