Wednesday, November 17, 2010

Program Tranformasi Ekonomi (ETP) pinggir rakyat miskin

AI45

















KUALA LUMPUR 17 Nov : Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Perdana Menteri hanya menumpukan perhatian kepada projek mega yang mengenyangkan kelompok kroni Umno-Barisan Nasional tanpa perincian kepada program untuk membasmi kemiskinan tegar dan projek berteraskan kebajikan rakyat.

Ketika menyampaikan syarahan di Universiti Nasional Australia (ANU) Isnin lalu, Anwar mengkritik ETP dengan mengatakan proram bernilai lebih RM1 trilion itu yang bermatlamat merubah ekonomi Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 cuba mengkhayalkan rakyat dengan angka yang mengasyikkan tetapi pada hakikatnya tidak membawa apa-apa erti.


"Jika dikaji ETP secara dekat kita gagal melihat bagaimana program raksasa ini mampu menangani isu kemiskinan tegar untuk mengurangkan jurang golongan miskin dan kaya. Unjuran untuk mencapai ekonomi pendapatan tinggi sahaja tidak mencukupi.

"Kita tidak lihat apakah rancangan konkrit kerajaan untuk mengatasi masalah perumahan rakyat miskin, di manakah pelan induk untuk memberi pendidikan percuma. Kita juga tidak nampak dalam ETP satu pelan komprehensif bagi golongan yang tidak mampu menanggung kos perubatan swasta dan juga hospital.


"Apa yang dipaparkan hanyalah usaha bersungguh untuk melaksanakan projek mega seperti mana yang berlaku pada era Mahathir. Kita lihat perancangan besar-besaran untuk membina struktur mega, bangunan yang lebih tinggi daripada Menara Berkembar KLCC dan projek mega lain yang akan mengayakan syarikat-syarikat kroni yang akan menjadi semakin kaya dan berkuasa.

" Kita melihat ETP menjadikan anak-anak kita dan generasi akan datang sebagai korban kerakusan dan ketamakan golongan yang mahu mengumpul harta secara haram," tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.


Kerajaan Umno-BN kata beliau meneruskan budaya kronisme meskipun indeks urus tadbir, ketelusan dan akauntabiliti negara terus merudum dan menyebabkan golongan pelabur meminggirkan Malaysia.


Malah kata Anwar lagi mentransformasi sebuah ekonomi bukan hanya sekadar dengan teori semata-mata tetapi memastikan budaya dan amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dihapuskan.


Perubahan ini kata Amwar berkait rapat dengan persoalan keadilan sosial tetapi sebelum keadaan ini dapat diwujudkan dalam sesebuah masyarakat transformasi politik mesti dilakukan terlebih dahulu.


"Mestikan dilakukan perubahan politik sebelum sebarang perubahan dibuat terhadap dasar sosio-ekonomi. Oleh kerana itu adalah penting bagi mana-mana kerajaan memberi komitmen kepada prinsip pengagihan kekayaan yang lebih saksama sebagai tunggak kepada keadilan sosial.

"Saya menyeru kerajaan Malaysia supaya melaksanakan pelan bersepadu untuk membasmi kemiskinan dan dalam jangka masa panjang merencanakan satu sistem sokongan bagi golongan miskin dan yang dipinggirkan di segi ekonomi.


"Kekuasaan eonomi perlu diimbangi dengan prinsip urus tadbir yang baik dan akauntabiliti. Adakah harus kita tidak berbuat apa-apa sambil melihat ahli politik yang menjadi penjawat awam terus menerus mungkir janji terhadap menegakkan keadilan sosial dan pada masa yang sama merosakkan institusi negara dengan salah guna kuasa dan korupsi?" soal Anwar lagi.


Kata Anwar perbincangan mengnai isu keadilan sosial dan perubahan landskap politik di Malaysia mesti juga mengambil kira konteks masyarakat majmuk di mana kemungkinan berlakunya ketegangan kaum apabila dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Justeru itu beliau menggesa supaya rakyat menolak sebarang kejumudan ideologi serta politik kebencian dan eksklusiviti dalam semua bentuk.


Ini kerana politik sedemikian akan memecahbelahkan masyarakat samada ia terbentuk atas landasan etnik, bahasa ataupun agama.


"Apabila berlaku ketegangan kaum, nyawa yang tidak berdosa akan hilang, negara pula akan ingatkan bahawa keamanan dan harmoni hanyalah satu keadaan yang boleh berubah. Satu hari ia akan wujud dan keesokan harinya akan runtuh disebabkan pertelingkahan fahaman, agama atau perbezaan kelas masyarakat akibat ketidakadilan sosial dan ekonomi


"Hanya selepas kerosakkan besar berlaku baru pengubal dasar menerima hakikat bahawa kebebasan tidak bermakna jika tidak mampu memberi kebajikan kepada rakyat ataupun negara hukum yang masih meneruskan amalan diskriminasi atas alasan kasta, kekayaaan dan status.


"Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting pemimpin sentiasa mengingati hakikat ini dan melindungi keadaan yang rapuh ini," ujar Anwar.


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu membidas penggunaan apparatus kerajaan oleh Umno-BN untuk menyebarkan propaganda ketuanan bangsa yang bukan sahaja tidak bermoral malah tidak bertanggungjawab dan bersifat jenayah.

No comments: