Monday, November 8, 2010

Zaid tidak akan keluar PKR


























PETALING JAYA, 9 Nov:
Datuk Zaid Ibrahim menegaskan tetap setia bersama ahli PKR dan tidak akan meninggalkan parti yang disertai sejak lima bulan lalu itu.

Menurutnya, apa yang beliau mahu ialah PKR mesti dibersihkan dan perlunya ada tenaga atau pemimpin baru untuk menyegarkan parti.

Justeru, beliau menggesa Ketua Umum PKR dan Naib Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali supaya berundur daripada memimpin parti kerana didakwa menjadi punca terhadap permasalahan yang berlaku.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meletakkan semua jawatan dalam PKR semalam menyatakan demikian pada sidang media di kediamannya di Tropicana, di sini, sebentar tadi.

Beliau turut memaklumkan mempunyai bukti terhadap apa yang didakwa berlaku penyelewengan di dalam Pemilihan PKR 2010.

Zaid yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden parti semalam juga memberitahu mempunyai bahan bertulis dan bergambar berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Azmin agar menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Hentikan pemilihan

Sementara itu, seorang lagi calon timbalan presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub memberikan masa 48 jam agar pemilihan parti itu dihentikan.

Bagi beliau, pemilihan kepimpinan pusat PKR yang sedang berlangsung sejak 28 Oktober 2010 mempunyai 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.


"Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden PKR dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).


"Antara lain dalam memorandum ini kami mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada bulan Jun 2009," kata beliau dalam satu kenyataan medianya.


Bagi beliau, kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil (clean, free and fair election). Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.

"Kami juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.


"Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia," kata beliau dalam kenyataan itu.

No comments: