Thursday, December 23, 2010

27 orang terbunuh pun , Menteri BN 'acuh tak acuh' lagi

Kecewa Sikap Menteri Pengangkutan- Hatta Ramli




KUALA LUMPUR 23 Dis. : Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli membidas sikap 'acuh tak acuh' Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dalam isu keselamatan bas di Malaysia.

Hatta menyindir kenyataan Kong semalam yang menyatakan bas pelancong yang terbabit dalam kemalangan maut di Cameron Highlands Isnin lalu bahawa ia bukan bas dua tingkat sebaliknya 'high deck'.

Menurut Hatta kedua-dua bas itu tiada perbezaan ketara kerana ketinggian yang hampir sama menyebabkan ia tidak sesuai dijadikan bas perjalanan jauh seperti bas ekspress dan bas pelancongan.

"Isu yang kami bawa di parlimen Bas dua tingkat bahaya. Hi-deck ini samalah. Bas itu tinggi, pusat graviti lari, bila jalan laju memang bakal berlaku kemalangan.

Dalam bandar tak mengapa macam di luar negara. Jalan sikit ambil penumpang. tapi bila jauh sampai Kota Bharu. Ini memang tunggu masa, sudahpun berlaku," katanya.

Kemalangan Isnin lalu mengorbankan 27 penumpang kebanyakannya warga Thailand apabila bas berkenaan terbabas dan terbalik selepas selekoh di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dipercayai dipandu laju.

Hatta menyatakan demikian selepas menghantar memorandum bersama dengan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) pimpinan Datuk Mahfuz Omar dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Selain sikap, Hatta juga mempersoal kewibawaan Kong kerana tidak melakukan apa-apa yang konkrit bagi meningkatkan keselamatan jalan raya terutamanya dalam isu ini atas kapasiti Menteri Penangkutan.

Beliau hairan mengapa tiada sebarang peruntukan diberikan bagi keselamatan dalam pembentangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang baru diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu.

"Jadi menteri pun puas hati ini hi-deck bukan double deck itulah agaknya jadi saya rasa menteri ini sangat tidak bertanggungjawab. Dalam isu ini sepatutnya keselamatan patut diambil ruang dalam pindaan ini untuk meningkatkan keselamatan jalan raya," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Sentimen sama diulang Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar apabila mengulas mengenai Pindaan ini. Mahfuz kecewa apabila pindaan ini tidak digunakan bagi tujuan mendidik pesalah jalan raya.

"Pindaan ini tidak menyelesaikan masalah besar yang berbangkit iaitu masalah kemalangan maut dan memandu secara merbahaya kerana pindaan-pindaan ini tidak pun mengangkat atau menambah bentuk hukuman kepada pemanduan berbahaya dan kemalangan maut," kata Mahfuz.

No comments: