Saturday, December 25, 2010

AES bakal tambah jumlah saman

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/th_CIMG3111.jpg
PARIT BUNTAR , 25 Dis. : Tindakan kerajaan memperkenalkan bentuk saman ekor baru dengan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dikendalikan oleh syarikat swasta dibimbangi menambahkan jumlah saman yang dikeluarkan.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, AES ialah sistem penggunaan kamera yang akan mengambil gambar kenderaan yang melakukan kesalahan, memprosesnya dan kemudiannya mengeluar dan menghantar saman kepada pesalah trafik.

"Syarikat swasta akan mendapat habuan mereka daripada jumlah saman yang dikeluarkan. Tentulah syarikat swasta mementingkan keuntungan jadi saman mesti kena ada, kalau tidak, syarikat itu akan rugi lah.

"Tambahan pula ia bukan dikendalikan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) atau polis. Mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh syarikat swasta yang dilantik” katanya

Adnan berkata kerajaan telah memberikan kontrak pengendalian AES kepada Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd sebelum pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 diluluskan.

" Pindaan undang-undang belum pun lulus, kerajaan dah berikan kontrak kepada syarikat swasta. Maksudnya , pengurusan kerajaan tidak mengkaji kesan jangka panjang sebaliknya membuat sesuatu secara tergesa-tergesa.

“ Sekarang ini saman pun nak diswastakan. Rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bila diswastakan saman, ianya satu tindakan yang membebankan rakyat” katanya

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad (gambar) menyokong usaha Pakatan Rakyat menghantar memorandum memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan kelulusan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini.

“Memorandum itu merupakan jalan terakhir setelah usaha Pakatan Rakyat menghalang kelulusan rang undang-undang itu sehingga ke peringkat Dewan Negara tidak berhasil.

“"Tidak ada jalan lain lagi, jalan terakhir memohon kepada Tuanku sahaja. Mohon Tuanku menitahkan rang undang-undang berkenaan dibahas semula di Parlimen kerana ianya dibuat secara tergesa-gesa” katanya

Hamdan menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat kerana pemimpin BN hanya memikirkan kepentingan mereka dan menguntungkan sesetengah pihak.

“ Pindaan ini tidak akan menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit seperti masalah kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga masalah saman ekor.

“ Jelas , pindaan-pindaan terhadap undang-undang ini hanya bersifat teknikal dan bertujuan memperkenalkan sistem penguatkuasaan automatik (Automated Enforcement System-AES) “ katanya

No comments: