Saturday, December 25, 2010

Tak cukup dengan TV3 menipu rakyat

Farid Ke JPM Bukti Kepincangan 1 Malaysia PM


SHAH ALAM 25 Dis. : Tindakan meminjamkan Ketua Stesen Televisyen Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan ke Jabatan Perdana Menteri mengundang spekulasi Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memerlukan 'suntikan' dan bantuan dalam sistem penyampaian bagi Kempen 1 Malaysia yang goyah.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid hal ini menunjukkan ketidakmampuan Najib dan pemimpin Umno membawa konsep ini kepada penerimaan masyarakat.

Beliau turut menganggap kehadiran Farid hanyalah bagi menutup segala kepincangan kegagalan konsep ini yang didedahkan sebagai satu 'tiruan' kempen One Israel oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keyakinan tak menjurus kepada mereka mampu berbuat demikian. Hanya anak kecil saja melaungkan 1 Malaysia tapi objektifnya tidak digaris pandukan. Yang sebenarnya kegagalan 1 Malaysia sudah nampak. Sebab itu dia runsing bila Selangor dan Pulau Pinang tidak membenarkan 1 Malaysia jadi asas sloganan retorik mereka," katanya.

Laporan Malaysian Insider hari ini menyatakan Farid akan membawa bersama lima eksekutif televisyen dengan tugasan beliau berhubung kait dengan kempen konsep 1 Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Farid merupakan profesional media kedua menyertai pentadbiran Najib sejak tiga bulan lalu selepas bekas koresponden Reuters Malaysia Abdul Jalil Abdul Hamid dipinjamkan dari Suruhanjaya Sekuriti untuk menyertai pasukan komunikasi nasional perdana menteri.

Minggu lalu, Parlimen menggantung Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu. Turut digantung tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Abdullah Sani yakin kemasukan Farid tidaklah membimbangkan Pakatan Rakyat kerana Farid bukanlah individu paling hebat dalam hal sedemikian dan dikaitkan pelbagai kontroversi sepanjang beliau menerajui Media Prima sejak 2002.

Terbaru, syarikat berkaitan Umno itu dikenakan denda RM50 ribu kerana menerbitkan Iklan Hari Raya yang melanggar sensitiviti orang Melayu/Islam negara ini.

Merujuk pada Pilihan Raya Umum lalu, Pakatan Rakyat berjaya merampas lima negeri walaupun Media Prima menjalankan pelbagai kempen menyokong Umno- BN dan selain mengutuk Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Professor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menyatakan secara objektif 'perpindahan' Farid ke JPM ini memang bertujuan membantu kerajaan.

"Yang pertamanya atas asas kemahiran dan kebolehan beliau sebagai pengamal media dalam membantu pihak kerajaan memantapkan strategi media kerajaan, yang kedua mungkin membantu pihak kerajaan susun agenda dalam industri hiburan dan kreatif yang merupakan salah satu industri yang diberi perhatian dalam bajet 2011," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak persepsi masyarakat yang menganggap hal ini berkaitan politik kerana ia masih belum jelas mengenainya.

"Secara persepsinya pelantikan beliau barangkali untuk memantapkan kempen projek 1 Malaysia atau kemungkinan persiapan bagi berhadapan dengan pilihanraya akan datang tapi masih persepsi sebab kita belum dapat tahu apakah peranan dan tanggungjawab portfolio beliau sebenarnya," katanya.

No comments: