Wednesday, December 1, 2010

Cadangan DAP Kedah dikaji



ALOR SETAR , 2 Dis. : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah bersedia menerima cadangan atau pandangan daripada rakan komponennya mengenai isu pengagihan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keputusan muktamad agihan kerusi yang akan dipertandingkan oleh calon PR, sama ada PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PR.

“Isu agihan kerusi terutama siapa layak bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen hendaklah diputuskan oleh Majlis Presiden PR dan Jawatankuasa Perundingan Pembahagian Kerusi DUN Negeri,” katanya, ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, mana-mana parti bebas mengemukakan cadangan untuk memantapkan lagi pengaruh PR di Kedah, namun keputusan bukan hak mutlak negeri sebaliknya perlu dirunding di peringkat Pusat.

“Setelah cadangan dikemukakan dan dibincang bersama, PR Kedah akan menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan melaksanakan apa yang dipersetujui oleh Majlis Presiden. Bukan saya yang buat keputusan, ini membabitkan semua pemimpin tertinggi PR,” katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, pandangan semua pihak perlu diambil kira terutama apabila membabitkan kawasan yang diwakili parti itu diberikan kepada calon parti lain.

“Sekiranya perubahan melibatkan kawasan DUN PKR, sudah pasti parti itu akan memberi pandangan dalam hal ini. Begitu juga DAP, jika membabitkan kawasan yang sebelum ini diletakkan calonnya, pasti ada hujah yang akan diberikan. Kita tengok dan kaji rasional isu ini sebelum buat apa-apa perubahan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu dikaji sebelum mencapai kata putus, antaranya kewajaran ia dilaksanakan dan kesesuaian keadaan ketika itu.

“Perkara itu belum ada dalam agenda saya ketika ini, kerana belum ada ura-ura pilihan raya umum akan dibuat dalam masa terdekat, mahupun DUN Kedah akan dibubarkan. Oleh itu, tunggulah masa yang sesuai,” katanya.

Menurutnya, kerajaan PR Kedah tidak terburu-buru dalam isu berkenaan malah belum pun memanggil mesyuarat jawatankuasa untuk membincangkannya, kerana belum tiba masanya untuk membangkitkan isu itu.SH



No comments: