Wednesday, December 1, 2010

Isu ancak hangatkan DUN Perak



IPOH, 2 Dis . : Sesi perbahasan Bajet 2011 dalam Persidangan Kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dihangatkan dengan isu ancak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memulakan sesi perbahasan dengan mengemukakan pendedahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang yang digantung berkata, mufti perlu memberikan penjelasan mengenai isu menaikkan ancak.

Beliau berkata, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diminta untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu menaikkan ancak yang dilakukan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir baru-baru ini dalam satu majlis yang dihadirinya.

“Pejabat mufti harus mengeluarkan fatwa sebagai mana saya difatwakan melakukan dosa besar dan perlu bertaubat. Saya terima.

“Tetapi saya tetap minta mufti keluarkan fatwa supaya seluruh orang Perak melihat perbuatan angkat ancak adalah haram,” katanya dalam sesi perbahasan itu semalam.

Zambry yang mencelah kemudiannya berkata, isu berkaitan akidah tidak perlu dibincangkan dan perlu mendapatkan fakta-fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang manipulasi politik.

Selain Zambry, ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari yang turut mencelah menjelaskan isu berkenaan berkata, perbuatan itu cuma gimik perasmian yang diatur oleh pihak penganjur dan tidak mempunyai niat apa-apa.

Skop perbahasan Mohammad Nizar lebih tertumpu kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selama 11 bulan memerintah Negeri Perak.

:Menurut ADUN Pasir Panjang itu, Bajet 2011 merupakan bajet pilihan raya untuk menggula-gulakan rakyat.

Turut menghangatkan perbahasan apabila kenyataan Mohammad Nizar bahawa DAP sudah berjinak-jinak dengan Islam dan Pas.

:Menurut beliau, pemimpin DAP tidak anti-Islam ke�rana mereka secara beransur-ansur mengenali Islam.

Beliau berkata, hasil kerjasama Pas dan DAP, Islam tidak lagi digeruni oleh bukan Islam, bukan di Perak tapi di seluruh Malaysia.

ADUN Chenderiang, Datuk Mah Hang Soon kemudiannya mencelah meminta penjelasan daripada Mohammad Nizar supaya dikemukakan bukti DAP sudah berjinak-jinak dengan Islam.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi cuba mencelah tetapi tidak dibenarkan oleh Mohammad Nizar.

Bagaimanapun, Jamaluddin berjaya mencelah sewaktu ADUN Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berbahas.

Jamaluddin mendedahkan bahawa sewaktu menjadi Exco Kerajaan Negeri sebelum in, beliau telah diminta untuk menyimpan wang untuk melakukan sogokan.

Terdahulu perbahasan dimulakan dengan wakil kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Hasbullah Osman yang memuji pembentangan bajet oleh Menteri Besar (MB) yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, soal pengupayaan golongan belia perlu menjadi tumpuan kerana 60 peratus daripada rakyat di negeri Perak terdiri daripada golongan muda itu.SH

No comments: