Wednesday, December 22, 2010

Lagi banyak Umno fitnah, lagi popular MB Kedah

Pengadu upahan petanda pilihan raya makin hampir

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjpQsjKct0dDupjxH-cz5LC-5cQiTfXntN0dTBOGGAcDh3qc4Q24uqNj73pCnpZBHRT6gt7Kf_iBS8fWaHKipx80SvZCXrDOi5MWjrqW1mmrw4YvxgWCl2vO7L5j28qY7Y6QWO4190q7do/s400/Azizan+Razak+03.jpg
ALOR SETAR, 22 Dis. : Datuk Seri Azizan Abdul Razak berterima kasih kepada pihak yang menentangnya, termasuk parti lawan kerana tindak tanduk mereka untuk memburukkan imejnya sebaliknya menjadikan beliau lebih popular di mata rakyat.

Menteri Besar itu berkata, beliau dapat merasai perubahan itu terutama sejak berita mengenai insiden beliau bertelagah dengan seorang wartawan berkaitan isu banjir diulang siar menerusi televisyen beberapa kali.

Menurutnya, peningkatan populariti itu dibuktikan dengan semakin ramai orang mahu bergambar bersamanya setiap kali beliau turun padang berbanding dahulu.

“Sejak insiden itu dua bulan lalu, keadaan semakin berubah. Saham saya makin naik. Pergi mana pun, orang nak bergambar dengan saya. Kalau berterusan macam ini, bagus juga, rakyat akan semakin kenal saya,” katanya.

Azizan turut menyifatkan, pelbagai cerita negatif mengenai dirinya yang semakin giat disebarkan pihak tertentu kebelakangan ini, sama ada dalam bentuk penulisan berita, blog atau risalah adalah taktik parti lawan untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, serangan itu tidak sedikit pun menggugat kedudukannya dalam PAS mahupun pentadbiran, kerana percaya itu adalah sebahagian daripada propaganda menjelang pilihan raya.

“Pelbagai cerita tidak enak disebarkan menuduh saya macam-macam, namun saya anggap itu sebagai cabaran dan saya bersedia berdepan dengannya, kerana saya yakin cerita tidak berasas tidak akan berjaya menggugat imej saya,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Barisan Bertindak Selamatkan Kedah (BBSK), Sobri Sudin yang mendakwa PAS Kedah, terutama Azizan mengamalkan nepotisme dan kronisme dalam pentadbiran, selain mendakwa kegagalan GLC bawah Pakatan Rakyat (PR), yang disiarkan dalam Berita Perdana, RTM1, malam kelmarin.

Azizan berkata, sekiranya ada pihak yang dianggapnya sebagai ‘pengadu upahan’ wujud secara tiba-tiba dengan mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan pimpinannya, itu juga antara tanda-tanda awal bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

“Situasi ketika pilihan raya umum sebelum ini pun sama. Bila semakin dekat, akan ada pihak yang diupah untuk mencetuskan suasana negatif dalam kerajaan PR. Ini taktik lapuk, saya sudah boleh baca permainan mereka, jadi tak usahlah bersusah payah buat kerja ini kerana kita tidak akan terjejas malah mungkin akan jadi lebih popular,” katanya.

Menurutnya, ketika Kedah diterajui Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, situasi sama turut berlaku apabila wujud komplot antara pengadu upahan dan media tertentu yang ditugaskan untuk menjatuhkan bekas Menteri Besar itu supaya calon Menteri Besar pilihan dapat mengambil alih pentadbiran negeri.

“Memang wujud orang sebegini dalam kalangan orang politik, jadi saya sudah bersedia. Strategi politik lapuk jika diulang, tentu kita dapat hidu. Jika sudah bankrap idea, tak usahlah serang PR,” katanya.

Azizan berkata, pengadu upahan sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi arahan pihak tertentu, tanpa mengira batasan lawan mahupun kawan.

“Jika dia sanggup makan kawan sesama ahli parti sendiri, tidak hairanlah jika dia makan lawan pula,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya berita negatif mengenai dirinya dan Kerajaan Negeri akan terus disebarkan kerana kumpulan itu mendapat arahan daripada orang politik tertentu.

“Ini bukan taktik baru, cuma ulang tayang, lama-lama orang akan naik bosan. Saya malas nak layan taktik lapuk macam itu, biarlah mereka terus menghentam saya, asalkan mereka puas hati,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan wujudnya nepotisme dan kronisme dalam Pas Kedah, Azizan berkata, ia berlaku mungkin secara kebetulan kerana beliau mempunyai keluarga besar termasuk ramai kenalan sejak di bangku sekolah.

“Saya mempunyai keluarga besar, pasti tak boleh lari daripada ada pertalian saudara dengan kakitangan bawahan saya. Saya juga bekas guru dan pensyarah, pasti ada ramai kenalan dan anak murid, takkan itu pun jadi isu,” katanya.

Azizan berkata, setiap penjawat awam yang dilantik dipilih berdasarkan kelayakan dan kepercayaan, bukan atas dasar adik-beradik.

“Jika saya lantik semua adik-beradik pegang jawatan dalam pentadbiran, mampukah berjalan lancar? Itu pemikiran politik sempit pihak lawan,” katanya.

No comments: