Wednesday, December 22, 2010

Umno tak da modal di Kelantan

Pentadbiran tidak terjejas

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgWbmVMEUJp0SMbIVxr-bWIDzgeXdn1E_F2f1DaXWVISPOAHrbVsA8BSoihS9j93S1IXz44QwUj-TWTPFoKhw5rgZHrPNkTU0nbPOJ-ZTmDZ2zaFM4o3i86L3jG_WvGwZ1ooCC7q0KjzdQ/s320/zaki.jpg
KOTA BHARU, 22 Dis. : Tahap kesihatan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak serius seperti yang digambarkan sesetengah pihak serta sama sekali tidak menjejaskan penumpuan terhadap pentadbiran negeri ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, walaupun dirawat di hospital, Mursyidul Am itu tetap menjalankan tugasnya dengan baik.

Menurutnya, sakit yang dihidapi Nik Aziz bukanlah status berpanjangan cuma doktor menasihatinya agar berehat.

“Ia sama seperti beliau (Nik Aziz) bercuti, maka tugasnya dipikul Timbalan Menteri Besar dan exco-exco, sama seperti negeri lain.

“Malah, Kelantan mempunyai rekod cemerlang tersendiri sepanjang 20 tahun mentadbir malah lebih baik berbanding negeri lain yang Menteri Besarnya dikatakan sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mengatakan negeri lesu dan lemah sekiranya dipimpin individu yang lemah.

Mohd Zaki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran menyelar kenyataan itu yang dianggap sebagai ‘kenyataan politik’ daripada orang yang tidak mempunyai ‘modal’ yang banyak untuk bercakap.

Katanya, rakyat tidak mahu lagi mendengar isu lama seperti peluang pekerjaan yang ditimbulkan pemimpin itu.

“Mana ada orang minta nak sakit, semua orang mengalaminya dan akan mati bila sampai masa, begitu juga dengan dia (Awang Adek), tak usahlah nak jadikan isu pasal orang sakit sehingga keluar kenyataan yang kebudak-budakan,” katanya yang baru pulang daripada menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Kali Ke 2 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Konvensyen kali ini katanya, lebih menonjolkan semangat perpaduan parti-parti dalam Pakatan Rakyat serta menambah keyakinan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti.

Menurutnya, kesudian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang menggesa untuk membincangkan isu negara Islam antara Pakatan Rakyat menunjukkan tanda-tanda positif kekuatan kepada mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

No comments: